Ude berkata, dia terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Intan kerana perkara tersebut seakan membuka aibnya.

Ude ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Gombak Timur, Taman Seri Keramat sah bercerai talak satu dengan Intan pada jam 9.50 pagi tadi.

“Apa yang Intan pernah katakan sebelum ini berkenaan kenyataan yang dia tidak tahu sebab penceraian kami dan saya tak pernah berbincang dengan dia mengenai hal ini adalah pembohongan semata-mata.

“Saya mohon agar dia hentikan drama air mata. Bagi pihak saya pula, biarlah saya mendiamkan diri sahaja kerana saya tak mahu membuka aib Intan pula,” katanya.

Dalam hal ini Ude turut menegaskan bahawa isterinya iaitu pelakon Izreen Azminda bukan penyebab berlaku penceraian antara dia dengan Intan.

“Sebenarnya sebelum Izreen muncul, kami sudah mempunyai masalah rumah tangga. Namun saya tidak akan mendedahkan secara terperinci mengenai masalah antara kami kerana tidak mahu membuka aib Intan.

“Berhenti salahkan Izreen kerana dia bukan punca dalam permasalahan yang kami hadapi. Rumah tangga kami sudah bermasalah semenjak dua tahun lepas,” katanya.

Ude mendirikan rumah tangga dengan Intan pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri yang berusia setahun.

Pada November tahun lalu, Intan dilaporkan rela bermadu dan akan mempertahankan rumah tangganya setelah mengetahui suaminya telah bernikah dengan Izreen ‪pada 8 Ogos. ‬

Izreen kemudiannya membuat pengakuan terbuka, dia sah menjadi isteri kedua Ude sejak 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza pada 2012 dan bercerai selepas dua tahun mendirikan rumah tangga. Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun. - UTUSAN ONLINE