Justeru, suka atau tidak, Hollywood harus berterima kasih kepada karyawannya yang datang daripada pelbagai latar belakang, darah yang mengalir dalam tubuh, sijil kelahiran yang beragam, batas demografi serta wajah dan rupa yang berbeza-beza.

Memetik kata-kata pelakon legenda Meryl Streep ketika menerima trofi Anugerah Sepanjang Zaman pada majlis The Cecil B. DeMille Award di Anugerah Golden Globe tahun lalu, Hollywood penuh dengan orang luar dan orang asing.

Tegas Streep, jika kesemua mereka yang berjuang dalam industri filem Amerika Syarikat (AS) itu dihalau, negara Uncle Sam itu tidak memiliki apa-apa selain American football dan seni mempertahan diri bercampur, yang bukannya seni.

Kelangsungan mesej kemanusiaan serta harapan untuk menjadikan mimpi sebagai kenyataan susulan daripada kenyataan Streep tahun lalu berlaku sekali lagi di pentas Anugerah Academy kali ke-90 semalam.

Majlis anugerah seni paling popular itu menampilkan sejumlah kecil selebriti yang menggunakan sepenuhnya ruang pentas Anugerah Academy untuk memberi harapan baharu kepada sang pemimpi untuk terus mencetuskan ilham dan memberi inspirasi kepada dunia.

Tanpa malu untuk mengakui mereka golongan pendatang, bintang-bintang ternama seperti Lupita Nyong’o dari Kenya-Mexico dan Kumail Nanjiani (Pakistan) secara terbuka berkongsi kebanggaan mereka bagaimana kerjaya yang disandang mereka kini bermula dengan angan-angan ketika zaman kanak-kanak.

“Sama seperti semua yang berada di dalam dewan ini dan yang menonton di rumah, kami adalah ‘pemimpi’. Kami membesar dengan mengimpikan yang satu hari nanti kami akan bekerja dalam industri filem. Mimpi adalah asas kepada dunia Hollywood dan juga asas kepada Amerika sendiri,” kata Nyong’o.

Bersetuju dengan yang disuarakan oleh Nyong’o, Nanjiani mengajak para imigran yang berhasrat untuk melebarkan kerjaya seni mereka di Hollywood dengan berikrar akan terus memberi sokongan kepada golongan itu.

“Jadi, kepada semua para pemimpi, kami sentiasa berada bersama-sama anda,” kata Nanjiani.

Nanjiani juga berkongsi bagaimana dia membesar dengan menonton filem-filem yang dibintangi pelakon kulit putih dan tidak pernah berasa prejudis dengan hal tersebut.

Bertitik tolak dari situ, aktor berkenaan berpendapat, mereka yang berkulit putih seharusnya melakukan hal yang sama terhadap golongan pendatang.

Kenyataan Nyong’o dan Nanjiani itu juga sekali gus menterjemahkan rasa kurang senang mereka terhadap tindakan Presiden AS, Donald Trump yang pada tahun lalu mengumumkan akan menghentikan program polisi migran melibatkan kanak-kanak pelarian atau Tindakan Tertangguh Ketibaan Kanak-Kanak (DACA).

Isu kepelbagaian dan ragam kemanusiaan turut disentuh oleh pengarah bersama filem Coco, Lee Unkrich yang merakamkan penghargaan kepada orang Mexico yang menawarkan budaya dan tradisi yang paling indah.

“Coco tidak mungkin wujud tanpa keindahan budaya dan tradisi kamu (Mexico). Bersama Coco, kami cuba untuk melangkah setapak ke hadapan menuju dunia apabila semua kanak-kanak boleh membesar dan menyaksikan karakter dalam filem seperti yang dilakukan oleh mereka,” ujarnya.

Suara kemanusiaan yang sama turut kedengaran sebaik sahaja Andra Day dan Common mempersembah lagu Stand Up for Something di pentas dengan dikelilingi aktivis seperti Tarana Burke, Janet Mock dan Bana Alabed.

Common dengan yakin berkata: “Kami berdiri bersama-sama para pemimpi. Kami berdiri bersama-sama para imigran.”

Menyedari betapa pentas Anugerah Academy sangat tepat untuk menzahirkan citra dan aspirasi menyebabkan sutradara Guillermo del Toro turut membicarakan pengalamannya sebagai pendatang serta ketika filem The Shape of Water memenangi Filem Terbaik.

“Membesar di Mexico, saya fikir hal ini tidak akan pernah berlaku tetapi sebenarnya masih lagi berlaku.

“Saya ingin beritahu, semua orang bermimpi fantasi bagi menceritakan kisah sebenar di dunia hari ini,” ujarnya sambil disambut oleh tepukan gemuruh penonton.

Anugerah Academy yang ditonton oleh jutaan peminat dari seluruh dunia menyaksikan filem The Shape of Water mengungguli kategori Filem Terbaik, sekali gus mengenepikan pencabar terdekatnya iaitu filem Dunkirk yang turut disebut-sebut bakal menang besar dalam majlis berprestij itu.

Malah pengarah filemnya, Guillermo del Toro turut diumumkan sebagai Pengarah Terbaik dan berjaya menewaskan Christopher Nolan selaku pengarah Dunkirk.