Hits bertemu jejaka yang berasal dari Melaka ini bukan mahu menyingkap tentang kehebatannya dalam bidang muzik.

Satu ketika dahulu Daqmie pernah mabuk dalam dunia khayalannya sendiri. Kegilaan muzik rock dalam diri Daqmie membuatkan dia tampil dengan sebuah band pada 1992 yang diberi nama EAST.

Kumpulan ini membawa muzik keras, bergenre metal. Selepas itu dia bersama pula dengan kumpulan Barongan.

Barongan cukup terkenal ketika itu sehinggakan pengaruh kumpulan metal itu sampai ke tanah Berlin di Jerman. Itu bagi Daqmie adalah sebuah kisah silam hitam dalam dirinya. Kisah silam yang jarang diceritakan kepada masyarakat.

Kisah bagaimana seorang penggila muzik yang begitu taksub dengan dendangan muzik keras sehingga lupa tanggungjawabnya sebagai khalifah dan peranan seorang anak.

Dia lalai dek arus muzik. Namun, dengan keizinan Allah, dia sedar dan akhirnya kembali ke jalan rahmat sehingga kini.

Pertemuan kami diaturkan beberapa hari sebelum perhitungan akhir Anugerah Nasyid IKIM 2014 yang lalu. Sebuah anugerah yang mengangkat pengkarya muzik berunsurkan kerohanian.

Kami bertemu di studio MH PRO Sdn. Bhd., yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam. Studio itu adalah milik seorang Munif yang juga anggota kumpulan Hijjaz.

“Saya tidak tahu bagaimana saya lupa, Allah yang punya kuasa membuatkan saya lupa. Sampaikan lagu-lagu lama saya sendiri saya sudah lupa bait irama mahupun liriknya,” jelas Daqmie atau Azmee Abdul Manaf.

Sebagai seorang anak guru agama, pendedahannya terhadap kitab suci al-Quran bermula sejak awal lagi. Malah, bermula darjah empat hinggalah ke tingkatan lima, daerah Alor Gajah pasti memilihnya menjadi wakil qari.

“Ketika itu, wakil Alor Gajah dalam pertandingan tilawah al-Quran adalah saya. Sehingga ke tingkatan lima, saya dipilih untuk menjadi wakil negeri Melaka,” jelasnya.

Bermula di tingkatan enam, pengaruh muzik rock mula meresapi jiwa Daqmie. Dia mula menyatakan rasa minatnya terhadap muzik bersama dengan rakan-rakannya.

Rasa minat itu yang membuatkan dia dan rakan-rakannya menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali dengan nama EAST. Bermain muzik dalam genre muzik Metal.

“Ketika itu, rasa taksub terhadap muzik metal memang menggunung. Malah, bapa saya sendiri tidak tahu yang saya mempunyai sebuah kumpulan rock ketika itu.

“Hingga saat ini, saya tidak pernah bercerita dengannya tentang masa silam saya ketika saya taksub dengan metal. Sedikit pun tidak dikongsikan.

“Cuma dia ada pesan yang saya ini berasal daripada keluarga yang baik-baik. Jadi kena jaga peribadi. Rupa-rupanya dia pesan itu selepas dia mengetahui daripada rakan-rakannya yang saya terlibat dengan muzik metal,” jelasnya.

Teringat dia pada satu ketika, dia menyertai sebuah konsert kecil sambil basah disimbah dengan darah. Ketika itu ia menjadi satu kebanggaan.

“Doom Metal ialah genre metal yang gelap dan keras. Pemahaman saya ketika itu, jika lirik itu tidak memuji syaitan, maka itu bukan muzik kami.

“Paling dahsyat ialah bila saya melaungkan sayalah tuhan. Itulah perkara paling buruk pernah saya lakukan kerana sejahat-jahat iblis, dia sendiri tidak mengaku dirinya tuhan,” jelas Daqmie dengan nada kesal.

Kegilaannya pada muzik itu menyebabkan dia lupa pada segalanya. Dia lupa yang dirinya itu punya agama, punya keluarga.

“Tidak ada apa yang saya fikirkan ketika itu. Memang mabuk muzik sepenuhnya. Saya tidak pernah fikir tentang tempat tinggal apatah lagi tentang keluarga.

“Pernah sekali saya makan sebungkus mee segera yang dibahagi empat. Itu pun kami makan semata-mata mahu mendapatkan tenaga untuk menghayun kepala kami ketika mendengar lagu,” jelasnya.

Perkara itu berlarutan selama tiga tahun sebelum dia mula terdedah dengan seni muzik nasyid yang banyak mengubahnya tentang persepsi kehidupan.

Tahun 1996 hingga 1998 menyaksikan cabang jalan dalam hidup Daqmie. Dia mula keliru dengan kehidupannya sehingga membuatkan dia mencari erti kehidupannya.

“Sepanjang tahun itu, saya berkesempatan belajar dengan pelbagai guru dalam muzik termasuklah Zali Kamari, Alfa Booty, Bell Fattah dan Cikgu Siti Hajar.

“Mereka ini antara yang paling banyak berjasa dalam hidup saya sebagai pembimbing saya dalam muzik dan juga kehidupan,” jelasnya.

Bemula 1997, Daqmie mula terlibat dengan kumpulan Hijjaz. Sebagai orang di belakang tabir, banyak yang dibantunya hingga menaikkan nama Hijjaz.

“Ketika saya terlibat dengan nasyid, terdetik di hati saya untuk keluar daripada muzik rock. Namun kekuatan itu belum ada,” jelasnya.

Namun, bekerja dengan kumpulan nasyid ketika itu dirinya mula dekat dengan Allah.

Malah, jauh di sudut hatinya ketika itu, dia berfikir, bapanya adalah seorang guru agama, orang yang dihormati. Dia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

“Apa yang saya pelik, kumpulan nasyid ini duit mereka tidaklah banyak tetapi mereka sentiasa tenang. Saya ketika itu memang banyak duit, tetapi rasanya tidak pernah cukup,” katanya.

Namun bagi Daqmie, ketika itu dia belum lagi cukup bersedia untuk meninggalkan metal. Malah, sekitar tahun 2000, dia tampil pula dengan kumpulan Barongan sebagai vokalis.

Masih membawa muzik metal dan sempat keluar dengan sebuah album, band itu berjaya menempa nama sehingga ke Berlin, Jerman.

Album kedua Barongan tidak dapat disertai oleh Daqmie kerana dia mula terlibat dengan kerja-kerja studio. Ketika itu, dia berada di Fly Studio untuk menyelesaikan projek filem Muhammad The Last Prophet bagi proses alih suara.

Semasa melakukan projek Muhammad The Last Prophet, jelas Daqmie, daripada situ dia dapat lihat keseluruhan kehidupan Rasulullah SAW.

“Bermula daripada situ, saya kenal kembali tentang agama. Ketika itu terdetik di hati saya, mengapa Allah beri saya muzik sebagai jalan untuk kenal dia,” katanya.

Kini sudah genap sepuluh tahun dia mula mendekati Allah dan yang pasti, ganjarannya ialah ketenangan hidup yang lebih puas berbanding sebelum ini.

“Memang benar, saya dapat ketenangan. Dengan Allah, itulah jual beli. Apa yang saya faham tentang jual beli dengan Allah bukan melalui perniagaan yang kita ada sekarang.

“Jual beli dengan Allah ialah melalui jual masa, harta, diri kita dan kehidupan dengan Allah. Allah tidak mahu segala harta kita, dia mahu kita sujud kepada Dia sahaja,” jelasnya.

Filosofinya dalam muzik ialah muzik yang baik adalah sesuatu yang membuat orang sedar apatah lagi peranan muzik itu sebenarnya adalah sesuatu yang dahsyat.

“Penangan muzik memang dahsyat. Muzik ini ada frekuensi dan bila kita ditusuk dengan tajam, maka diri kita akan luka dan kita ambil sesuatu yang tidak baik untuk membalut luka itu.

“Itu yang membuatkan maksiat beranak-pinak hanya dengan medium muzik sahaja,” jelasnya.

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI

Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

Oleh MUHAMMAD AZRUL 
MOHD. RADI
[email protected]
com.my