Bercerita mengenai perjalanan hidup sepanjang tempoh lima tahun lalu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 29, menyifatkannya sebagai satu momen yang terindah. Meskipun merasakan hayat rumah tangga mereka masih baharu namun Aeril akui hidupnya kini sudah sempurna.

“Sebenarnya lima tahun bukanlah satu tempoh yang lama. Sepanjang tempoh tersebut, saya bersyukur kerana kami tidak pernah berdepan gosip yang panas. Cuma baru-baru ini sahaja ada sedikit isu tentang rumah tangga kami namun saya anggap itu sebagai usikan orang sahaja. 

“Yang dapat saya kongsikan, hubungan kami semakin erat disebabkan kami sudah mempunyai sepasang cahaya mata. Selain itu kami percaya antara satu sama lain dan Wawa adalah seorang isteri yang sangat memahami. Kepercayaan itulah yang antara salah satu prinsip untuk kami tetap bersama.

“Kami juga tidak ada masa untuk fikir mengenai gosip orang ketiga. Sebaliknya kami perlu bekerja keras untuk membesarkan anak-anak. 

“Tipulah kalau cakap saya tidak pernah bergaduh tetapi semua itu mematangkan hubungan kami. Yang kami lalui bersama, saya rasa hidup saya kini sudah sempurna dengan adanya seorang isteri dan dua orang anak. Itulah impian kami,” jelas pelakon utama drama Nahu Rindu ini.

Dalam pada itu, Aeril turut berkongsi perihal perkembangan kerjaya seni isteri kesayangannya. Menurut Aeril, kesibukan menguruskan perniagaan membuatkan Wawa terpaksa memperlahankan kerja-kerja lakonan. 

Pun begitu, bagi pihak Aeril, dia tidak menghalang sebarang keputusan yang dibuat oleh Wawa sama ada dia mahu fokus kepada lakonan atau berniaga sebaliknya memberi kebebasan untuk isterinya memilih. 

“Saya tidak pernah mengongkong keputusan atau kehidupan dia selagi dia tidak melampaui batas. Saya beri kebebasan kepadanya. Tetapi dalam soal ini, dia sendiri adakalanya tidak mahu berlakon. Mungkin kerana dia sudah biasa berniaga. 

“Dan saya sendiri memberi ruang kepada dia untuk berniaga. Sekurang-kurangnya kalau dia tidak mahu berlakon, dia masih ada pekerjaan yang dilakukannya. Yang saya lihat, sekarang ini dia sudah tidak menang tangan menguruskan perniagaannya itu,” jelasnya. 

Mendengar kisah kesibukan pasangan ini mencari rezeki, perihal anak-anak menjadi topik perbualan. Menurut Aeril, disebabkan kurang percaya dan mendengar cerita masyakarat sekeliling, mereka tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak.

“Anak-anak kami dijaga oleh ibu Wawa kerana kami tidak percayakan pembantu rumah. Ketakutan ini berdasarkan pelbagai cerita yang tidak sedap didengar mengenai pembantu rumah. 

“Sejak awal kami memang tidak ada pembantu rumah. Saya lebih percayakan darah daging sendiri untuk menjaga mereka berbanding orang luar. Tetapi untuk masa akan datang, saya sendiri tidak tahu apa yang perlu saya lakukan,” ceritanya ringkas.