Lantas dia nekad untuk memberi segenap rasanya menghiburkan anak-anak yang kehilangan ibu bapa kerana HIV agar mereka kembali tersenyum gembira dan menikmati hidup indah seperti kanak-kanak lain.

Buktinya, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 29, menghiburkan mereka

 

dalam satu persembahan amal Sinar Ramadan bersama Pertubuhan Komited Malaysia (Komited) baru-baru ini. Hasil jualan meja disumbangkan kepada Anak-Anak Casa Harapan (AACH) yang bertempat di Kuantan, Pahang.

“Sebenarnya sudah lama saya berhasrat membantu anak-anak yang terkesan dengan virus HIV ini. Laluan mudah dan keinginan untuk membantu mereka menjadi berkobar-kobar apabila mendengar sendiri kisah anak-anak ini dari pengarah Komited, Khalid Hashim.

“Kisahnya sangat menyayat hati sehingga saya rasa sebak mendengarnya. Ada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ditemukan di sebuah kubur kerana sedang menangisi pemergian ibunya yang meninggal dunia disebabkan HIV.

“Dia tak mahu berganjak dari kubur tersebut kerana sudah tidak ada tempat bergantung. Ayahnya pula telah meninggal dunia kerana dihukum gantung akibat mengedar dadah. Jadi, pihak Komited mengambil tanggungjawab menjaga kanak-kanak itu.

“Mungkin kita tidak dapat merasai penderitaan yang dialami kerana tidak berada di tempat mereka. Bayangkan, sudahlah tiada emak ayah, masyarakat pula masih memandang serong terhadap anak-anak yang terkesan kerana ibu atau ayah mereka terlibat dengan dadah. Stigma ini masih kuat dalam masyarakat.

“Mereka tidak meminta untuk lahir sebegitu dan bukan salah mereka pun. Mereka berhak mendapat kegembiraan yang sama seperti kanak-kanak lain di luar sana.

“Saya harap acara amal Sinar Ramadan ini menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai pihak di luar sana memberi sumbangan kepada AACH. Insya-Allah, jika kita tolong mengurangkan kesulitan orang lain, Allah pasti akan bantu kita meringankan masalah kita kelak,” jelas Alif yang akan terus memberi sokongan dalam menjayakan pelbagai acara untuk membantu anak-anak yang terkesan dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam masa yang sama, gandingan Alif dan Raihan menerusi rakaman semula lagu Sesungguhnya 2019 yang kembali gemilang memberi harapan baharu kepada penyanyi ini.

Rakaman semula lagu ciptaan sepenuhnya bekas vokalis kumpulan nasyid terkenal itu, Nazrie Johanie ini diharapkan dapat menarik minat penyanyi generasi baharu atau ‘budak baru nak up’ (BBNU) untuk menyanyikan lagu nasyid atau berunsurkan ketuhanan dan nasihat.

“Saya bukan baik sangat, tapi saya cuba membetulkan diri. Harapnya kolaborasi ini akan mendorong lebih ramai BBNU untuk menyanyikan lagu-lagu kerohanian,” jelas Alif yang juga popular dengan lagu Nakal sebelum ini.