Bagaimanapun, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah mengakui, bayi dipanggil Tiara itu sebenarnya bukanlah anak kandung, tetapi adalah anak angkat yang diambil kira-kira dua minggu lalu.

“Seperti pasangan lain, saya dan Anne sekian lama menantikan kehadiran anak yang mampu menyerikan lagi kehidupan kami sebagai suami isteri. Apakan daya, rezeki tidak menyebelahi kami untuk memiliki zuriat sendiri.

“Selain tidak putus memanjatkan doa dan terus berusaha, pada masa sama kami pernah berhajat untuk mengambil anak angkat bagi mengisi kekosongan yang ada.

“Namun, hasrat tersebut tertangguh beberapa kali atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan,” jelasnya kepada Utusan Online.

Pun begitu, pada 6 Ramadan bersamaan 22 Mei lalu, sebaik seorang kenalannya memaklumkan tentang bayi berkenaan, Achey dan Anne tidak teragak-agak menyatakan persetujuan untuk menerima kehadiran Tiara.

Tambah Achey, sambil disulam perasaan gembira serta teruja, mereka terus bersiap dan bergegas menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menatap wajah bayi comel itu yang dilahirkan pada 15 Mei lalu di pusat perubatan tersebut.

Setelah dimaklumkan secara terperinci mengenai latar belakang Tiara termasuk identiti keluarga kandungnya, Achey bersyukur mereka tidak berhadapan dengan sebarang masalah.

Bahkan, prosedur pengambilan anak angkat yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk proses dokumentasi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sekarang ini, kami perlu tempuhi tempoh percubaan selama dua tahun melaksanakan peranan sebagai ibu bapanya. Jika JKM kata lulus, barulah Tiara sah jadi anak angkat kami,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE