Video penyanyi Hazama menyamar sebagai penyanyi jalanan menjadi tular selepas dia cuba membuat tinjuan orang ramai sama ada menyukai bakat atau rupa.

Mengakui lelaki di dalam video tersebut adalah dirinya, Hazama menjelaskan projek berkenaan bukan bertujuan untuk mengenakan sesiapa sebaliknya mereka ingin mendapatkan perspektif orang ramai sahaja.

Hazama ketika dihubungi UTUSAN ONLINE berkata, projek itu dibuat sebagai tinjauan ke atas orang ramai bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka lebih tertarik kepada bakat atau rupa seseorang.

“Orang ramai mulai cam suara saya ketika menyanyikan lagu sendiri, Aku Yang Sebenarnya selepas beberapa seleksi lagu penyanyi lain. Saya bukan sengaja untuk mengenakan sesiapa tetapi sekadar mahu mendapatkan maklum balas orang ramai sahaja.

“Projek berkenaan merupakan satu eksperimen untuk kami melihat sejauh mana masyarakat kita menilai bakat seni seseorang sama ada mereka suka melihat rupa atau lebih tertarik dengan bakat.

“Saya rasa eksperimen ini telah berjaya apabila video tersebut tular dan mendapat komen-komen positif daripada netizen sebelum terbongkarnya identiti penyamaran saya.

“Selama ini mentaliti orang Malaysia lebih suka kepada sesuatu yang cantik atau dalam erti kata lain lebih memilih rupa. Bagaimanapun, menerusi hasil projek ini membuktikan sebaliknya.

“Saya menafikan jika masih ada yang menyatakan orang Malaysia mengutamakan rupa berbanding bakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.