Aktif seiring anak

JANGAN tak tahu Dicky Andryanto yang melakonkan watak Herman Yoppi, ayah kepada Zelma di luar lokasi merupakan ayah kandung kepada Kevin Andrean.

Dia yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 10 Ogos ini berkata, tawaran yang diterima menarik kerana dapat mengumpul peminat baharu.

“Selama ini hanya orang di Indonesia sahaja yang mengenali lakonan saya.

“Tapi menerusi drama Dia saya dapat menambah penonton baharu yang mungkin ada suka dengan bakat saya.

“Ini merupakan kerjasama yang bagus untuk industri kedua-dua negara dan sebagai pelakon, saya beruntung kerana berlakon di dua negara,” katanya yang sering diberi watak antagonis.

Tambah Dicky, menjadi jahat bukan boleh dipandang ringan kerana setiap watak berperanan untuk menghidupkan jalan cerita.

“Bagi saya, jahat ada banyak cara. Setiap kali muncul untuk watak jahat, saya akan pastikan penampilannya berbeza agar penonton tidak bosan.

“Sebagai pelakon, memang saya ingin melakonkan watak yang berbeza untuk menampakkan variasinya lakonan saya tapi itulah wajah ini sudah dicop antagonis,” katanya yang juga seorang jurugambar.

Ikut rentak Malaysia

Jika di tanah air, drama 60 episod itu diarah oleh Eoon Shuhaini, di Indonesia pula tanggungjawab itu dipikul oleh Omar Ali Adly, 38, atau mesra dengan panggilan Pak Omar (gambar kanan).

Jelas Pak Omar, ini merupakan pengalaman baharu baginya kerana pertama kali mengarah drama yang diterbitkan oleh produksi Malaysia.

“Kala ditawar untuk mengarah drama Dia, saya fikir ini tawaran yang bagus.

“Lagipun ini kerja pertama saya untuk ditonjolkan kepada penonton di Malaysia walaupun penggambaran di Indonesia sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja.

“Memandangkan penggambaran awal telah dilakukan di Malaysia, saya di sini cuma ikut sahaja corak arahan yang sedia ada. Lagipun saya berpeluang untuk melihat dahulu corak pengarahan Eoon dan selepas itu saya ikut rentaknya biarpun bukan seratus peratus, asalkan ada persamaan,” katanya.

Tatkala ditanya perbezaan antara drama tempatan dengan Malaysia, kata Pak Omar, drama Malaysia sudah ditetapkan jalan ceritanya sehingga selesai, manakala sinetron boleh diubah setiap hari.

“Kita di sini setiap hari masih memikirkan perjalanan cerita kerana semua itu bergantung kepada sambutan daripada penonton biarpun sudah ada skrip asal. Memandangkan ini adalah drama gabungan, jadi saya perlu ikut yang sedia ada.

“Tugas saya di sini hanya membentuk karakter pelakon agar tidak lari daripada lakonan awal. Memandangkan skrip ditulis dalam bahasa Melayu, jadi kadang-kadang ada sedikit kesukaran dari segi berbicara dan tonasi. Apa-apa pun itu semua bisa (boleh) diatasi,” jelasnya yang mula mengarah sejak 2006.

Pak Omar bukanlah sembarangan pengarah kerana sebelum ini telah mengarah banyak sinetron antaranya, Masa Lembo yang mendapat sambutan hangat di Indonesia.

Dia yang menyimpan impian untuk mengarah filem berkata, drama Dia bukan sahaja menggabungkan pelakon antara dua negara sebaliknya mampu mengeratkan hubungan antara karyawan seni.

Tatiana Sivek suka Adi Putra

BIARPUN pertama kali bertentang mata dengan Tatiana Sivek, 28, namun Mega HITS rasakan sudah lama mengenali pelakon jelita itu. Pemegang watak Bunga dalam drama Dia itu ternyata begitu teruja apabila diberi peluang berlakon dalam drama kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.

Dia yang pertama kali melakonkan watak seorang peguam itu berkata, Bunga menyukai Adi Putra yang melakonkan watak Zaid, juga seorang peguam.

“Saya memang tidak mengenali Adi Putra tapi sempat juga bertanya dengan beberapa rakan artis lain. Harap gandingan saya dengan dia memberi kesan. Dalam drama Dia, saya jadi peguam yang tegas dan pada waktu yang sama menyukai Adi.

“Sebenarnya sebelum ini, saya sering diberi peranan antagonis dan ini berbeza sekali dengan watak Bunga. Banyak bezanya watak yang saya bawa ini tapi saya gembira kerana diberi watak ini,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini yang mula berlakon sejak 10 tahun itu, sebelum bergelar pelakon, dia merupakan seorang model.

Bercerita lanjut tentang penampilannya yang sering diberi watak jahat, kata Tatiana, dia sering dimarah oleh peminat jika terserempak di pusat beli-belah.

“Memang ada ketikanya saya dimarahi peminat kerana mereka sangka saya benar-benar jahat seperti yang ditonton di kaca TV. Walaupun rasa lucu dengan gelagat mereka tapi saya tetap seronok kerana saya berjaya membuat mereka percaya dengan watak yang dibawa.

“Ada ketikanya bosan juga kalau sering diberi watak jahat tapi kata pengarah wajah saya sesuai dengan watak begitu. Sebagai pelakon, saya terima apa sahaja watak yang diberi kerana baik atau jahat watak itu adalah tanggungjawab saya untuk melakonkannya,” kata Tatiana yang bercinta dengan seorang ahli perniagaan.

Antara filem lakonan Tatiana adalah Penjaga Gunung Bromo (2010), Nenek Gayung (2012), Di sini Ada Yang Mati (2013), Hantu Pohon Boneka (2014), Pocong Pasti Berlalu (2014) dan Horror House (2015).

Sementara sinetron pula adalah Pengorbanan Anggun (2009), Putri Duyung Marina (2010), Arjuna Mencari Cinta (2010), Tendangan Si Madun (2012), Tendangan Si Madun (musim 2) (2012), Panji Laras (2014), Alfa (2015) dan Enigma (2015).

Kevin Andrean mahu timba pengalaman

TATKALA ditanya kepada Kevin Andrean, 25, apa yang membuatkan dia menerima tawaran untuk berlakon drama Dia, katanya kerana drama 60 episod itu menggabungkan dua negara dan diarah oleh dua pengarah iaitu Eoon Shuhaini dan Omar Ali Adly.

“Ini kolaborasi dua negara dan pasti memberi impak yang besar kepada kerjaya seni saya. Mungkin orang di Malaysia belum mengenali saya tapi harap selepas drama ini disiarkan ada yang kenal. Kalau ada yang pernah nonton sinetron Sekar (2008 - 2009), lakonan pertama saya, pasti kenal.

“Selain itu saya suka dengan watak yang ditawarkan sebagai Micah dan jalan cerita Dia juga menarik. Saya mahu timba pengalaman berlakon dengan teman-teman dari Malaysia juga,” katanya terus terang.

Jelas Kevin, melakonkan watak Micah merupakan cabaran kerana lelaki itu ada konflik dengan keluarga dan berbeza dengan peribadinya yang rapat dengan keluarga.

“Micah berbeza karakter dengan saya dan sebab itu saya perlu mencipta satu kelainan. Setakat ini tiada masalah kerana pengarah memberi kebebasan untuk saya menjayakan watak itu mengikut keselesaan diri.

“Harapan saya dengan kerjasama ini peluang untuk saya melebarkan bakat di sini terbentang luas. Bagi saya baik Indonesia atau Malaysia, jika tawaran yang diberi bersesuaian dengan waktu dan jadual kerja, sudah pasti saya tidak menolak,” jelasnya yang pernah berlakon dalam filem Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (2013).

Bebas berlakon dengan izin

MELIHAT penampilannya yang bergaya, siapa pun tidak akan sangka bahawa Juliana Moechtar, 29, yang berlakon sebagai Zelma dalam drama Dia merupakan ibu kepada dua orang anak yang berusia 3 tahun dan 2 tahun.

Pelakon yang seiras Siti Elizad dan di sisi lain kelihatan seperti Uqasha Senrose itu berkata, dia menerima tawaran berlakon drama kerjasama itu kerana boleh dijadikan platform terbaik untuknya memperkenal diri kepada khalayak di Malaysia.

“Saya percaya pelakon lain kalau diberi peluang mesti mahu mengembangkan bakat ke luar negara dan saya bersyukur kerana diberi kesempatan itu menerusi drama Dia.

“Sudah menjadi kebiasaan, saya diberi peranan antagonis. Walaupun watak jahat, saya perlu mempelbagai gaya agar tidak nampak stereotaip kerana setiap peranan yang diberi itu sama penting,” kanya.

Juliana atau mesra dengan panggilan Ully itu berkata, biarpun sering diberi watak jahat, dia tidak pernah jemu kerana mampu mempopularkan dirinya.

Memegang watak Zelma yang menggoda Ariel lakonan Adhitya Alkatiri dari Indonesia hingga ke Malaysia oleh papanya, sewaktu di Malaysia, Zelma cuba mendampingi Micah ((Kevin Andrean) pula.

Tambahnya, dia sudah dicap sebagai ‘jahat’ sejak menyertai pertandingan Puteri Indonesia 2010.

“Saya berasal dari Aceh dan sewaktu menyertai pertandingan Puteri Indonesia, saya tidak mendapat izin daripada bapa kerana bapa saya seorang tentera. Saya masih bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada ibu.

“Saya curi-curi pergi ke Jakarta dan sekarang ini semua ahli keluarga menyokong kerjaya saya selepas melihat kesungguhan saya.

“Apapun saya masih membatasi kerjaya saya dengan rumah tangga,” katanya yang berkahwin dengan gitaris Seventeen Band, Herman Si Kumbang.

Jelas Juliana, suami tidak melarangnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan tetapi bersyarat kerana tidak mahu urusan rumah tangga terganggu.

“Memandangkan saya perlu menjalani penggambaran di Malaysia, saya perlu mendapat izin daripada suami.

“Alhamdulillah, suami izinkan kerana dia dan dua anak akan teman saya dan mengambil peluang itu untuk berlibur,” jelasnya.

Apapun Juliana berharap, apabila drama tersebut ditayang kelak, dia mendapat sokongan penuh daripada penonton di Malaysia dan bersedia jika mendapat tawaran berlakon di negara ini.

Antara sinetron lakonan Juliana adalah Karena Makan Uang Panas Hidupku Menderita (2016) dan Aku Korban Fitnah (2016). Sementara filem pula, Empang Breh dan Kuwah Leumak.

Adhitya sudah berpunya

PEMEGANG watak Ariel ini tidak berselindung apabila ditanya sudah ada kekasih atau belum. Kata Adhitya Alkatiri atau nama penuhnya Adhitya Syahputra Alkatiri, 24, kekasihnya bernama Adinda Azani, 23. Mereka pernah berlakon bersama dalam sinetron 60 episod, Ganteng Ganteng Serigala Returns.

“Itu bukan cinta lokasi kerana sewaktu penggambaran belum ada rasa cinta kerana saya dan dia hanya bersahabat.

“Apabila selesai penggambaran barulah hubungan kami bertukar menjadi kekasih sejak tahun lalu.

“Kami tidak bertemu setiap hari kerana masing-masing sibuk di lokasi. Bagaimanapun kami akan pastikan sekali seminggu bertemu, sama ada saya pergi ke lokasinya atau sebaliknya.

“Setakat ini kami selesa berkawan dan belum ada perancangan untuk masa depan kerana kami masih muda lagi,” katanya terus terang.

Adhitya yang sudah lima tahun berlakon berkata, dia teruja apabila ditawar beraksi drama Dia kerana ini peluang untuknya melebarkan sayap ke Malaysia.

“Drama kolaborasi ini sudah pasti memberi impak besar kepada kerjaya saya kerana akan ditayangkan di Malaysia, semoga menjadi titik mula untuk saya bertapak di sana.

“Andai kata ada tawaran berlakon daripada produksi Malaysia, sudah pasti saya akan terima,” katanya.