Ketika ini, nama selebriti tampan, Henry Golding menjadi bahan berita di media Hollywood ekoran tayangan filem sulung lakonannya, Crazy Rich Asians.

Siapa sangka, tindakan yang pada awalnya menolak untuk membintangi Crazy Rich Asians akhirnya membuahkan hasil yang amat menakjubkan buat lelaki berdarah kacukan Iban - Inggeris kelahiran Sri Aman, Sarawak itu.

Watak utama dalam filem berkenaan menjadikan jadualnya begitu padat di Hollywood kerana memenuhi pelbagai undangan temu bual termasuk muncul sebagai tetamu jemputan dalam program bual bicara popular, The Tonight Show Starring Jimmy Fallon semalam.

Sebelum ini, dia juga pernah diundang menjayakan program bual bicara bersama personaliti tersohor Hollywood, Ellen De Generes dalam program The Ellen Show sekitar April lalu.

Dalam The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, Henry atau nama sebenarnya Henry Ewan Golding, 31, mendedahkan, dia tidak pernah terfikir akan terjun ke dalam dunia lakonan kerana kecenderungan dan kemahirannya sebelum ini hanya tertumpu sebagai pengacara program televisyen.

Namun, katanya, entah bagaimana dia boleh terpengaruh dengan pengarah Jonathan Murray Chu yang berjaya memujuknya membintangi filem yang menampilkan semua pelakon kelahiran Asia.

“Pihak produksi telah menghantar lebih kurang empat emel menjemput saya datang ke sesi uji bakat. Ketika itu saya tidak mahu kerana saya bukan seorang pelakon.

“Saya yakin ada pelakon lain yang lebih hebat untuk menjayakan watak tersebut dan saya sangka produksi tidak mahu mengambil risiko untuk mempertaruhkan bakat baharu seperti saya,” jelas Henry kepada pengacara Jimmy Fallon dalam program berkenaan.

Crazy Rich Asians merupakan sebuah drama romantik komedi yang diadaptasi daripada novel yang menggunakan tajuk yang sama. Filem ini mengisahkan seorang wanita muda berdarah Asia - Amerika yang berkunjung ke rumah keluarga kekasihnya di Singapura.

Tanpa disedari wanita berkenaan, kekasihnya itu merupakan seorang lelaki yang berasal dari sebuah keluarga yang kaya dan masyhur di Singapura.

Selain Henry, pelakon lain yang turut membintangi Crazy Rich Asian ialah Constance Wu, Gemma Chan, Awkwafina, Kris Aquino, Lisa Lu, Nico Santos, Ken Jeong dan Michelle Yeoh.

Selain bercerita tentang penglibatannya dalam filem tersebut, lelaki ini juga berkongsi mengenai pengalamannya bekerja sebagai pembantu kedai gunting rambut ketika berusia 14 tahun.

“Sebelum terlibat dalam dunia pengacaraan, saya pernah bekerja sebagai penggaya rambut. Sebelum itu, bekerja di kedai gunting rambut dan dari situ saya belajar tentang pekerjaan tersebut. Saya juga pernah bekerja di sebuah salon di Chelsea, United Kingdom,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri temu bual tersebut, Jimmy Fallon berpendapat bahawa Henry mampu memikul watak James Bond suatu hari nanti.

Henry memulakan karier sebagai pengacara di Malaysia menerusi program 8TV Quickie dan kerjaya tersebut masih bertahan sehingga kini.

Antara program kendaliannya ialah The Travel Show dan Surviving Borneo.

Henry juga telah berkahwin dengan Liv Lo yang juga seorang pengacara TV keturunan Itali-Taiwan pada Ogos 2016 - UTUSAN ONLINE.