Meski memiliki wajah kacukan mampu memberikan dia pelbagai tawaran lakonan dengan begitu mudah namun hakikatnya empunya badan sahaja yang mengerti.

Bukan hendak melabelkan dia sudah tidak laku tetapi begitulah senario yang sedang dialami. Berpaksikan hanya kepada rupa paras sebenarnya tidak mampu mencorakkan bakat dan keteguhan seseorang dalam melaksanakan tugasan.

Mempunyai susur galur berdarah campuran Amerika Latin, Josiah atau Mohamad Musleh yang dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Kelantan itu menginginkan kelainan dalam lakonannya.

Ini khususnya dalam mencorakkan watak lelaki Melayu sejati yang jarang sekali ditawarkan kepada dirinya hanya kerana wajah kacukan yang dimiliki sedangkan dia boleh bertutur dalam dialek Kelantan dan Terengganu dengan baik.

“Tetapi setiap kali dapat tawaran mesti tak menjadi. Saya tak tahulah sama ada saya tak layak untuk pegang watak itu atau sebaliknya. Saya rasa pihak tertentu patut lupakan wajah kacukan saya.

“Sebenarnya rupa paras bukan faktor utama. Yang penting sama ada watak itu saya boleh bawa atau tidak.

“Kadang-kadang sampai ke tahap, produksi nak ‘Melayu’kan muka saya. Itu semua tak penting. Kita Malaysia kenapa kena fikirkan satu kaum sahaja?

“Sejujurnya, memanglah saya teringin nak bawa watak macam itu sebab memiliki kelebihan berdialek Kelantan dan Terengganu. Ini satu bonus untuk saya. Tetapi wajah saya pula yang menjadi satu isu,” luahnya kecewa.

Kata pelakon drama Cinta Jangan Pergi itu lagi, dia sendiri tidak dapat mencari jawapan tentang persoalan itu dan mengapa stigma tersebut sering kali menghantui pembikin cerita tempatan.

“Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga kenapa perlu berfikiran seperti itu. Kita dalam industri kreatif mesti berfikiran terbuka, kalau tidak macam mana filem Hollywood boleh buat cerita tentang angkasa lepas? Sebab mereka berfikir secara terbuka.

“Saya berharap satu hari nanti industri Malaysia boleh lupakan filem Melayu, India dan Cina. Saya harap negara ini boleh bikin filem Malaysia.

“Kalau kita nak untung dalam filem kita, jadi kena gabungkan semua. Harap produser tempatan boleh mula dan semakin banyak menghasilkan naskhah sebegitu,” ujarnya.

 

Pertama kali pegang papan luncur air

BAKAL muncul dengan filem baharu berjudul Surf This Love pada 22 Februari ini, kata Josiah, wataknya sebagai Mike Malaya memberi cabaran baharu dalam kehidupan anak seni.

Masakan tidak, papan luncur air yang selama ini tidak pernah dipegang namun demi filem arahan Waan Hafiz itu, dia membulatkan hati untuk menerima tawaran tersebut.

“Seumur hidup saya tak pernah main papan luncur air. Sudah tentulah timbul kebimbangan pada mulanya. Tetapi para pelakon diberi latihan untuk menguasai aktiviti ini. Kami belajar di Bali, Indonesia.

“Lokasi sudah tentulah banyak membabitkan di sekitar pantai. Saya rasa ini filem pertama yang mengisahkan tentang papan luncur air pernah dihasilkan di Malaysia.

“Harapannya agar penonton tempatan tidak membeza-bezakan filem anak tempatan dengan karya luar negara,” katanya.

Selain Josiah, barisan pelakon lain yang turut menjadi sebahagian dalam filem ini ialah Shukri Yahaya, Christina Suzanne, Pekin Ibrahim dan Mustaqim Bahadon.

Sementara itu, Josiah sedang sibuk di set penggambaran drama 26 episod, Degup Cinta yang diadaptasi daripada drama Turki.

“Saya difahamkan drama itu nanti akan ditayangkan di saluran antarabangsa. Cuma saya tak pasti lagi saluran mana.

“Watak saya dalam cerita ini agak berat iaitu seorang suami yang kehilangan isteri. Saya sudah banyak kali diberi watak berat dan saya sentiasa mengalu-alukan watak lain.

“Bukan nak demand tetapi saya teringin juga nak bawa watak seorang penyiasat namun sehingga kini masih belum tertunai. Tapi tak mengapa, setiap tawaran yang hadir, saya terima dengan hati terbuka,” ujarnya.