Mula dikenali menerusi lakonannya dalam siri Kekasih Paksa Rela yang pernah disiarkan di slot Akasia TV3, kini wajah tampan anak kelahiran Kuala Terengganu ini semakin rancak menghiasi drama-drama tempatan termasuk Tak Ada Cinta Sepertimu yang sedang bersiaran di slot Mega Drama di Astro Ria.

“Kerjaya saya bermula sebagai penyanyi menerusi single pertama pada 2013 dan pada 2015 pula, saya mewakili Malaysia ke pertandingan D’Academy Asia musim kedua (DAA2) di Indonesia.

“Selepas itu, Alhamdulillah karier seni saya makin berkembang termasuk mendapat tawaran sebagai pelakon. Bermula sebagai pelakon tambahan, lama kelamaan saya diberi peranan lebih penting,” katanya kepada Utusan Online.

Mengulas lanjut tentang kehidupannya menguruskan kerjaya tanpa WhatsApp, Hazman bersyukur kerana mempunyai seorang pengurus yang cekap mengatur perjalanan kariernya.

Ujarnya, dua tahun lalu, telefon pintar miliknya mengalami kerosakan dan sejak dari itu, dia terpaksa membiasakan diri menggunakan telefon biasa yang tidak mempunyai akses internet.

“Telefon itu sekadar boleh menerima dan menjawab panggilan serta berbalas sistem pesanan ringkat (SMS).

“Dua tahun jugalah saya menggunakannya dan sudah terbiasa hingga ke hari ini walaupun kini kembali memiliki telefon pintar. Alhamdulillah, masih hidup sampai sekarang,” selorohnya.

Setakat ini, Hazman memberitahu dia cuma memiliki aplikasi Instagram sahaja untuk berkongsi perkembangan kerjayanya semata-mata.

Tidak lama lagi, tambahnya, dia bakal masuk ke set penggambaran drama Cinta Bukan Kristal untuk slot Akasia TV3. - UTUSAN ONLINE