Berkata kepada Utusan Online, berdasarkan perbincangannya dengan lelaki tersebut pada 23 November lalu, mereka bersetuju untuk melaburkan wang dengan pecahan modal sebanyak 40 peratus dan 60 peratus ke dalam akaun syarikat yang didaftarkan di bawah nama @vision.gadgets.

"Kami sama-sama bersetuju untuk memasukkan wang ke dalam akaun syarikat bagi memulakan perniagaan. Saya telah pun melabur sebanyak 40 peratus, manakala baki adalah bahagiannya.

"Pada tarikh tersebut, saya sudah melunaskan tanggungjawab saya seperti yang telah dipersetujui bersama. Kemudian saya dapati dia tidak berbuat demikian.

"Sehingga ke hari ini, apabila diminta bukti pembayaran ke dalam akaun, dia gagal menunjukkan sebarang transaksi. Jadi, dari situ saya rasa ada yang tidak kena.

"Disebabkan itu, saya memintanya agar memulangkan semula duit yang telah dilaburkan kerana wujud keraguan terhadapnya.

"Walaupun dia menegaskan tidak menyentuh duit yang telah dimasukkan ke dalam bank, tetapi hingga sekarang dia belum lagi mengembalikan semua wang saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Harris, rakan kongsinya hanya memulangkan separuh sahaja daripada jumlah keseluruhan wang tersebut.

Tegas pemuda yang berasal dari Singapura itu, dia tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan lanjut andai lelaki berkenaan gagal berbuat demikian dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kecederaan yang dialami anaknya ketika berada di pusat beli-belah terkenal, Harris sudah pun menghantar surat kepada pihak pengurusan butik jenama antarabangsa yang mengakibatkan anak sulungnya itu melecur.

"Sekarang ini saya cuma menantikan syarikat pengurusan butik berkenaan memberikan respons mereka terhadap surat tuntutan tersebut.

"Jika tidak, barulah tindakan selanjutnya akan diteruskan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE