Kelibat ketiga-tiga pelakon hebat ini sudah dapat disaksikan menerusi ratusan naskhah filem popular sebelum ini. Tidak perlu lagi diragui pada bakat masing-masing, pastinya percaturan untuk membawa mereka menyertai filem ini bukan satu kerja yang mudah pada dasarnya.

“Benar, perkara tersebut tak semudah yang disangka. Kami perlu memujuk dan membuktikan yang naskhah I’m Not A Terrorist bukan satu karya yang klise dan main-main. Pihak produksi perlu menunjukkan kepada mereka skrip dan jalan cerita terlebih dahulu dan meyakinkan mereka bahawasanya filem ini lain daripada yang lain.

“Setelah beberapa perkara dipersetujui, barulah kami menjalani penggambaran. Tiada banyak masalah besar yang berlaku meskipun kawasan yang dituju menyimpan seribu satu cerita. Apa-apa pun, saya gembira dapat menterjemah apa yang dimahukan sejak awal,” kata Arjin Uppal yang juga merupakan pengarah untuk filem ini.

Sudah pasti kelibat Faridah paling ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar peminat filem tanah air. Dia yang sudah berpengalaman membintangi lebih 200 buah filem bukan sahaja masih diminati, malah tidak pernah menghampakan setiap kali muncul dengan naskhah baharu.

Antara filem yang pernah dibintangi oleh pelakon berusia 68 tahun ini termasuklah Raja Hindustani, Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Kaho Naa... Pyaar Hai, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Dilwale Dulhania Le Jayenge dan banyak lagi.

Tambah Arjin lagi, dalam usia yang begini, dia lebih selektif dan hanya mahu membintangi filem yang menawarkan jalan cerita unik dan berbeza. Untungnya, ‘lamaran’ mereka diterima memandangkan karektor tersebut belum pernah dibawa olehnya sebelum ini

Selain tiga nama besar Bollywood itu, I’m Not Terrorist juga sebenarnya ditunjangi oleh Afiq Muiz dan Cacha Membong. Menjalani penggambaran di Kashmir, India, tentu sahaja lokasi tersebut memberikan keterujaan kepada sesiapa pun memandangkan alam semula jadi yang begitu memukau mata.

Namun, menyebutkan sahaja Kashmir, ia turut membawa konotasi berbeza. Di sebalik keindahan daerah tersebut, ia turut menyimpan seribu satu kisah termasuklah konflik antara India dan Pakistan yang berebut daerah berkenaan sejak puluhan tahun lalu.

“Saat kami menyampaikan hasrat kepada tiga pelakon Bollywood yang lokasi penggambaran akan dilakukan di Kashmir, masing-masing pada awalnya agak keberatan. Mereka mengetahui daerah tersebut merupakan kawasan hitam dan lebih risaukan tentang keselamatan.

“Tapi perkara tersebut sudah kami perhalusi sejak awal lagi. Beberapa langkah sudah diatur termasuklah mendapatkan kerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan. Malah, sepanjang sebulan penggambaran berlangsung kami dikawal oleh askar dan pihak polis,” katanya lagi.

Memilih Sonamarg, Kashmir sebagai lokasi utama, mereka perlu menunggu masa yang sesuai untuk ke sana. Kawasan itu hanya dibuka selama enam bulan sahaja dalam tempoh setahun memandangkan enam bulan lagi akan dilitupi salji yang tebal.

Membawa hampir 45 orang krew ke sana, sudah tentu memerlukan penelitian di segenap sudut untuk menghasilkan yang terbaik. Untungnya, Arjin juga menggunakan sebahagian kru berpengalaman dari India yang sudah biasa mengendalikan filem popular Bollywood.

Kerja keras

BERANI mempertaruhkan konflik pemberontakan berlatar belakangkan masyarakat Islam di sana, ia pastinya menyimpan seribu satu makna. Bagi Arjin, apa yang dipaparkan bukan untuk ‘mempromosikan’ keganasan sebaliknya mahu menunjukkan kepada dunia yang mana-mana agama pun menentang keganasan. Pastinya sebagai pengarah, dia tidak mahu perkara tersebut dijadikan isu besar oleh mana-mana pihak memandangkan apa yang cuba dipaparkan di dalam I’m Not A Terrorist perlu dilihat secara menyeluruh terlebih dahulu.

Pun begitu, kelibat Afiq Muiz paling mencuri tumpuan ramai. Dia perlu mahir bercakap dalam bahasa Hindi memandangkan watak Ummar merupakan lelaki yang berasal dari sana.

“Afiq perlu menghafal dialog, belajar dan memahami apa yang dilontarkan. Produksi memberikan tempoh enam bulan kepadanya. Dan dalam tempoh itu juga, dia benar-benar faham dan mampu menterjemah kehendak produksi.

“Ada seorang jurubahasa disediakan untuknya. Jurubahasa tersebut akan mengajar dan memperbetulkan sebutan mengikut slanga daerah itu agar tidak kedengaran canggung. Dia mampu melakukan segala tanggungjawab yang diberikan,” kata Arjin lagi.

I’m Not A Terrorist yang diterbitkan oleh White Merpati Sdn. Bhd. menceritakan kisah cinta antara Dayana lakonan Cacha dan Ummar (Afiq). Ummar dihantar oleh ibunya (Faridah) ke Malaysia sejak 15 tahun lalu dan tinggal bersama dengan ibu saudaranya di sini. Sebaik menamatkan pengajian, Ummar diminta untuk pulang ke Kashmir memandangkan ibunya sedang sakit. Dayana pula, mahu mencuri peluang mengikut lelaki berkenaan pulang meskipun sudah dihalang sejak awal lagi.

Konflik mula tercetus apabila Abu Zar (Gulshan Grovr) dan Mustafar (Rahul Dev) mula bertindak kejam. Mereka melakukan kekejaman dan sanggup membunuh semata-mata mahukan kekuasaan. Dayana pula diculik dan menyebabkan Ummar menghadapi konflik untuk menyelamatkan kekasih dan negaranya dalam masa yang sama.

Mengharapkan I’m Not A Terrorist mampu diterima ramai, filem yang menelan belanja lebih RM7 juta ini turut ditayangkan di beberapa buah negara yang lain. Selain Malaysia, filem ini juga akan ditayangkan serentak di Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand bermula 5 Oktober ini. Sehari selepas itu, naskhah ini akan ditayangkan di Mauritius, Australia, United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat dan India juga secara serentak.

Arjin mengharapkan filem ini mampu diterima baik di setiap negara yang disinggahi memandangkan naskhah ini adalah isu global yang mampu difahami oleh sesiapa sahaja yang menyaksikannya.

“Bila sudah mengeluarkan modal yang besar, kita mengharapkan kehadiran penonton untuk ke panggung menyaksikannya. Lagi satu, I’m Not A Terrorist merupakan ‘gabungan’ dua negara, banyak kelainan yang ditawarkan melalui filem ini.

“Jika sambutan yang diberikan oleh penonton membanggakan, ini akan menambahkan motivasi untuk produksi terus menghasilkan filem yang baik pada masa hadapan. Apa yang penting mereka perlu memberikan sokongan kepada filem ini,” kata Arjin yang sudah berpengalaman mengarahkan banyak filem sebelum ini.