Festival yang akan berlangsung di Belanda dan Belgium, ini juga bakal memperlihatkan Salammusik di atas pentas berbeza memandangkan, festival ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Antara festival muzik yang bakal menyaksikan persembahan Salammusik adalah Festival Zwarte Cross, Solar Weekend dan Zomer Van Antwerpen.

Jelas Ashraf Salam atau mesra dengan panggilan Salam yang juga wakil kumpulan ini berkata, antara kejayaan awal yang membuktikan kumpulan ini sudah diterima dengan baik adalah pelawaan berbayar penganjur festival tersebut.

“Bezanya kami akan menyambut hari raya di sana, sebelum ini berpuasa. Muzik yang kami bawa mungkin tidak banyak beza, namun kami cuba tambah muzik dari Malaysia dan tidak nafikan mereka menyukainya.

“Selain muzik kami juga cuba mengenakan pakaian kebangsaan untuk menarik perhatian, walaupun ada di antara mereka pelik dengan pakaian kami, namun itu antara ciri yang mahu kami kekalkan,” katanya.

Tidak menolak pengalaman mengadakan persembahan di festival tersebut sangat berbaloi, jelas Salam memang mereka mahu teruskan ini sebagai antara acara wajib buat kumpulan ini dalam menambah pengetahuan muzik mereka.

“Di festival tersebut kami dilayan sama sahaja, kerana kesemua yang hadir mahu menikmati muzik yang baik. Jadi kami tahu fokus utama kami adalah menghasilkan muzik yang baik. Berbeza dengan kali pertama mungkin kali ini pengalaman itu sendiri sudah membiasakan kami untuk beraksi.

“Untuk kali ini kami sekali lagi membawa nama Malaysia, seramai hampir 20 orang yang akan terbang ke sana untuk menjayakan persembahan Salammusik. Sebab itu kami sebenarnya memerlukan sedikit dana dalam menampung keperluan kami sepanjang di sana,” katanya.

Selain Salam, kumpulan muzik yang pernah memenangi Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2012 ini turut dibarisi oleh Eyza Bahra (vokal), Kamal Razali (gitar), Bulya, Kevin Theng (dram), Adam, Wawa, Ammar Habir (keyboard), Payung (trumpet), Jazmi, Aabid (Saksafon) dan Efry Arwis (bes).

Tahun ini merupakan kali ketiga mereka akan beraksi di festival tersebut, tentunya pengalaman sebegini mahu dikongsi mereka bersama peminat. Hadir dengan idea terbaharu kumpulan ini sebenarnya sedang melengkapkan pengalaman mereka dalam sebuah dokumentari .

“Kami sudah merakamkan perjalanan kami dalam menyertai festival muzik di benua Eropah pada tahun pertama dan kedua. Jadi penyertaan kami untuk tahun ketiga ini bakal melengkapkan isi dokumentari yang bakal kami siapkan kelak.

“Secara asasnya memang kami tidak nafikan kali pertama membuat persembahan di sana semuanya serba tidak kena, namun kami tidak rasa kepayahan sebagai penghalang buat kami memandangkan perjuangan muzik kami mengatasi segalanya,” katanya yang turut memperkenalkan studio muzik mereka yang terletak di Shah Alam itu.

Dalam perkembangan lain, Salammusik juga melancarkan muzik video bagi single terbaharu mereka, Terima Kasih. Menerusi single tersebut, mereka percaya ini adalah cara terbaik untuk berkongsi rasa terima kasih tidak terhingga mereka terhadap sokongan yang diberikan peminat.

“Tanpa peminat, tanpa pengiktirafan yang diberikan mungkin kami juga tidak berpeluang untuk beraksi di festival muzik tersebut. Kami percaya dengan membuat muzik yang baik di sini memudahkan perjuangan kami di luar.

“Lagu Terima Kasih ini adalah single yang akan dimuatkan dalam album kami kelak, lagu ini juga sebenarnya adalah cara kami menyampaikan penghargaan kepada mereka yang tidak jemu-jemu menyokong kami selama lima tahun ini,”ujarnya.