Soal cinta jarang sekali memihak kepada pelakon yang berusia 36 tahun ini. Pernah menjalani hubungan cinta dengan ramai perempuan termasuklah pelakon Marshanda, semuanya tidak sampai ke pelamin seperti mana yang diharapkan. Tentu sahaja saat dia mula intim dengan Vebby, Baim tidak lagi menyorokkan apa-apa malah mengakui yang dia mahu serius menjalani cinta dengan gadis 15 tahun lebih muda daripadanya.

“Saya kenal Vebby melalui media sosial sahaja. Waktu itu saya ‘goda’ dia, rasanya lama juga. Waktu itu saya bercinta dengan orang lain dan dia juga dengan orang lain. Tapi tiba-tiba sahaja terus kami berpacaran.

“Semua itu berlaku setelah saya melakukan solat Istikharah dan mendapat jawapan yang di mahukan. Itu juga membuatkan saya yakin dengan hubungan ini,” kata Baim.

Menolak tanggapan umum yang soal jarak usia akan menjadi masalah besar kepada mereka, dia menganggap perkara berkenaan hanyalah kata-kata orang luar sahaja. Sebagai orang yang menjalani perhubungan tersebut, mereka saling mengerti dan cuba memahami antara satu sama lain.

“Tak usah diperbahasakan jarak usia memandangkan kami sendiri tidak merasakan perkara berkenaan akan menjadi halangan terbesar. Biarlah masing-masing mengerti dan memahami kelebihan dan keburukan masing-masing. Yang penting boleh menyesuaikan dengan keadaan,” tegasnya lagi.

Mengimbau kembali perjalanan cinta Baim, dia sebenarnya kurang beruntung soal yang satu ini. Walaupun pernah menyukai ramai wanita sebelum ini, hubungan tersebut tidak lama kerana kurang keserasian.

Tentu sekali, sosok Vebby mempunyai daya penarik yang telah membuatkan dia jatuh cinta. Bagi lelaki ini lagi, tentu sekali sifat sederhana yang dimiliki oleh gadis ini yang akhirnya membuatkan dia serius untuk menjadikan Vebby sebagai suri dalam hidupnya sedikit masa lagi.

“Sejak dahulu saya mahukan wanita yang cantik dan baik pekertinya. Ada yang cantik tapi kurang dalam hal yang lain. Saya jadi was-was saat menjalinkan hubungan dengan mereka. Walaupun baru sekarang menemukan apa yang diidamkan, saya gembira. Dia juga sangat menjaga keluarga dan itu juga menambat hati saya,” tambahnya lagi.

Ditanya beberapa media di sana tentang status Vebby yang sedang menuntut di sebuah universiti, Baim tidak menganggap perkara tersebut sebagai satu halangan yang besar. Dia tetap akan meminang wanita berkenaan sedikit masa lagi.

“Biarkan sahaja dia menyambung pelajaran, tak ada apa-apa isu pun sebenarnya. Kami ada juga berbincang mengenai hal itu memandangkan dia sendiri mahu menghabiskan pelajaran sebelum berkahwin. Tapi saya juga risau memandangkan banyak setan (syaitan) jika mahu tunggu dia habis belajar,” katanya tertawa.

Hubungan serius

TIDAK mahu lagi main-main dengan cinta yang sedang dijalani, Baim sebenarnya sudah membawa keluarganya untuk bertemu dengan keluarga Vebby beberapa hari yang lalu. Walaupun pertemuan tersebut tidak membincangkan soal perkahwinan, dia sebenarnya sudah bersedia untuk melamar gadis tersebut sedikit masa lagi.

“Saya sudah bertemu dengan keluarga mereka dan nampaknya kehadiran saya disambut dengan baik. Pada awalnya, memang mereka agak takut dengan pekerjaan saya. Tapi saya berjaya meyakinkan mereka tidak akan ada perkara aneh yang berlaku., Jangan sesekali memikirkan hal yang buruk.

“Pertemuan itu pun hanya untuk berkenalan. Saya juga mahu mengikut aturan yang sedia ada. Bertemu dahulu kemudian bertunang. Soal bertunang memang sudah ada di dalam fikiran saya saat ini tapi untuk pernikahan masih belum difikirkan. Belum boleh dibayangkan bagaimana,” tambahnya.

Melihatkan gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya, tentu sahaja masing-masing gembira dapat bertemu dan berkenalan antara satu sama lain. Tidak memberikan keterangan yang banyak tentang gambar tersebut, pastinya semua sudah mengetahui yang pasangan ini memang serius untuk menjalinkan hubungan.

Saat melihatkan kemesraan yang ditampilkan, tentu sahaja sebahagian besar peminat setia pelakon drama Sejuta Cinta Marshanda ini gembira kerana dia akhirnya bertemu dengan gadis yang benar-benar ikhlas untuk menerimanya sebagai suami.