Didakwa pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya sudah layak digelar juri dan tidak sesuai bergelar peserta sesebuah pertandingan, bagaimanapun Hazami ketika ditanya enggan melatah.

“Saya sertai GV4 demi memenuhi permintaan para peminat yang mendesak agar saya menyertainya sejak mula-mula program ini diterbitkan tiga tahun lalu. Mereka mahu melihat saya beraksi dengan gaya tersendiri.

“Sejujurnya, saya juga rindu untuk membuat persembahan pentas secara langsung di hadapan penonton yang memenuhi dewan kelak.

“Sorakan, pekikan serta jeritan yang penonton laungkan semasa membuat persembahan memberi satu kepuasan kepada saya, malah mampu mendatangkan tenaga ekstra,” kata pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) pada 2005 itu.

Dalam pada itu, Hazami telah bersedia memberikan saingan kepada 11 peserta GV4 yang lain walau apa jua genre lagu diberikan kepadanya pada setiap minggu.

“Saya cuba lakukan yang terbaik untuk menghiburkan penonton, selebihnya biarlah juri menilainya kerana itu tugas mereka.

“Peserta kali ini bukan calang-calang. Masing-masing ada kekuatan untuk ditonjolkan nanti,” tambahnya.

GV4 akan mula disiarkan pada 29 Oktober ini secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini. - UTUSAN ONLINE