Tanpa sistem pentadbiran yang adil tidak kira di dalam kerajaan mahupun mana-mana organisasi, sudah tentu segala perancangan akan gagal.

Sementara penindasan, diskriminasi, kekejaman, rasuah dan peperangan pula sentiasa berlaku dan tidak mungkin akan ada cara untuk menghentikannya kecuali atas tindakan manusia sendiri.

Idealogi ini menjadi asas terciptanya enam lagu di dalam album mini (EP) kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Strikeout.

Strikeout dianggotai lima pemuda, Zaid Fadhil,36, (vokalis), Emri Shamreza,39 (drum), Azuan Abd. Ghani,41 (gitar), Muhammad Nor Alif,29 (bass) dan Muhammad Azam Othman,32 (gitar).

Memilih muzik ‘rapcore’ sebagai genre, Strikeout nyata diterima peminat-peminat yang meminati industri muzik seperti ini.

Berinspirasi daripada pengaruh band-band antarabangsa seperti Rage Against The Machine, Limp Bizkitz, Biohazard, Beastie Boys dan Cypress Hill, Strikeout terbentuk sejak 2013.

EP terbaharu Strikeout berjudul Auta-Matic itu dilancarkan pada Oktober lalu di ruang gig ATASbyBijanFX di Kelana Jaya, Selangor.

Enam lagu menjadi taruhan di dalam EP Auta-Matic iaitu Behold or Begone, Fight the Power (Ft. Joe Pure Vibration), Who You Represent, Roar! (Ft. Hades), Warzone (Ft.Mooky One Buck Shot) dan Itik Pulang Petang.

Sementara dua bonus trek di dalam EP itu menampilkan semula lagu single pertama Strikeout iaitu Behold or Begone dihadirkan dalam dua versi.

Lagu single pertama itu dan juga satu lagi lagu yang menjadi single kedua iaitu Fight The Power ditampilkan melalui laman Youtube.

Menurut Azuan Abd. Ghani, Strikeout mengetengahkan lagu-lagu berkisar tentang hak asasi manusia di seluruh dunia terutama mengenai penindasan, peperangan dan ketidakadilan sistem memandangkan ia semakin berleluasa kini.

“Kami melihat dunia semakin parah dengan penyakit-penyakit seperti ini. Itu membuahkan idea kepada kami dalam menulis setiap bait lagu di dalam EP ini,” katanya kepada S2.

Strikeout pada asalnya terbentuk dari gabungan beberapa band underground di Malaysia seperti Anotherside, Blind Tribe, Thy Regiment, Deumuseth dan Evident Speak.

Selain pernah membuat persembahan pembukaan pada Asian Tour kumpulan antarabangsa Sick Of It All, Strikeout juga pernah tampil pada konsert kumpulan Desolated yang mengadakan persembahan mereka di Asia Tenggara.

Selain itu, Strikeout juga pernah tampil di pelbagai persembahan sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan Melaka.