Meskipun namanya masih ‘hijau’ namun Ardel kini semakin dikenali ramai apabila bakatnya mula dikesan oleh kebanyakan pengarah drama dan filem tanah air.

Dia yang pernah membintangi drama Duri Di Hati, Asam Pedas Untuk Dia dan Baby Ana Untuk Siapa menganggap sebagai pendatang baharu, laluannya tetap berliku.

“Sebenarnya saiz tubuh badan yang kecil ini memberikan sedikit kekangan kepada saya. Saya tak berapa tinggi jadi apabila nak gandingkan saya dengan pelakon lelaki agak sukar.

“Tapi saya bertuah kerana peluang itu tetap ada. Walaupun masih baharu tetapi rezeki saya dalam lakonan tidak mengecewakan,” ungkap Ardel yang mempunyai ketinggian 150 sentimeter sahaja.

Mengimbau kembali perjalanan seninya, Ardel ‘terjebak’ dalam bidang lakonan secara tidak sengaja. Ketika masih menuntut di kolej dahulu dia ditawarkan membintangi sebuah filem pendek (projek pelajar) oleh teman baiknya.

Filem pendek berjudul Cuci Mata itu akhirnya menyertai pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dan mendapat tempat kedua dalam kategori berkenaan.

“Alhamdulillah nampaknya ada pihak yang menghidu bakat saya dan memberikan beberapa projek selepas itu.

“Memang pada awalnya saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi pelakon. Tak sangka pula daripada berlakon sekadar suka-suka akhirnya memberikan rezeki kepada saya,” jelas wanita berusia 25 tahun ini lagi.

Dia yang kini bernaung di bawah pengurusan Prokarya Studios milik Fadzil Zahari kini muncul dengan filem CCTV yang ditayangkan pada 30 Julai lalu.

Debaran

CCTV yang menggandingkan dirinya dengan Aeril Zafrel dan Hasnul Rahmat merupakan penanda aras terhadap penerimaan peminat bagi dirinya dan itu membuatkan dia berdebar menanti reaksi khalayak.

“Saya menganggap peluang yang diberikan ini platform untuk saya mengembangkan bakat dan potensi diri. Tidak semua orang bertuah untuk mendapatkan peluang sebegini besar.

“Sebab itu saya gunakan sebaik-baik peluang yang ada untuk mendapatkan kepercayaan mereka,” kata Ardel.

Pun begitu Ardel tidak menafikan yang tuah menyebelahinya menerusi filem CCTV. Dia masih ingat ketika menghadiri uji bakat sebagai pelakon tambahan untuk filem berkenaan.

Jelasnya, kehadirannya ketika itu sekadar mencari peluang baharu tetapi akhirnya telah membuka mata pihak produksi untuk menawarkan watak heroin kepada dirinya.

“Pada awalnya saya memang terkejut sebab mereka menawarkan watak besar kepada saya. Sudah pasti tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh mereka saya balas sebaik mungkin.

“Walaupun banyak cabaran ketika penggambaran, semua itu saya jadikan azimat dan pelajaran berguna untuk masa depan,” katanya yang turut menerima gangguan misteri ketika menjalani penggambaran.

Membawakan watak jururawat dan pembantu kepada Dr. Muthalib lakonan Hasnul Rahmat, Ardel tidak menghadapi masalah besar bergandingan dengan nama besar ini.

Malah katanya, baik Hasnul mahupun Aeril banyak membantunya dalam selok belok lakonan dan ini menambahkan keyakinan dirinya untuk memberikan yang terbaik kepada filem berkenaan.

KISAH CCTV

Filem CCTV arahan Daven R. ini bermula dengan kisah mengenai seorang lelaki, Hariri yang bekerja sebagai seorang juruteknik televisyen litar tertutup (CCTV).

Pada satu malam, Hariri telah mendapat panggilan daripada ketuanya dan diarahkan untuk membaiki kerosakan CCTV di sebuah hospital lama. Walaupun berasa berat hati namun dia terpaksa akur dengan arahan ketuanya itu.

Ketika sedang membaiki CCTV yang rosak di hospital berkenaan, nasib Hariri agak kurang baik apabila dia tiba-tiba terjatuh dan pengsan serta mengalami kecederaan.

Kemudian apabila dia sedar ketika mendapatkan rawatan di hospital lama berkenaan, dia berhadapan dengan beberapa kejadian aneh.

Bagaimanapun keanehan yang berlaku sepanjang dia berada di hospital berkenaan akhirnya terbongkar setelah Hariri melihat sendiri rakaman CCTV tentang kejadian yang berlaku di hospital itu.

Ternyata rakaman daripada CCTV itu mendedahkan bahawa semua orang yang berada di dalam hospital terutama sekali individu yang ditemuinya itu telah mati dalam satu kebakaran yang berlaku sebelum ini.

Akibat panik setelah melihat rakaman tersebut, Hariri lantas melarikan diri dari hospital itu dan cuba menuju ke sebuah van dalam usaha untuk menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun apabila dia dapat menghampiri van berkenaan, sekali lagi dia mendapat kejutan yang tidak disangka-sangka.