Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin berkata, situasi tersebut mengakibatkan dirinya berasa tertekan dan hampir pengsan tatkala mengharungi cabaran sebagai peserta GV 5.

“Pun begitu, saya tidak menyalahkan mereka kerana harapan dan dorongan itulah yang membolehkan saya berada pada tahap hari ini.

“Saban minggu setiap kali menerima tugasan, saya menjadikan sokongan yang telah diberikan sebagai pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik,” katanya sejurus tamat konsert mingguan ketiga pada Ahad lalu.

Kembali menghuni kedudukan teratas carta mingguan GV 5, Amelina mendedahkan tugasan menyanyikan lagu rock berjudul Segalanya Pasti dendangan asal Aida Agil ibarat satu igauan ngeri buatnya.

Menurut Amelina, sejak dari awal menjejakkan kaki ke dalam rancangan berkenaan, dia sedar setiap peserta bakal diberi tugasan untuk menyampaikan sebuah lagu di luar zon selesa masing-masing.

“Genre rock adalah sesuatu yang asing buat saya berbanding irama muzik lain. Disebabkan itu, apabila diberitahu saya harus menyanyikan lagu tersebut, tekanan makin memuncak.

“Mujur, berkat bantuan rakan-rakan sekeliling yang tidak putus menghulurkan pertolongan dari pelbagai sudut, Alhamdulillah masalah itu dapat ditangani.

“Tak sangka pula keperitan seminggu demi menyelami jiwa seorang penyanyi rock berbaloi apabila berjaya memenangi ‘pertarungan’ minggu ini,” tambahnya.

Konsert ketiga GV 5 menyaksikan kumpulan Elite yang dianggotai Azza Zawari, Sasha Saidin dan Linda Rafar disingkirkan, sekali gus gagal mara ke peringkat seterusnya. - UTUSAN ONLINE