Bagi Zarina Zainoordin sudah pasti dia ingin seperti insan lain yang dilimpahi rahmat cinta. Tapi berkali-kali dia mencuba semuanya masih samar-samar sejak mula dikenali sebagai anak seni.

“Saya tak mahu lagi kenang kisah lampau. Yang sudah terjadi biarlah menjadi kenangan dan tidak ada gunanya untuk diungkit kembali.

“Lagi pun usia saya sudah menjangkau 30 tahun dan tentunya memberikan persepsi baru apabila dikaitkan dengan cinta. Cara pandangan dan pergaulan juga semakin berbeza berbanding dulu,” ungkap Zarina tenang.

Pun begitu dia tidak menyembunyikan rasa hati saat ditanya tentang cinta. Ujarnya hatinya kini sudah terpaut kepada seorang lelaki dan mereka sedang menyulam cinta.

Tambahnya lagi, perkenalan mereka yang sudah menjangkau setahun itu hadir secara bersahaja meski pun ketika itu mereka sama-sama baru mengenali antara satu sama lain.

“Saya menghormati dia sebagai lelaki yang budiman dan dia menghormati saya sebagai seorang wanita bergelar pelakon dan penyanyi.

“Cuma masih terlalu awal untuk ditelah ke mana hubungan ini akan berakhir. Antara kami masih belum ada perancangan untuk ke jenjang pelamin.

“Jika ada jodoh, insya-Allah akan berkahwin. Sebagai manusia biasa saya hanya berserah kepada takdir,” jelasnya satu persatu.

Mengimbau kenangan lalu, Zarina pernah menyasarkan untuk menamatkan zaman bujang ketika berusia 25 tahun namun selepas tersasar, dia enggan lagi menetapkan waktu untuk mendirikan rumah tangga.

Untungnya keluarga dan kenalan rapat tidak pernah mempersoalkan perkara berkenaan memandangkan mereka meletakkan sepenuh kepercayaan dan keputusan untuk berkahwin kepadanya.

Sudah pasti keputusan keluarga untuk tidak terlalu mendesak membuatkannya gembira dan percaya jodoh akan tiba bila sampai masanya nanti.

Tumpu kerjaya

Jika ada yang perasan nama Zarina sedikit tenggelam sejak akhir-akhir ini. Wajahnya tidak lagi kelihatan di kebanyakan media utama jika mahu dibandingkan dengan kemunculannya satu ketika dahulu.

Tidak menganggap perkara tersebut sebagai ‘fasa tenggelam’ dia masih lagi bekerja seperti biasa dan kehidupannya masih lagi sibuk di lokasi penggambaran seperti pelakon lain.

“Memang benar wajah saya kurang muncul di televisyen popular sejak akhir-akhir ini. Tapi jika ada melihat di stesen televisyen lain memang ada sahaja muka ini.

“Apabila orang tak nampak saya di televisyen orang mula kata saya sudah tenggelam. Tak ada pun istilah hilang kecuali jika saya mengambil keputusan untuk berehat sebentar seperti yang berlaku hujung tahun lalu,” tambahnya.

Mengulas mengenai kehilangannya ketika itu, Zarina mengambil tawaran berlakon drama bersiri Kalau Hati Ini Rama-Rama (TV1) yang menjalani penggambaran di Sarajevo, Bosnia.

Sebaik sahaja tamat penggambaran, dia menghabiskan masa untuk bercuti di sana sebelum menyambung penggambaran drama Di Aspora Cinta di Turki pula.

“Kemungkinan dalam fasa itu orang menganggap saya menghilangkan diri padahal sejak awal tahun ini memang jadual saya sentiasa penuh dengan pelbagai tawaran daripada produksi,” jelasnya lagi.

Baginya fasa ini merupakan masa untuknya menjaga kualiti dan mutu lakonan dan enggan lagi terpalit dengan cerita-cerita kurang enak seperti yang pernah berlaku kepada rakan-rakan artis yang lain.

Soal disiplin dalam bekerja dan soal peribadi diasing agar tidak memberikan impak buruk kepada kerjaya seninya.

“Ada orang gunakan cara ‘bikin’ kontroversi untuk mereka naik. Saya tak mahu perkara ini terjadi kepada saya. Cukuplah saya pandai menjaga diri dan orang tidak memberikan masalah kepada orang lain,” katanya yang membintangi supertele Cikgu Timah Sekolah Bandar untuk siaran Astro First Eksklusif.

Bercerita mengenai masa depan kerjaya pula, Zarina tidak mahu terus bergelar pelakon sebaliknya bakal melakukan sesuatu yang lebih besar pada tahun hadapan.

Dia yang merancang untuk bergelar penerbit dan pengarah sudah membuat penilaian akhir tentang perkara-perkara yang harus dilakukan untuk kelangsungan kerjayanya.

“Saya tak mahu terus statik sebagai pelakon. Sejak dulu lagi saya memang sudah menanam azam untuk bergerak ke satu fasa lain bila tiba masanya.

"Semua orang pun perlu buat perkara yang sama untuk terus maju dalam kehidupan mereka,” luahnya.