Tidak meminggirkan karyawan yang menghasilkan filem di luar kategori 70 peratus berbahasa Malaysia, maka anugerah baharu ini diwujudkan kali ini, atas cadangan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang juga bertanggungjawab dalam soal penjurian kali ini dari awal hingga akhirnya.

Melihat secara asas, perkara ini tidak seharusnya dikaitkan dengan isu perkauman. Mereka yang berfikiran negatif sahaja akan melihat perkara ini mempunyai unsur perkauman.

Apakah mereka sedar, setiap negara mempunyai kepatuhan masing-masing, termasuklah dalam soal karya seni? Menerusi perlembagaan negara, bahasa Malaysia telah diangkat menjadi bahasa rasmi negara dan perlu digunakan dalam setiap urusan rasmi. Jadi, seharusnya sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa, bahasa rasmi perlu diangkat termasuklah dalam karya seni.

Jika dilihat secara teliti syarat pencalonan juga, filem yang dipilih untuk masuk kategori bahasa Melayu perlu menggunakan 70 peratus bahasa pertuturan dalam bahasa rasmi negara.

Kalau benar FFM28 bertindak rasis dan perkauman, lebih baik disyaratkan untuk sebuah filem yang bertanding perlu menggunakan 100 peratus bahasa Malaysia.

Buatlah filem dalam bahasa apa sekalipun. Hendak guna bahasa Perancis atau Itali sekalipun, boleh. Asalkan ada kepatuhan terhadap syarat 70 peratus daripada bahasa dalam filem, itu ialah bahasa Malaysia.

Semak kembali apa yang telah dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum ini menerusi Skim Wajib Tayang dan Intensif Pengecualian Cukai.

Itu semua diwujudkan untuk melindungi filem bahasa Malaysia. Bagaimanapun sejak 2012, skim dan intensif itu dibuka kepada semua dan memberi kelebihan kepada penggiat filem tempatan tanpa mengira bahasa apa sekalipun. Maka, dimanakah rasisnya lagi? Terpinggirkah karyawan-karyawan filem India dan Cina di negara ini?

Malah, Finas sebelum ini turut membuka peluang untuk filem bukan bahasa Malaysia untuk mewakili negara untuk memasarkan ke peringkat antarabangsa seperti di Cannes Film Market. Semua itu merupakan penghargaan buat penggiat filem bukan bahasa Malaysia dan bukti bahawa tidak ada unsur rasis atau perkauman untuk memartabatkan industri filem negara.

Cuma di FFM28 kali ini, ada yang nampaknya tidak faham erti menghormati perlembagaan negara dan bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan rasmi negara.

Sekurang-kurangnya pengiktirafan menerusi anugerah sudah diberi dan filem bukan bahasa Malaysia tetap tercalon biarpun dalam kategori yang berlainan. Jika tiada langsung anugerah atau pengiktirafan buat filem bukan bahasa Malaysia, tentu lagi dahsyat puak-puak yang kononnya mengangkat kesamaan dalam negara ini memberi tindak balas.

Jagat tidak akan boikot

GENDANG perang bagaikan sengaja dipalu apabila segelintir penggiat seni menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemilihan lima filem yang berada dalam kategori Filem Terbaik untuk Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM-28) yang mengetepikan Ola Bola dan Jagat. Pun begitu, masih ada yang menyatakan sokongan mereka. Ini termasuklah penulis dan pengarah filem Jagat sendiri, Shanjhey Kumar Perumal yang kekal dengan pendirian untuk terus menyokong FFM.

Filem Jagat yang tercalon dalam sembilan kategori termasuk enam kategori terbuka dan tiga kategori bukan bahasa Malaysia. Bagaimanapun karyawan Jagat ini percaya masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam penganjuran FFM.

“Berdasarkan penelitian, kami mendapati akta yang berkaitan dengan isu ini iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak menyentuh mengenai penggunaan bahasa kebangsaan sebagai satu-satunya medium dalam pembikinan filem. Hasil penelitian juga mendapati, borang pencalonan tidak menggariskan bahawa filem yang memohon menyertai FFM perlu menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium,” katanya.

Sehubungan itu dia berharap supaya Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) selaku pihak yang bertanggungjawab dalam ehwal penjurian kali ini, tampil menjelaskan tentang penggunaan 70% bahasa Malaysia yang menjadi rujukan dalam pemilihan dan penjurian kali ini.

Apa yang diperkatakan oleh Shanjhey itu adalah benar. Filem yang baik, dihasilkan dalam apa bentuk bahasa sekalipun tetap akan menjadi tumpuan penonton. Cuma dalam konteks filem tempatan, perlulah lebih kepada menghormati bahasa kebangsaan.

Shanjhey dalam kenyataannya mungkin tidak bersetuju dengan pengasingan ini tetapi tetap menyatakan sokongan pada FFM dan caranya diselitkan dengan idea untuk nilai tambah.

“Sebagai penggiat seni, kami percaya dalam meraikan kepelbagaian dan ini tidak bermaksud merendahkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Kami tahu pembaikan mungkin akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan tetapi kami sedia bekerjasama untuk sesuatu yang lebih positif,” jelasnya.

Apa yang penting ialah penjelasan bagi penggiat seni mengenai kenapa mereka perlu mengekalkan kira-kira 70 peratus bahasa kebangsaan dalam karya mereka. Bukan apa, mungkin ada segelintir yang tidak faham erti hormat dan kenapa keperluan itu wajar dipatuhi.

Bahasa Malaysia identiti kita

Penganjuran FFM bukan sekadar untuk mengiktiraf sesebuah karya seni, tetapi juga adalah untuk memartabatkan dan mengekalkan identiti bahasa kebangsaan dalam filem.

Ahli Jawatankuasa PFM, Datuk Freddie Fernandez menyatakan sepenuh sokongan usaha FFM28, dalam melindungi kepentingan bahasa kebangsaan.

“Bahasa Malaysia adalah identiti kita. Jika kita tidak buat dalam bahasa Malaysia, orang luar tidak akan kenal bahasa ibunda negara kita,” jelasnya.

FFM menurut Freddie sudah sekian lama bertolak ansur. Mewujudkan kategori yang mengiktiraf filem bukan bahasa Malaysia, juga adalah satu nilai tolak ansur, selain penghargaan tertinggi buat penggiat filem dalam lain bahasa.

“Isu ini mula timbul bila filem-filem bukan bahasa Malaysia seperti Ola Bola dan Jagat yang sudah ditayangkan di luar negara. Apabila ada filem-filem seperti ini yang menjadi tumpuan luar, sebahagian dari kita mula mempertikaikan kenapa mereka tidak dicalonkan dalam Filem Terbaik? Kenapa perlu wujudkan kategori baharu pula untuk mereka dalam FFM28?

“Kita kena faham, FFM itu sendiri diadakan untuk melindungi penggiat seni filem bahasa Malaysia sejak daripada dulu lagi. Saya akan terus menyokong agenda itu kerana kita hormat kepada bahasa kebangsaan negara kita,” jelasnya Freddie sekaligus mengharapkan agar penggiat seni tempatan terus memperkukuhkan tanggungjawab dalam menaikkan nama dan karya yang berkualiti.