Menerusi sekeping gambar yang dimuat naik penyanyi nombor satu negara itu di laman Instagram miliknya, Siti Nurhaliza meminta pandangan dan pendapat untuk berkongsi pengalaman serta petua yang pernah dilalui pengikutnya ketika hamil.

Justeru, di ruangan komen, Hetty berkata: “Allah sayang sama CT (Siti) tandanya. Larangan-larangan orang tua harus selalu diperhatikan dan dipatuhi ya sayang.”

Pada masa yang sama, berdasarkan kapsyen yang disertakan Siti, dia berkongsi perasaan memberitahu betapa indahnya pengalaman yang sedang dilalui di samping menjelaskan momen tersebut sesuatu yang mencabar.

“Saya alami alahan kulit, heartburn, hilang selera makan, sakit pinggang, penat, panas badan dan lain-lain. Betapa besarnya pengorbanan emak saya dulu apabila melalui sendiri pengalaman ini.

“Akan tetapi, saya tabik apabila emak mampu alami semua cabaran tersebut dan melahirkan kami lapan beradik,” katanya memetik kapsyen berkenaan.

Siti Nurhaliza turut mengucapkan rasa terima kasih kepada suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana sentiasa memahami kerenahnya.

“Cuma pesanan saya, muka tu janganlah asyik berkerut, nanti terkenan baby dalam perut,” usiknya terhadap suami.

Siti Nurhaliza juga mengalu-alukan peminatnya untuk berkongsi pengalaman agar boleh dia jadikan pedoman menjelang lahirnya bayi berkenaan pada Mac hadapan. - UTUSAN ONLINE