Antara selebriti yang sering menawarkan diri menjadi sukarelawan atau aktivis kemanusiaan ialah Diana Amir dan Fara Fauzana yang telah menyertai Projek Squad Celebrity Global Volunteers anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Ukhuwah 4 Ummah (U4U) pada April lalu.

Berkongsi dengan Mega HITS pengalaman melakukan kerja-kerja amal, Diana dan Fara mengakui, penglibatan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membuka mata mereka mengenai betapa pentingnya nilai kemanusiaan dan kasih sayang dalam hidup.

Kedua-dua selebriti itu juga mengakui, melihat penderitaan orang lain menyebabkan, hati mereka sayu dan tersentuh.

Bahkan, Diana dan Fara lebih menghargai dan mensyukuri dengan apa yang ada.

Bagi Diana, tiada apa yang mampu dipanjatkan selain daripada bersyukur kerana berpeluang menjayakan misi kemanusiaan di Bosnia Herzegovina selain tugas-tugas yang diamanahkan berjalan lancar.

Pun begitu, ada juga pengalaman perit yang dilalui Diana termasuk berhadapan dengan ketidakselesaan akibat sering pening dan loya kerana berada dalam kenderaan terlalu lama.

“Setiap hari kami melawat dua penempatan yang jaraknya amat jauh daripada hotel penginapan kami. Masa untuk ke satu tempat itu kira-kira tiga jam. Selesai merakam video dan menemu bual penduduk di tempat tersebut, kami akan bergerak ke penempatan lain.

“Untuk ke tempat kedua itu, tiga jam lagi diperlukan untuk ke sana. Selepas itu, masa yang lama juga diperlukan untuk kembali ke hotel. Saya tak ada mabuk hamil, tapi pening dan loya sebab lama berada dalam kenderaan. Apapun saya bersyukur kerana misi kami berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” katanya berkongsi cerita.

Pemergian Diana bersama Ashraf Muslim dan selebriti sosial, Farah Lee ke negara Balkan itu ialah bagi menjayakan misi kemanusiaan, Misija 4 Bosnia.

Katanya, tidak dinafikan bahawa negara Bosnia memang cantik dan ramai pelancong dari Malaysia yang berkunjung ke situ, namun lawatan kumpulan Diana bukanlah ke tempat pelancongan tetapi di luar bandar.

“Bila melihat rumah-rumah mereka kita masih boleh nampak kesan-kesan tembakan.

“Rata-rata penduduk Islam di situ ada cerita sedih masing-masing. Sepanjang berada di sana, saya dan Farah mesti menangis kerana saya melihat keadaan mereka. Ashraf pula sering membantu jurukamera, Hafiz, untuk merakam video.

“Untuk penduduk di sana nak membangunkan semula penempatan mereka memang susah. Kalau nak minta kerja pun susah dapat jika tidak ada orang dalam. Mereka bergantung kepada sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO),” cerita Diana lagi.

Selain itu katanya, penduduk Bosnia amat menderita apabila tiba musim sejuk kerana tidak memiliki food heaters (pemanas makanan) yang setiap satunya berharga kira-kira RM20,000.

“Kalau rasa kehidupan kita susah, hidup mereka lagi susah kerana sukar mendapat pekerjaan. Hidup mereka memang daif dan lebih sengsara apabila musim sejuk. Saya harap kempen yang kami lakukan ini dapat meringankan bebanan mereka,” kata Diana yang berada di sana selama lapan hari bermula 19 April lalu.

Katanya, inisiatif itu diambil bagi meraih dana kemanusiaan sebanyak RM4.2 juta, di mana setiap kempen perlu mengumpul wang sebanyak RM600,000.

Kempen-kempen lain ialah School 4 Godda (India), Tabang 4 Marawi (Filipina) dan Water 4 Malawi (Malawi).

Selain melawat tempat berkenaan dalam usaha untuk mengumpul dana, Diana dan pasukannya serta ikon-ikon lain turut menjadikan laman sosial sebagai medium mempromosi hasil kerja masing-masing. Hasil kerja semua pasukan boleh ditonton menerusi YouTube Squad Celebrity Global Volunteers.

“Setiap pasukan mempersiap video kembara di setiap negara sebanyak 20 episod dan pada skrin video itu juga tertera nombor akaun untuk orang ramai menderma.

“Semua selebriti yang pergi menjalankan misi ini melakukan dengan ikhlas dan bagi saya sendiri, kesempatan yang diberi amat bermakna dan jika ditawar melakukan lagi tugasan begini, saya tak akan menolak,” katanya yang kini hamil enam bulan.

Selain itu, Diana dan ikon-ikon Squad Celebrity Global Volunteers juga akan menjayakan jualan kebajikan prelove pada 1 September ini di Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Jelas Diana, sempena jualan prelove itu, ramai selebriti akan menyerahkan barang-barang kesayangan mereka untuk dijual dan hasil jualan akan disalurkan kepada tabung Projek Squad Celebrity Global Volunteers.

“Saya akan menjual tudung-tudung saya yang tak pernah pakai itu. Walaupun jualan preloved ini selalunya dengan harga yang murah tapi disebabkan ini adalah untuk amal, harap pembeli bolehlah menderma lebih daripada harga yang ditawarkan.

“Pada yang ingin menabur bakti atau mencari saham akhirat, marilah beramai-ramai kita menjayakan kempen ini yang akan berlangsung pada 1 September nanti. Pada yang ingin menghulur bantuan boleh hubungi talian 011-51476963,” katanya lagi.

Pengalaman luar biasa, menyentuhkan

JIKA sebelum ini Fara Fauzana sering menimba pengalaman bertemu dengan mangsa-mangsa perang apabila mengikut NGO melawat kawasan yang terpilih, jadi perasaannya berbeza tatkala berkunjung ke Malawi, selatan Afrika bagi menjayakan Squad Celebrity Global Volunteers.

Di Malawi, Fara turut ditemani rakan baiknya, Faizal Ismail dan pelakon Zoey Rahman bagi menjayakan misi Water 4 Malawi.

Sewaktu berada di sana, hati Fara benar-benar tersentuh kerana melihat kehidupan penduduk di situ yang amat daif.

“Berada di Malawi merupakan satu pengalaman luar biasa sebab sebelum ini saya berdepan dengan keadaan dan mangsa-mangsa perang, tapi di sini mereka susah disebabkan isu alam sekitar. Mereka ini susah yang tak dapat nak digambarkan. Kiranya, buka-buka mata dah susah. Nak dapat air pun susah macam mana nak buat aktiviti lain.

“Dahlah susah, kos hidup pula sangat tinggi. Saya begitu tersentuh apabila melihat keadaan kawasan mereka sangat bersih dan ada juga yang kotor. Kawasan itu ‘bersih’ kerana mereka tidak ada apa yang nak dibuang sebab makanan pun tak mampu nak beli seperti mana di Malaysia.

“Kita ni kalau jalan sikit pun dah penat, mereka di sana berjalan kaki adalah cara utama bergerak. Kalau mampu sikit, mereka akan berbasikal atau menggunakan van. Selagi terdaya mereka akan berjalan dari satu tempat ke satu tempat kerana tiada pilihan sebab tidak mampu. Bila tengok keadaan mereka itu buatkan saya sebak kerana kita di Malaysia, hidup mewah,” katanya membuka cerita.

Kata Fara, selain menghebahkan aktiviti kumpulannya di sana menerusi laman sosial, pihaknya juga akan menyertai jualan preloved pada 1 September ini, di mana Fara dan Faizal bakal bertindak sebagai pengacara sepanjang acara berlangsung.

“Saya yang menawarkan diri untuk menjadi ahli jawatankuasa bersama rakan-rakan lain untuk acara preloved ini. Saya cuba menggunakan perhubungan persahabatan dengan rakan-rakan selebriti yang berpengaruh untuk mereka kongsi barang-barang kesayangan mereka untuk kita lelong. Alhamdulillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun sudah bersetuju untuk melelong beg tangannya nanti.

“Selain jadi pengacara, saya juga tidak mahu ketinggalan untuk memberi barangan kesayangan untuk dilelong. Saya tak ada banyak barangan sangat sebab sebelum ini sudah bagi pada satu badan lain untuk jualan amal juga.

“Untuk 1 September ini, saya hanya boleh hulurkan kaca mata saja. Saya kumpul duit untuk beli kaca mata berjenama itu. Bukan tidak boleh beli segera tapi saya suka mengajar diri untuk kumpul wang sebelum membeli. Takut nanti bila dah terbiasa beli segera nanti kalau berlaku apa-apa pada kita, pasti terasa,” katanya.

Melakukan kerja-kerja amal bukan satu bebanan kepada Fara yang kini tidak terikat dengan mana-mana majikan, sebaliknya, bekas penyampai radio Hot FM ini bekerjasama dengan Faizal mengendalikan program temu bual bersama artis yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook yang diberi nama D’Bilique.

Kata Fara, dia tidak mahu orang melihat dirinya sebagai sukarelawan semata-mata. Kalau boleh dia mahu dikenali sebagai manusia serba boleh dalam melakukan pelbagai kerja.

“Saya tidak kisah digelar aktivis kemanusiaan tapi seganlah sebab masih baharu dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Kalau boleh saya mahu melakukan pelbagai aktiviti kerana hidup ini perlu keseimbangan.

“Sekarang ini fokus saya adalah untuk D’Bilique sebab saya dan Faizal merupakan rakan kongsi untuk Digital Kita Sdn. Bhd., dan kami sedang berusaha untuk memajukan syarikat. Cuma bila ada masa saja, saya akan menjadi aktivis atau sukarelawan kerana saya suka membantu orang ramai. Sebenarnya kerja-kerja membantu ini saya mulakan di Malaysia dulu, kemudian barulah ke luar negara,” ujar Fara lagi.