Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mengaku salah di atas perbuatannya, kini Ezad menunggu hukuman

Ezad LAZIM bersama NorAzeana Ramli dan anak, Puteri Rania Keisha. 2
Ezad LAZIM bersama NorAzeana Ramli dan anak, Puteri Rania Keisha.

SUKAR sebenarnya untuk memahami apa yang dilalui penyanyi Zamani selepas dia ditangkap kerana dadah. Kita tidak dapat mendengar kisah sebenar yang dilalui penyanyi itu. Hanya mereka yang pernah berada dalam situasi itu sahaja yang tahu, dan bukan mudah untuk menggambarkannya dalam perkataan.

Malu, kecewa, marah, menyesal merupakan antara perasaan yang menghantui apabila berhadapan dengan situasi itu kata Ezad Lazim yang pernah melalui pengalaman yang hampir serupa.

Memohon agar perkongsiannya ini tidak dikatakan cuba mengambil kesempatan atas kejadian yang menimpa Zamani, kata Ezad, dia percaya setiap kejadian yang menimpa dirinya ada hikmah.

Menyingkap kembali apa yang berlalu November lalu, balas Ezad yang ditangkap bersama sepeket dadah jenis syabu di tangannya menjelaskan bukan soal malu yang mencengkam dirinya kini, tetapi bagaimana dia mampu mengembalikan kepercayaan masyarakat serta memulakan kehidupan baharu demi keluarga tercinta.

“Bila saya dengar apa yang berlaku ke atas Zamani, saya kembali teringat apa yang saya lalui. Tetapi apabila melihat masih ramai yang mahu menyokong Zamani, saya percaya masyarakat kita adalah yang terbaik.

“Bukan apa, dalam keadaan ini kadang-kadang apa yang kami mahukan adalah sokongan dan kepercayaan daripada masyarakat untuk membenarkan kami kembali menjalani kehidupan normal. Sukar memang sukar. Kejadian ini sebenarnya menghadiahkan saya satu kegembiraan yang berbeza kini,” katanya.

Jelasnya, pada hari yang sama dia ditangkap, isterinya juga berada di sebuah pusat perubatan kerana keguguran.

Pada mulanya dia patut bertemu dengan isterinya, bagaimanapun nafsu haram itu menyebabkan dia tersasar jalan dan terpaksa menanggung akibat angkara perbuatannya.

“Jika saya terus berjumpa dengan isteri saya, dan bukan ke tempat kejadian pasti saya tidak ditangkap. Tetapi saya percaya dengan ketentuan Allah.

“Malah lebih menyedihkan apabila mengetahui isteri saya gugur. Memang saya rasa bersalah bukan kepada keluarga saya sahaja tetapi kepada mereka yang terus percaya dengan bakat nyanyian saya,” katanya.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd. Rohaizad Mohamad Lazim, 34, berkata, tiada apa yang lebih mengharukan selain melihat hampir seluruh ahli keluarganya datang dari Kedah untuk memberikan sokongan.

Balas Ezad selepas kejadian itu dia mengambil keputusan untuk mengasingkan diri selama dua minggu bagi mencari kekuatan untuk meneruskan hidup.

“Sehari selepas kejadian saya ditangkap memiliki dadah, seluruh ahli keluarga saya datang dari Kedah. Waktu itu baru saya tahu mengapa saya perlu berubah memandangkan sebelum ini saya terlalu pentingkan diri tanpa memikirkan mereka semua.

“Selama dua minggu saya berada di Kedah, jauh daripada anak dan isteri. Kesempatan itu saya cuba cari balik fokus hidup saya. Ternyata benda itu sudah ada di hadapan mata dan hanya saya sahaja yang buat-buat tidak nampak.

“Antara hadiah Allah kepada saya selepas kejadian ini adalah bagaimana dia merapatkan kembali hubungan kami sekeluarga ,” katanya yang mahu terus menjadikan bidang nyanyian sebagai karier utamanya.

Ditanya bagaimana dia boleh terjebak dengan najis dadah, balas Ezad semuanya bermula dengan perasaan ingin tahu dan suka-suka. Menolak pendapat bahawa golongan artis sebenarnya lebih senang untuk menghampiri bahan terlarang itu, katanya, sesiapa sahaja mampu menjadi mangsa kepada kesilapan diri.

“Memang mula-mula itu suka-suka, bagaimanapun bila bahan ini mampu buat kita lupakan sebentar masalah, jadi saya bergantung pada benda itu. Seingat saya antara perkara yang menjadikan saya agak tertekan sehingga terjebak dalam dadah adalah berita perpecahan kumpulan Exist.

“Mungkin dalam soal pergaulan, golongan artis lebih terbuka. Tetapi jangan sangka orang lain juga tidak terlepas daripada godaan bahan ini. Semuanya terpulang kepada diri, sebabnya kita sahaja yang mampu mengawal diri sendiri,” katanya.

Bukan ambil kesempatan

Baru-baru ini ketika ditemu bual sebuah akhbar, Ezad mengakui dia turut melalui pengalaman disuruh menyanyi dalam lokap. Menolak mencari perhatian yang sama seperti apa yang berlaku ke atas Zamani. Kata Ezad sebagai seorang artis yang melalui pengalaman yang hampir sama, tidak salah dia berkongsi. Bagaimanapun dia kesal apabila ada pihak yang cuba memutar belit niat sebenarnya.

“Memang benar kejadian itu berlaku, mungkin apa yang saya lalui itu berbeza dengan Zamani, namun pengalaman itu tetap sama. Tentang kejadian itu tiada apa yang saya mahu ingat, malah saya juga tidak menyanyi apabila diminta.

“Niat saya hanya mahu berkongsi, tetapi bila ada yang cuba mengatakan saya sengaja mencari populariti saya menafikan perkara itu sebabnya tiada langsung niat saya ke arah itu,” katanya.

Mencari penyelesian untuk kehidupannya selepas ini, Ezad memberitahu kesnya masih berjalan. Bagaimanapun tiada sebab untuk dia terus dirundung perasaan pilu memandangkan ketika ini dia sudah mempunyai perancangan buat masa depannya.

“Kes saya masih berjalan dan tiada apa yang mahu saya katakan soal itu. Sesungguhnya sudah terbukti saya bersalah dan saya terima,” katanya.

Mahu jadi pakar motivasi

Tahu dirinya akan terus diadili kata Ezad, tiada apa yang mampu dilakukan dirinya saat ini. Mungkin agak lambat untuk masyarakat kembali menerima janji bahawa dia sudah berubah. Namun memadai baginya ketika ini untuk ahli keluarganya percaya dengan tekad dirinya untuk menjalani hidup yang lebih sihat.

“Mungkin mereka tidak boleh terima, saya juga tidak boleh salahkan sesiapa dalam hal ini kerana jelas ini merupakan kesalahan saya.

“Hanya masa sahaja yang mampu membuktikan saya mahu berubah. Mungkin lambat, tetapi saya akan tetap berada dalam industri ini untuk menjual bakat yang saya ada.

“Saya tidak peduli tentang fikiran orang memandangkan waktu sekarang keluarga merupakan kekuatan utama saya,” katanya.

Melihat wajah anaknya Puteri Rania Keisha yang kini berusia setahun tiga bulan, tiada apa yang dapat selindung perasaan Ezad.

Kata penyanyi ini, dengan kemajuan teknologi yang ada dia tahu suatu hari nanti anaknya juga akan faham apa yang sudah dilakukan dirinya.

Mahu mengubah perkara ini menjadi lebih positif katanya, dia sanggup berkongsi pengalaman hitam ini agar tidak terjadi ke atas bapa-bapa yang lain.

“Bila fikir suatu hari nanti anak saya sudah membesar dan mengetahui apa yang berlaku, saya rasa amat bersalah. Sebagai bapa menjadi tanggungjawab saya untuk melindunginya dari perkara yang mampu mengganggu tumbesarannya.

“Sebab itu saya membuka peluang buat sesiapa yang mahu saya berkongsi pengalaman. Tidak kisah sama ada motivasi atau sekadar mahu mendengar kisah secara peribadi, saya sanggup.

“Saya tidak mahu perkara ini terjadi ke atas orang lain pula. Sebabnya bukan mudah untuk saya melalui sendiri kesan daripada tindakan bodoh saya ini,” katanya.

zad turut memberitahu, dia kini turut sibuk mempromosikan lagu terbarunya berjudul Hati Mati. Disoal sama ada lagu ini ada kaitan dengan dugaan yang dilalui sebelum ini, Ezad tidak menolak.

“Kali pertama dengar lagu ini, memang saya suka. Saya memang susah dengar lagu kali pertama dan jatuh cinta, tetapi lagu ini berbeza.

“Memandangkan tajuknya juga Hati Mati mungkin saya boleh kaitkan bagaimana keadaan hati saya kini terhadap dadah,” katanya.

Cukup biasa sebenarnya dalam pemikiran segelintir masyarakat kita bahawa sukar untuk sembuh dari ketagihan bahan terlarang ini. Mungkin dengan kisah beberapa artis kita yang tidak serik menyebabkan ada yang berpendapat tiada ubat untuk mereka yang mengambil dadah. Cuba meyakinkan mereka di luar sana, kata Ezad sehingga saat ini dia percaya sudah sihat sepenuhnya.

“Saya lihat bagaimana kawan-kawan saya keluar dari belenggu dadah dan saya yakin tiada yang mustahil. Mungkin apa yang dilalui diri saya ini boleh menjadi contoh dan perlu ada rawatan khusus, namun sebenarnya apa yang lebih penting adalah kemahuan diri untuk berubah.

“Saya boleh kata saya sudah pulih 100 peratus, dengan rawatan serta kekuatan yang ada, tentunya berada dalam keadaan tersebut bukan satu lagi pilihan buat saya,” katanya.

Menjelaskan jenis rawatan yang diterima sepanjang dia cuba menjauhkan diri daripada dadah, Ezad tidak lokek berkongsi maklumat. Bagaimanapun katanya sehebat mana juga rawatan yang diterima ketagihan dadah hanya boleh dijauhi dengan kemahuan diri seseorang itu.

“Memang ada rawatan secara berbayar yang memperuntukkan seminggu sebanyak RM700, jadi bila fikir saya tahu itu agak membebankan. Akhirnya saya lihat perubahan yang perlu saya buat adalah daripada diri saya sendiri.

“Saya mahu anak dan isteri saya terima seorang ayah dan suami yang bertanggungjawab, dan melalui itu saya kuatkan diri. Jauhkan fikiran dari terus tertumpu kepada perkara yang mampu bawa saya kembali ke sisi gelap tersebut,” katanya.

Dengan kisah seorang demi seorang rakan artis yang terjerat dengan dadah, memang ada nada sedih yang diutarakan Ezad. Merasai sendiri pengalaman bergelumang dengan bahan terlarang itu, katanya sesungguhnya dia hanya menganiaya diri sendiri.

“Paling sedih bila bakat yang dimiliki saya sia-siakan, jujur saya katakan dadah tidak pernah membantu saya dari segi karier. Jadi selama ini dadah tidak membawa saya ke mana-mana selain mengganggu pemikiran saya sehingga hilang fokus.

“Bukan saya sahaja tetapi keadaan saya juga memberi kesan kepada hubungan saya dan isteri. Malah dalam masa saya terikat dengan bahan ini, memang keluarga saya takut kalau-kalau saya dan isteri berpisah memandangkan mereka tahu ada yang tidak kena,” katanya.

 

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan