Karya Nik Amir bukan sahaja tidak mengecewakan malah lebih besar adalah maksud tersirat yang disampaikan dan disusun cukup kemas di atas layar lebar.

Olahan yang digarap melalui penceritaan yang mudah sebenarnya cukup sinikal dan tajam terhadap industri filem tempatan khususnya. Sama seperti beberapa filem lain sebelum ini antaranya Kil, ada mesej yang cuba disampaikan melalui filem ini.

Tidak terlalu berat untuk difikirkan jalan ceritanya, Terbaik Dari Langit mengisahkan keinginan Berg lakonan Bront Palarae yang mahu membuat filem tentang UFO. Keinginan Berg sudah mula bercambah sejak dia bersekolah bersama-sama dengan rakan yang lain.

Kepelbagaian karakter dapat dilihat melalui rakan-rakan Berg yang terdiri daripada Ijam (Iedil Putra), Toyu (Amerul Affendi) dan Ali (Megat Sharizal) yang sudah bersahabat lama.

Impian Berg untuk mencari UFO dan menerbitkan filem tentang pencariannya itu tidak pernah padam sehinggalah masing-masing dewasa dan sudah bekerjaya.

Dipertemukan kembali oleh Berg, mereka sepakat untuk menolong Berg walaupun tahu yang diperkatakan mengenai UFO samar-samar. Hanya semangat setia kawan yang menyatukan mereka dalam pencarian tersebut.

Tidak sekadar berempat, pencarian UFO ini turut disertai Sofia Jane (Nadia Nisaa) yang menjadi bunga dalam filem ini selain watak Zelda (Siti Saleha) dan Sara (Sharifah Amani).

Agak sukar sebenarnya untuk meyakinkan rakan-rakan yang UFO itu benar-benar wujud. Berg tidak pernah patah semangat meskipun dia banyak menghadapi rintangan terutama persengketaan antara Ijam dan Ali sejak di sekolah menengah lagi.

Paling ketara apabila produksi filem ‘cap ayam’ milik Berg mula dipersoalkan oleh Ijam yang merupakan pelakon popular tanah air selain sikap Toyu yang digambarkan kurang bertanggungjawab setiap kali timbulnya perselisihan faham.

Mengembara dari satu tempat ke satu tempat, pencarian UFO ini sebenarnya bukan satu kerja yang mudah. Tetapi yang lebih besar apabila mereka saling kenal mengenal dan berjaya menjernihkan kekeruhan yang ada.

Di bahagian akhir cerita, ada banyak perkara baru yang berjaya mereka lalui yang sudah pasti lebih besar daripada isu UFO yang mahu difilemkan Berg.

Kritikan watak

Yang cuba digambarkan oleh Nik Amir cukup jelas - dalam dunia ini tidak ada perkara yang mustahil untuk dilakukan meski pun seisi masyarakat tidak percaya tentang perkara berkenaan.

Bayangan yang gambarkan melalui watak-watak ini begitu besar untuk ditafsirkan. Kepelbagaian karektor antara Berg, Ijam, Toyu dan Ali mewakili yang berlaku dalam kehidupan masyarakat dan industri perfileman secara keseluruhannya.

Berg mungkin orang yang bercita-cita besar dan mengimpikan sesuatu yang lebih hebat melalui filem yang mahu dibuat. Bagi Berg walaupun sukar untuk meyakinkan rakan yang lain tetapi itu bukan masalah besar untuknya mengalah.

Tidak ramai orang seperti Berg yang yakin kepada benda yang tidak pasti. Tidak ada yang mustahil boleh berlaku dan tidak ada siapa yang mampu menghalang keinginan seseorang.

Watak Ijam pula pastinya mewakili golongan sosialitas yang penuh dengan perhatian, publisiti dan hidup glamor tatkala menjadi artis. Soal lakonan bukan keutamaan asalkan dia dapat memenuhi kehendak Zelda yang bakal menjadi isterinya.

Sama seperti golongan artis yang terdapat di Malaysia, inilah realitinya. Nik Amir jelas menggambarkan populariti artis lebih penting daripada mutu kerja mereka.

Sama juga dalam hal yang berlaku dalam industri perfileman tempatan, watak Toyu digambarkan sebagai orang yang lebih banyak berdiam diri, tidak mahu menyatakan pendirian sendiri dan hanya mengikut keadaan.

Toyu tidak berani membuat apa-apa walaupun dia sudah boleh menilai. Ketakutan yang ada di dalam dirinya tidak akan membantu menyelesaikan sebarang masalah.

Pun begitu watak Ali yang sudah pasti digambarkan sebagai watak sedikit hitam. Dia sering disalah anggap, dituduh dengan pelbagai tomahan dan pada akhirnya dia banyak menyelamatkan rakan yang lain.

Pujian harus diberikan kepada kesemua pelakon Terbaik Dari Langit yang berjaya mengendalikan watak masing-masing dengan baik. Tidak perlu dipertikaikan lagi kemampuan Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi dan Nadiya Nisaa yang menghidupkan filem ini.

Nik Amir berjaya menyeimbangkan kelebihan dan kekurangan setiap watak sehingga ‘membulatkan’ filem dengan cantik.

Terbaik Dari Langit juga telah dipertandingkan menerusi kategori Asian Future di Festival Antarabangsa Tokyo dan membuat penampilan sulung di American Film Market, Santa Monica, Amerika Syarikat bulan lalu.