Jika sebelum ini HBO telah memilih filem Despicable Me 2, The Smurfs, Transformers dan Jurassic World, kali ini filem animasi komedi berjudul The Secret Life of Pets menjadi pilihan untuk menggamatkan lagi suasana hari raya juga sebagai tanda menghargai sokongan penonton HBO selama ini.

Menurut Ketua Jualan dan Pemasaran HBO Asia, Yasmin Zahid, saluran HBO sentiasa terbuka untuk menyajikan kandungan eksklusif buat penonton dan untuk filem alih bahasa kali ini, seramai 16 artis popular telah menyumbang suara menerusi watak masing-masing yang pastinya mengundang suasana penuh gelak ketawa lebaran nanti.

Melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menjalin kerjasama baik bersama barisan selebriti yang terpilih, Yasmin secara peribadi menganggap usahasama dalam tayangan istimewa filem alih bahasa ini memberi input yang menarik buat pihak HBO juga buat penonton.

“HBO Asia sentiasa mahu menyediakan hanya yang terbaik dan bersesuaian dengan selera penonton dan tentunya eksklusif. Seakan sudah menjadi tradisi kami, saban tahun HBO akan menyediakan sebuah tayangan filem pilihan dan berdasarkan rekod tahun-tahun lalu, kesemuanya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

“TSLOP menjadi pilihan kami pada tahun ini kerana ia dilihat mampu memeriahkan lagi malam raya anda dan tentunya sesuai buat tontonan seisi keluarga,”katanya.

Apa kata artis?

Menerusi filem animasi komedi TSLOP untuk tayangan istimewa hari raya tahun ini, HBO telah memilih 16 selebriti tempatan untuk meminjamkan suara mereka bagi menjayakan watak-watak yang diberikan.

Antara pelakon yang terbabit meminjamkan suara mereka ialah Fahrin Ahmad, Sherry Alhadad, Nabil Ahmad, Juliana Evans, Hisyam Hamid, Nora Danish, Shahrol Shiro, Zarul Husin dan Mark Adam.

Dalam satu temu bual santai bersama pelakon Hisyam Hamid, dia yang memegang watak utama sebagai Max mengaku berbangga kerana sering menjadi artis pilihan HBO untuk projek tayangan filem alih bahasa.

“Ini merupakan kali keempat saya diberi peluang untuk meminjamkan suara. Terbabit dalam naskah seperti ini sentiasa mengujakan kerana ia membuka satu cabaran lain untuk saya selain berlakon di depan kamera.

“Mengalih suara adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana saya sendiri memang suka melakukan ketika di rumah bersama anak,” katanya.

Memegang watak anjing yang comel bernama Gidget dan menaruh hati pada Max, pelakon Nora Danish juga melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengalih suara untuk filem ini.

“Saya sendiri merupakan seorang peminat filem-filem animasi dan sudah tentulah sentiasa menonton filem seperti ini kerana kini sudah memiliki anak. Jadi rasanya tiada masalah untuk saya membawakan watak animasi kerana bagi saya ia menghiburkan.

“Ini merupakan kali kedua saya terbabit selepas mengalih suara untuk filem Jurrasic World pada tahun lepas dan saya akui ia lebih menyeronokkan berbanding lakonan karakter manusia sebenarnya,” katanya.

Dalam pada itu, bagi pelakon Juliana Evans pula, karakternya sebagai suara Katie tidaklah terlalu sukar untuk dijayakan lantaran wataknya tidak terlalu banyak berbanding karektor lain apalagi fokus intipati cerita adalah lebih terarah mengenai kehidupan haiwan-haiwan peliharaan itu.

Terbongkarnya kisah haiwan peliharaan

Sedikit mengenai TSLOP, ia adalah sebuah filem animasi komedi mengenai kehidupan haiwan peliharaan yang mempunyai pemilik masing-masing, namun terpaksa ditinggalkan di rumah pada siang hari kerana ada tanggungjawab dan komitmen sebagai manusia.

Sepanjang tempoh ditinggalkan antara jam 9 pagi hingga 5 petang itu, mereka semua mencari jalan untuk berkumpul dan bertukar kisah menarik mengenai pemilik masing-masing sekali gus bercerita mengenai hari masing-masing.

Ia dipaparkan dalam plot penceritaan yang menarik kerana di sinilah penonton `diberitahu’ bahawa sebenarnya haiwan-haiwan peliharaan di rumah sebenarnya mempunyai aktiviti dan agenda tersendiri saat selepas mereka ditinggalkan oleh pemilik mereka ketika keluar bekerja.

Max, seekor anjing jenis Terrier yang pintar dan yakin bahawa dia adalah keutamaan dan kesayangan dalam hidup pemiliknya, Katie, mendapati kehidupannya seakan telah berubah setelah Katie membawa pulang Duke, seekor anjing yang selekeh dan tiada kemahiran sosial.

Apabila kedua-dua haiwan ini terjebak dalam satu situasi sukar di jalanan New York, merek sedar perlu mengetepikan persengketaan antara mereka dan bersatu untuk menentang seekor arnab yang kelihatan comel namun bersifat antagonis dan licik bernama Snowball.

Arnab ini sedang menubuhkan tentera haiwan peliharaan yang telah ditinggalkan oleh pemilik mereka, dan ingin membalas dendam terhadap manusia.

Mengetahui agenda jahat Snowball, Max dan Duke bersama rakan-rakan mereka iaitu Chloe, Reginald, Buddy, Tiberius, Gidget, Pops dan Norman bersatu dan perlu menyelesaikan kesemua misi mereka dan kembali ke rumah pada waktu makan malam.

Tayangan perdana TSLOP di HBO menerusi Astro Saluran 411 / 431 sempena Hari Raya Aidil Fitri boleh disaksikan pada Ahad, 25 Jun pada pukul 8 malam.

Jangan ketinggalan menyaksikan rakaman di sebalik tabir yang menunjukkan selebriti-selebriti ini melakukan alih suara dalam Bahasa Malaysia, pada 7.30 malam, sebelum tayangan perdana filem ini.

Siaran ulangan filem ini adalah pada Isnin 26 Jun pada pukul 4.40 petang, Sabtu 1 Julai (6.35 petang), Ahad 2 Julai (11.30 pagi) dan Ahad 9 Julai (4.05 petang).