Tiada yang lebih menggembirakan selain dipertemu dengan lelaki yang mampu mengetuk dan mengunci pintu hati seorang wanita yang mendambakan cinta suci.

Mengakui dirinya kini bahagia dengan teman lelaki yang juga pelakon, Hafreez Adam, Zara menyifatkan aktor itu sebagai seorang yang cukup memahami dan matang dalam bercinta.

Pernah beberapa kali gagal dalam percintaan sebelum ini, perjalanan cinta dengan Hafreez yang belum memasuki usia setahun itu dirasakan cukup berbeza biar pun usia mereka lima tahun jaraknya.

Kematangan dan kesabaran lelaki itu dalam melayan kerenahnya benar-benar membuat aktres berusia 33 tahun ini selesa mendampingi Hafreez. Malah mereka juga sebenarnya berkongsi perangai ‘gila-gila’.

“Saya rasa selamat dan yakin di samping dia. Biarpun usia kami berbeza jarak lima tahun tetapi dia sangat matang dan bijak dalam memberi pendapat. Saya selalu meminta nasihat daripadanya.

“Setakat ini, saya selesa dengannya. Dia pun kepala ‘gila-gila’ juga. Saya pernah bercinta dengan lelaki yang membosankan sebelum ini dan Hafreez sangat berbeza daripada mereka.

“Dulu kalau bercinta, saya cepat marah dan mudah cemburu. Tetapi mungkin usia sudah lebih matang sekarang jadi banyak yang perlu dikawal,” katanya yang popular dengan drama Love You Mr. Arrogant.

Tular dalam laman sosial apabila dia membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran Hafreez ke-28, Zara mendapat pujian apabila rata-rata peminat menyifatkan mereka sebagai pasangan romantis.

Tiada niat langsung untuk menunjuk-nunjuk, jelas Zara, dia mahu menyambut ulang tahun Hafreez dengan cara yang cukup istimewa dan akan diingati buat selama-lamanya.

“Siapa yang tidak suka perkara yang menyeronokkan, ramai peminat yang menghantar pesanan kepada saya sebab nak buat cara sambutan sama. Saya pun tak sangka sebenarnya, romantis juga saya ini.

“Sebenarnya ulang tahun Hafreez jatuh pada bulan puasa. Lagipun, kami tak ada masa untuk menyambut bersama-sama kerana masing-masing sibuk dengan penggambaran. Susah hendak jumpa,” katanya.

Diajukan soalan sejauh mana hubungan mereka, Zara hanya tersenyum manja. Dia seboleh-boleh tidak mahu terburu-buru dalam menyusun langkah terutama dalam hal melibatkan perkahwinan.

Yang dihajati daripada setiap peminat adalah doa tulus ikhlas supaya hubungan cinta mereka akan terus mekar hingga menaiki pelamin dan menikmati cinta yang dimiliki sepuas-puasnya.

“Saya sudah lama kenal Hafreez. Seingat saya, ketika itu, dia sudah ada teman wanita. Tetapi Tuhan pertemu kami kembali di set (drama) Monalisa dan kami mula jatuh cinta.

“Kalau tanya fasal kahwin, kami belum fikir ke arah itu. Ya, masing-masing sudah bertemu keluarga tetapi banyak lagi perkara yang perlu diambil kira sebelum berkahwin,” katanya.

Cabar diri dalam Super Spontan

BERTANDING dalam program realiti, Super Spontan, Zara mengakui, dia berasa kerdil dan gugup apabila terpaksa bertanding dengan peserta lain yang sememangnya sudah mahir dalam melakukan aksi spontan.

Namun kerana mahu mencabar diri untuk melakukan sesuatu di luar kanvas seninya sebelum ini, Zara mempersiap diri supaya dapat bersaing dengan nama-nama besar seperti Achey, Abam dan Fad Bocey.

“Memang mencabar sungguh tahun ini apabila cuma saya dan Siti Elizad sahaja peserta wanita tunggal dalam kumpulan masing-masing. Saya tak boleh main-main dalam Super Spontan.

“Saya cuma mahu merasai kegembiraan dan keterujaan bermain permainan dalam program tersebut. Selama ini tengok dalam kaca televisyen, sekarang boleh turut serta.

“Permainan dalam program ini menuntut kita supaya fokus. Memang nampak senang tapi otak kena ligat berfikir bagaimana hendak menang.

“Tapi saya tak letak harapan pun nak menang,” katanya.

Ditanya adakah dia bersedia sekiranya ada peminat yang mengecam dan mengkritik cara permainannya dalam program tersebut, jelas Zara, dia tidak mahu ambil pusing dengan perkara itu.

“Ala... tak masuk program itu pun sudah kena kecam. Jadi saya tak kisah sangat. Kita tak boleh kawal mulut orang jadi kita layankan sahaja.

“Tapi apa pun, saya kena jaga juga tindak tanduk.

“Ada juga minta nasihat daripada Jihan (Muse) dan beberapa rakan artis lain yang pernah bertanding dalam program sama. Kita cuba, ya,” katanya.