Itu belum masuk bab kecantikan. Ramai yang perasan yang pelakon Nur 2 semakin cantik. Jika hendak dibandingkan Amyra Rosli yang dikenali sejak awal pembabitan dalam industri seni lapan tahun dulu, dia semakin mempesona.

Kebahagiaan yang dipamer­kan di sisi suami, pelakon Amar Bahrin bersama anak mereka, Aqeef Anaqi yang kini berusia dua tahun, alahai, beruntungnya wanita ini kerana mempunyai keluarga yang penyayang, siap disertai pakej komersial lagi. 

 

“Apa jua yang mendatang adalah rezeki daripada-Nya sema­ta-mata. Sedikit demi sedikit, tanpa diduga saya dikurniakan rezeki yang pelbagai sejak membintangi drama Nur tahun lepas. 

“Sejak itu, rezeki tidak pernah putus hingga ke hari ini. Tempias rezeki itu turut melimpah kepada suami, anak serta keluarga saya,” kata Amyra yang menyifatkan rezeki yang ada itu sebagai rahmat.

Pelakon drama Isteri Tuan Ihsan ini tidak pernah merancang secara spesifik apa yang perlu dilakukan untuk mewarnai perjalanan hidup.

Sebaliknya dia hanya menuruti peredaran semasa demi kelangsungan hidup.

Mempercayai setiap seorang itu mempunyai rezeki tersendiri, Amyra juga sentiasa beringat-ingat bahawa apa yang sedang dihadapinya itu bersifat sementara. Lagipun kitaran hidup itu bagaikan bola, pasti dia berdepan dengan saat kesukaran satu masa nanti.

“Saya masih Amyra Rosli yang sama. Macam mana yang dulu, begitulah saya. Tak ada yang berubahnya. Cuma barangkali status dan cara kehidupan sekarang ini yang agak berbeza dengan zaman bujang dulu,” katanya.

Amyra berkahwin Amar pada 11 November 2016. Pelakon drama Cik Bunga Encik Sombong ini mengambil keputusan berehat daripada sebarang aktiviti seperti lakonan dan pengacaraan apabila disahkan hamil pada April 2017.

Namanya menjadi sebutan ramai selepas membintangi Nur pada tahun lepas. Menerusi naskhah yang sama, dia diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian dalam Anugerah Skrin Ke–22 yang berlangsung hujung tahun lalu.

HARGA LAMA

DALAM kegemilangan kerjaya yang sedang diraih, Amyra memberitahu dia tidak akan mengenakan bayaran tinggi untuk tujuan kerja-kerja seni. Biarpun sudah menggenggam trofi kejayaan namun itu bukan jaminan buatnya untuk berbuat demikian.

Maklum tentang kemampuan bajet syarikat produksi tempa­tan, dia tidak mahu permintaannya itu nanti akan diperkatakan seluruh penggiat industri kelak. Jadi lebih manis jika dia mengekalkan harga lama.

“Mentaliti orang kita kalau ada seseorang artis itu menggenggam anugerah, pasti ada yang beranggapan individu berkenaan akan mengenakan bayaran tinggi. Itu tidak akan terjadi pada saya.

“Saya cuma demand karya yang mempamerkan sisi diri yang berbeza selepas menjayakan drama sedia ada. Jadi tidaklah kita terlalu statik dan terikat dengan satu watak semata-mata,” ujarnya.

Sepanjang Ramadan ini, Amyra tidak terlibat dengan penggambaran drama sebaliknya memberi fokus terhadap perniagaan yang diusahakan bersama keluarganya.

BUKAN ANOREKSIA

MENJAWAB tanda tanya segelintir pihak yang mendakwa dirinya sedang menghidap anoreksia gara-gara kelihatan semakin kurus sejak kebelakangan ini, Amyra menafikan perkara tersebut.

Berada dalam keadaan sihat dan tidak menghadapi penyakit kronik itu, wanita ini juga tidak pernah berdepan dengan situasi patah hati seperti mana yang digembar-gemburkan.

“Berat badan saya berkurangan dek kesibukan membahagikan masa antara perniagaan, kerjaya dan keluarga. Mungkin perbandingan itu dibuat kerana saya dilihat lebih cengkung berbanding zaman bujang dulu.

“Itu yang timbul desas-desus mengatakan saya terkena penyakit anoreksia. Dalam hal ini, tidak perlu risau. Saya kurus bukan kerana penyakit,” ujarnya lagi.

Penurunan berat badan Amyra juga dikaitkan selepas menjadi testimoni untuk produk kurus yang dijualnya sendiri beberapa bulan lalu.