Sedia hidupkan semula Too Phat, jika Malique bersedia

TOO PHATNota:Imbasan:22.Ogos.2002Muka.1Sek.3 3
TOO PHAT

Itu antara kegemilangan antara duo Joe Flizzow dan Malique menerusi Too Phat. Namun, semuanya kini hanya tinggal kenangan.

Kali terakhir gandingan Joe Flizzow dan Malique membuat persembahan adalah pada penghujung 2007 dan lagu terakhir mereka pada 2010 iaitu Masih Hip Hop.

Sejak daripada itu, ada perancangan untuk buat album tetapi tidak jadi dan Too Phat ibarat hilang tanpa berita sehingga kini.

Joe yang kini bergerak sendiri berkata, Too Phat tidak pernah hilang daripada dirinya. Malah, jika esok Malique mahu muncul dengan Too Phat pun dia sudah bersedia.

“Bagi saya, hidup kena jalan seperti biasa. Saya tidaklah menantikan kemunculan semula Too Phat. Malique tahu nak cari saya di mana. Dia tahu saya sudah sedia untuk Too Phat kembali.

“Saya sendiri buat lagu Apa Khabar pun sebagai satu mesej kepada dia. Mesej dalam lagu itu bukanlah bermaksud saya tidak hubungi langsung dia. Kami berhubung, tapi jaranglah.

“Tapi secara jujurnya, jika ada rezeki saya memang mengharapkan Too Phat akan kembali,” jelasnya.

Tambahnya, buat masa ini, belum ada perbincangan konkrit antara dia dan Malique mengenai Too Phat.

“Ada lagu saya yang disimpan sudah lima tahun dan ada orang mahu beli lagu itu dengan harga beribu ringgit. Tetapi saya tolak kerana itu adalah lagu untuk kumpulan Too Phat,” jelasnya.

Bagi Joe, jauh di sudut hati dia masih menantikan Too Phat untuk muncul tetapi buat masa ini, meneruskan seni hip hop itu lebih penting berbanding berfikir mengenai sesuatu perkara yang tidak pasti.

Hilang Too Phat menurut Joe bukanlah sesuatu yang peribadi apatah lagi dia sudah menceritakan semuanya.

“Saya sudah cerita semua, tetapi jika tanya saya kenapa Malique hilang, ia sesuatu yang tidak adil untuk saya jawab,” jelasnya.

Dianggap sebagai gejala negatif dan berunsurkan seks bebas, itu antara tohmahan yang diterima oleh Joe Flizzow sebagai seorang penggiat muzik bergenre hip hop di sini.

Pandangan negatif dan serong masyarakat terhadap penglibatan anak muda dalam bidang muzik satu ketika dahulu boleh dianggap lumrah.

Baru-baru ini, Joe Flizzow bersama dengan SonaOne mengungguli salah sebuah anugerah muzik yang dianggap berprestij di negara ini.

Ada yang mempertikaikan kemenangan itu tetapi bagi Joe sendiri, ia sebuah kemenangan bukan buat dirinya, tetapi buat seluruh penggiat muzik hip hop tempatan.

Malah, kemenangan itu juga berjaya menepis dakwaan negatif terhadap hip hop.

Baru-baru ini, bertempat di Joe’s Kitchen, Mega sempat menemu bual Joe sendiri untuk berkongsi pengalamannya bergelar seorang pejuang muzik hip hop tempatan.

Nyata, terlalu banyak perkara yang dipendam.

Indonesia paling mencabar

Bercerita tentang kegemilangan Too Phat dan hip hop secara umum, jelas Joe, dia paling merasa tertekan ketika mula-mula memasuki Indonesia.

Malah, di sana dia mula merasakan kejutan budaya menjadi seorang artis. Cabarannya lebih besar berbanding di tanah air sendiri.

Mereka bukan sahaja pergi sebagai Too Phat, tetapi turut memikul peranan mempopularkan muzik hip hop, selain mewakili negara.

“Bukan mudah untuk artis kita masuk ke industri Indonesia. Lambakan artis mereka sendiri sudah banyak, apatah lagi sebagai orang luar. Satu pencapaian yang baik bagi Too Phat.

“Waktu di sana, sebagai permulaan bukan senang mereka hendak terima kami. Malah, kami sendiri ketika itu masih belum bersedia untuk ke Indonesia.

“Sehinggakan ketika sesi sidang akhbar pertama kami terpaksa menggunakan penterjemah kerana tidak faham bahasa Indonesia.

“Apa yang buat kami terkejut, ketika sidang akhbar pertama itu, ada lebih kurang 100 wartawan dan semuanya mahu bertanya soalan ketika itu. Memang sesuatu yang tidak dijangka,” jelasnya.

Tambah Joe, enam bulan pertama mereka di sana ibarat sesuatu yang menyakitkan sebelum mereka mula diterima.

“Ketika nak membawa Too Phat ke Indonesia memang sesuatu yang sukar dilupakan sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Seperkara lagi yang tidak boleh dilupakan ketika di Indonesia adalah budaya yang berlainan walaupun masih dalam industri muzik.

“Di sana memang lain macam cara wartawan mereka bekerja. Sebab di sana, sentiasa akan ada mata-mata yang memerhati tingkah laku sebagai artis iaitu paparazi.

“Kami dari hotel hendak pergi makan malam pun ada yang mengikut.

“Kalau pergi pusat beli belah, memang akan ada yang kejar kami,” jelasnya.

Bagi Joe, ketika berada di sana, dunia mereka jadi lain dan kebanyakan cabaran bergelar seorang artis banyak diuji di sana.

Seks bebas dan liar

Siapa yang tidak kenal Too Phat. Sebuah kumpulan hip hop yang menjadi fenomena satu ketika dahulu dan sehingga kini, masih ramai yang menantikan kemunculan Too Phat.

Malah, ketika Too Phat mengambil langkah untuk berehat seketika selama dua tahun pada 2008 seluruh industri hip hop dilihat turut perlahan dan mula menyepi.

Namun, permulaan Too Phat untuk menaikkan genre hip hop bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi dengan pandangan negatif masyarakat sehingga digelar penyebab kepada gejala seks liar.

Masih mengingati waktu itu, jelas Joe, ketika itu usianya baru 21 tahun sekitar tahun 2001 dan baru menjinakkan diri untuk menganjurkan sebuah gig hip hop.

“Masa itu sudah ada gig yang saya anjurkan tetapi ketika ditohmah itu adalah gig pertama saya dengan lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya bawa masuk seorang DJ dari Amerika Syarikat iaitu DJ Fingers dan dia bagi saya memang seorang legenda,” jelasnya.

Jelasnya, gig itu akan berlangsung pada hari Sabtu dan hari sebelumnya, sudah ada gig hip hop yang dianjurkan oleh pihak lain.

“Paling saya tak sangka, pada hari gig anjuran saya itu, keluar satu berita di muka hadapan sebuah akhbar yang memberitahu bahawa hip hop menyumbang kepada gejala seks bebas.

“Ceritanya ketika itu seolah-olah gig hip hop ini merupakan satu tempat yang menganjurkan parti dan pesta seks walhal berita itu tidak ada satu pun fakta yang tepat,” jelasnya.

Tambah Joe, ketika itu, muzik dijadikan alasan sebagai perosak akhlak dan selepas black metal sudah ketandusan isu, ada pihak yang mula menyasarkan busur kepada muzik hip hop.

“DBKL sendiri telefon saya bertanyakan tentang perkara itu dan serta merta lesen gig saya dibatalkan. Ketika itu umur 21 tahun, duit RM10 pun kita dah rasa berharga apatah lagi RM6,000 yang saya lesap ketika itu,” jelasnya.

Ketika itu, Joe jelas tidak mahu berdiam diri dan bersama dengan Malique, Mizz Nina, Taufik Teh Tarik Crew dan Altimet, mereka telah pergi ke pejabat akhbar tersebut untuk meminta penjelasan.

“Pada ketika itu, kita memang tidak puas hati apatah lagi hip hop tidak menyokong langsung perkara terkutuk seperti seks bebas.

“Itu antara fitnah yang paling tidak masuk akal dan Alhamdulillah, akhbar tersebut mengeluarkan berita mohon maaf kepada kami,” jelasnya.

Tambahnya, situasi kini sudah berbeza sementelah masyarakat kini sudah bersifat terbuka untuk menerima sesuatu perkara dan tidak seperti dahulu lagi.

“Bila pihak kerajaan ambil inisiatif untuk terima kehadiran hip hop adalah langkah yang paling bagus terutamanya melalui program Rakan Muda dan sebagainya,” jelasnya.

Sebagai penggiat seni, jelas Joe, dia dan rakan-rakannya tidak pernah menafikan budaya tradisional untuk hadir dalam diri mereka.

“Saya melihat hip hop sebagai jambatan kepada seni moden dan tradisional. Kedua-duanya berkait antara satu sama lain.

“Kita ambil penari breakdance contohnya, rakan-rakan saya contohnya semuanya tahu tentang tarian tradisional.

“Benar, pendedahan tarian mereka bermula daripada hip hop, tetapi bila dia sudah mahir dalam tarian itu, secara semula jadi mereka mula mencari tarian baru untuk dipelajari termasuklah tarian tradisional,” jelasnya.

Menelan sesuatu yang moden itu bukanlah untuk melupakan tradisi. Moden macam mana pun seseorang itu, pasti akan kembali kepada budaya dan tradisi.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati