Begitu juga buat pelantun lagu Malaikat, Hazama yang tidak menyorokkan kisah percintaannya dengan seorang pemuzik wanita berbangsa Cina, sejak dua tahun lalu.

Siapa yang mampu melawan takdir, hubungan yang pada mulanya sekadar kawan melahirkan bibit cinta selepas kerap menjayakan acara pentas bersama-sama.

Meskipun wanita yang dikenali sebagai Genervie Kam itu jauh lebih berusia daripada Hazama, lelaki ini cukup selesa menyesuaikan diri dengan wanita itu.

Perbezaan empat tahun antara usia mereka, tidak menghalang Hazama untuk mengenali hati Genervie walaupun berbeza agama.

Bertemu dengan juara pelajar Akademi Fantasia musim kesembilan ketika sidang media showcase Hafiz & Friends di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini, Hazama dengan hati terbuka menyatakan kesediaannya untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya sekarang ini sedang usaha untuk ke arah itu (kahwin). Tapi apa-apa pun saya serahkan kepada Allah untuk permudahkan perkara baik ini.

“Untuk cakap soal kahwin ini, saya sudah lama bersedia dan akan lebih membuat persiapan bila dia sudah terbuka hati untuk memeluk agama Islam. Sebab soal hati ini adalah kerja Allah, saya hanya mampu berdoa agar segalanya berjalan dengan baik,” katanya.

Meskipun begitu, tambah pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi ini, dia tidak terlalu terburu-buru dan mendesak buah hatinya itu untuk memeluk agama Islam biarpun keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan cinta tersebut.

“Saya tidak mahu memaksa dia tentang bab-bab agama kerana saya menghormati agama dia begitu juga dia. Kami pernah juga membincangkan perkara ini dan saya akan jawab serta beri panduan mana soalan yang saya mampu jawab sahaja. Selebihnya lebih elok dirujuk dengan ustaz.

“Kalau nak cakap penerimaannya sekarang ini, boleh dikatakan sudah separuh jiwa dia sudah selesa untuk terima agama Islam. Tetapi ada beberapa perkara yang buatkan dia terfikir untuk jangka masa lama nanti,” tuturnya.

Hazama, 31, menyifatkan kekasihnya itu sebagai seorang yang memahami dan seringkali memberikan kata-kata semangat selain sentiasa melengkapi diri masing-masing.

“Apa yang buat saya tertarik ialah sikap dia yang sangat fokus kepada apa juga benda yang dilakukan. Selain itu juga, dia sentiasa bagi sokongan kuat kepada saya.

“Mana ada kelemahan saya, dia akan betulkan begitu juga dengan saya. Kami saling menghargai antara satu sama lain. Kalau Tuhan buka pintu hati dia, maknanya dia memang untuk saya,” jelasnya lagi yang tidak pernah putus berdoa dan berharap.

Menyentuh mengenai karier nyanyiannya pula, Hazama kini sedang dalam fasa mengumpul bahan untuk album keduanya dan dia tidak mahu terburu-buru untuk menyiapkan album tersebut kerana mementingkan kualiti lagu.

“Saya mahu album baharu ini nanti mendapat tempat di hati peminat dan berpuas hati dengan penghasilan album saya berdasarkan kualiti dan komitmen tinggi yang diberikan.

“Saya tidak mahu hasilnya nanti sekadar siap sahaja tetapi tiada apa-apa pengisian dan makna. Sebab itu saya suka buat secara berperingkat kerana tak mahu peminat beli album itu nanti sia-sia sahaja,” katanya.

Atas sebab itu juga Hazama memilih untuk mengeluarkan single baharu terlebih dahulu sebelum melancarkan album terbaharu sepenuhnya. Dia telah menggunakan beberapa khidmat komposer terkenal tanah air antaranya Azlan The Typewriter dan Ajai.

“Lepas lagu Malaikat, saya sudah siap merakamkan lagu berjudul Rasa iaitu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Azlan The Typewriter. Lagu ini berentak slow rock dan cita rasa jiwang.

“Lagu Rasa ini memang ada perasaan cinta dan jiwang sedikit yang buatkan saya tertarik dengan susunan muzik dan lirik tersebut. Saya sendiri terkejut diberikan lagu ini oleh Azlan sebab sebelum ini saya kenal dia sebagai seorang rocker tapi tidak sangka sebenarnya ada jiwa cinta dan dia sendiri kata lagu itu memang sesuai untuk saya. Mengikut perancangan mungkin lagu ini akan dikeluarkan pada bulan Mac atau April,” tuturnya.

Dalam sibuk mengorak langkah bergelar penyanyi, siapa sangka raut wajah yang serius itu mampu mengundang hilai tawa peminat dan penonton.

Pernah berlakon menerusi filem Lari dan bergandingan bersama pelakon Aaron Aziz di mana dia dipertanggungjawabkan untuk memegang watak serius.

Namun Hazama tidak dapat lari daripada komen pihak lain yang mengatakan dia agak kelakar dalam filem tersebut biarpun watak tersebut sama sekali tiada kaitan dengan aksi lawak.

“Saya berlakon menerusi filem Lari ini dua tahun lalu. Watak yang saya bawakan ini sudah habis serius dah saya lakonkan. Tetapi ketika tayangan perdana filem ini dahulu, orang tetap gelakkan saya.

“Saya tidak tahu kenapa. Padahal watak itu sedikit pun tiada kaitan dengan aksi lucu dan lawak. Bahkan saya sendiri tidak tahu yang saya ada sifat lawak. Sebab saya kenal diri saya sebagai seorang yang berperwatakan serius dan ceria,” katanya lagi.

Dalam pada itu ketika mengulas lanjut mengenai kemunculannya di pentas Maharaja Lawak Mega 2014 sebagai artis undangan bagi persembahan Nabil baru-baru ini, siapa sangka dia berjaya menggeletek penonton dengan lawak bersahaja di atas pentas.

Pun begitu, pelantun lagu Relakan Jiwa ini dengan rendah diri mengatakan idea dan plot penceritaan itu datang dari idea Nabil sendiri.

“Sebenarnya Nabil yang undang saya untuk jadi artis undangan. Saya rasa jalan penceritaan yang diberikan Nabil itu sebenarnya yang lawak. Sebab itu Nabil jadi seorang pelawak kerana dia sentiasa ada banyak idea untuk jadikan lawak itu tampak kelakar.

“Bukan senang hendak jadi pelawak di pentas macam Nabil. Kemunculan saya pada malam itu pun sebab jemputan sahaja dan kebetulan orang jarang tengok saya begitu, sebab itulah cepat jadi tarikan dan tumpuan ramai. Lagipun kami sama-sama penggiat seni jadi tiada salahnya untuk sesekali cuba kelainan.

“Nabil ada sahaja idea yang kelakar untuk buat penonton tergelak dengan idea lucu. Kalau saya jadi peserta dan berada di tempat Nabil, rasanya hanya mampu bertahan minggu pertama sahaja sebab orang akan cepat bosan,” tuturnya sambil tergelak besar.

Bercakap tentang tawaran berlakon, Hazama tidak mahu bersikap sambil lewa dalam memilih watak yang ditawarkan kerana memahami dirinya seorang penyanyi dan andai menerima tawaran lakonan, dia hanya mahukan watak ringan sahaja.

“Saya cari makan sebagai anak seni jadi tidak boleh terlalu memilih namun saya perlu memikirkan tentang watak yang ditawarkan. Saya akui berlakon sebenarnya lagi susah daripada menyanyi. Atas sebab itu saya selesa jadi penyanyi namun kalau ada rezeki ke arah lakon, saya terima sahaja.

“Saya hanya boleh bawa watak ringan sahaja sebab bukannya pandai berlakon sangat. Kalau diberikan watak berat, takut nanti saya tak mampu berikan hasil yang terbaik kepada pengarah. Saya tak mahu menyusahkan orang lain. Selain itu saya kena juga fikirkan faktor masa sebab berlakon ini perlukan komitmen masa yang cukup tinggi dan memakan masa yang panjang,” jelasnya.