Bagi pengarah filem Hijabsta Ballet, Syed Zul Tojo menyifatkan apa yang cuba disampaikan melalui karya terbarunya itu merupakan idea baharu, segar dan mempunyai pengertian besar untuk dikupas dalam pelbagai aspek. Pastinya pertaruhan yang dilihat bertentangan dengan apa yang sudah disajikan selama ini.

“Memang sengaja kami mempertaruhkan karya yang bertentangan dengan apa yang dilihat dengan mata kasar. Kita mahu orang berfikir tentang pertentangan yang divisualkan dan melihat sendiri apa yang cuba disampaikan. Dengan idea yang segar pastinya dapat menarik perhatian penonton untuk merasainya.

“Apa yang pasti, Hijabista Ballet akan membawa sesiapa sahaja berfikir dalam ruang lingkup yang lebih besar melalui sinema tanah air,” katanya.

Diterbitkan oleh Explosive Magic Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Hijabista Ballet bakal ditayangkan mulai 3 Ogos hadapan. Menariknya mereka ‘melawan arus’ dengan mengambil muka-muka baharu untuk menerajui filem ini di samping pelakon lama yang sudah berpengalaman.

Taruhan sudah pasti tertumpu kepada Puteh Maimun Zahra, Danny Syazlee dan Afeera Rahman @ Batrisya yang menjadi tunjang utama filem ini. Dibantu oleh Aida Khalida, Aman Graseka dan Keena Mentor pastinya ada sesuatu yang menarik cuba disampaikan oleh mereka.

Dalam isu pelakon baharu pula, tentu sekali sebagai pengarah, Syed Zul mempunyai sebab mengapa mereka berani memberikan peluang kepada kelompok tersebut.

“Ballet bukanlah satu tarian yang mudah untuk dipelajari. Hanya mereka yang benar-benar mahir dan dapat menguasai teknik tarian yang betul mampu meneruskan perjuangan dalam bidang tersebut. Sukar untuk kita mengambil pelakon popular sedia ada memandangkan mereka tiada asas ballet.

“Kalau diberikan kursus sekalipun, pasti memakan masa. Jadi kita cari mereka yang sudah ada asas agar lebih realistik. Mereka sudah tahu pergerakan dan tatacara betul dalam ballet dan itu lebih baik,” katanya.

Memulakan penggambaran setahun yang lalu, mereka mengembara sehingga ke Australia bagi mendapatkan babak menarik untuk dipaparkan kepada penonton yang menyaksikannya nanti.

Harapan besar

BERGANTUNG harap agar peminat akan hadir menyaksikan filem ini di panggung nanti, tentu sekali Syed Zul berharap peminat yang hadir nanti akan bercakap dari mulut ke mulut tentang Hijabista Ballet. Tambahnya, mereka mengalami kekangan modal untuk melakukan publisiti secara besar-besaran.

“Ya, itu yang berlaku sebenarnya (kekurangan modal) jika mahu dibandingkan dengan filem-filem besar yang lain. Tapi kita menggunakan pelbagai medium lain untuk menghadapinya termasuklah turut sendiri ke setiap lokasi selain menggunakan media sosial, menggunakan poster dan lori berskrin besar bergerak sebagai platform.

“Kita mahu ada interaksi mereka di laman sosial. Sama da baik atau pun sebaliknya, itu bukan masalah besar buat kami. Itu sudah cukup memberikan petanda yang mereka sudah menonton Hijabista Ballet,” katanya penuh pengharapan.

Menariknya, pasukan produksi sebenarnya sudah pun membuat beberapa kajian ilmiah secara terperinci sebelum ini. Mereka sudah mengembara ke serata Malaysia dan menayangkan filem berkenaan selama 60 minit.

Membahagikan kelompok peminat berusia 13 hingga 16 tahun; 18 hingga 26 tahun dan 36 hingga 40 tahun, mereka diberikan peluang untuk menilai filem berkenaan. Rata-rata peminat memberikan skala tujuh ke atas (persepuluh) untuk kembali ke panggung menonton sehingga habis.

Kepelbagaian latar belakang dan bangsa juga penting memandangkan itu yang akan menjadi kayu pengukur kepada jumlah kehadiran penonton ke panggung nanti.

“Itu tujuan utama kami melakukan kaji selidik bagi melihat gambaran yang jelas mengenai perkara ini. Rata-rata penonton bukan Melayu memberikan skala yang baik untuk kami. Ini menunjukkan persepsi yang mengatakan penonton bukan Melayu tidak gemar menonton filem Melayu adalah salah,” katanya lagi.