Baginya Zamani mempunyai nilai luar biasa ditambah pula dengan vokal penyanyi tersebut yang unik dan tiada persamaan dengan vokalis lelaki lain.

Meskipun menyedari dirinya kecil untuk memberikan lagu ciptaan kepada Zamani, namun dia berani menanam impian tersebut lantaran lagunya sendiri seperti Tergantung Sepi dan Jatuh Bangun diterima peminat.

 

Antara lagu ciptaan Haqiem yang lain ialah Aku Sendiri nyanyian Sufi Rashid, Pesan (Irfan Haris), Tersiksa (Putera Band) serta Cinta Dan Rindu (Ary Klangit).

“Sebagai komposer muda sudah tentu saya mahu mencuba pelbagai perkara berkaitan penciptaan lagu. Selain gemar bereksperimen dengan muzik kerana mahu tampil dengan kelainan, saya juga mahu mencabar diri mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi hebat yang namanya kukuh di persada muzik. Kalau diberi pilihan sudah tentu saya mahukan Zamani.

“Saya sedar dan akui memang impian itu dilihat begitu tinggi menggunung bagi orang di luar sana. Saya sendiri pun tidak pasti sama ada layak atau tidak lagu saya dinyanyikan oleh Zamani. Namun, semua itu bukanlah perkara mustahil selagi saya tidak berhenti untuk terus tampil dengan karya-karya terbaik.

“Dia antara idola saya semenjak kecil. Lagu-lagunya menjadikan siapa saya sebagai penyanyi hari ini. Zamani mempunyai suara yang begitu unik dan tiada siapa yang boleh menandinginya. Itu adalah anugerah.

“Saya berharap impian mahu bekerjasama dengan Zamani akan menjadi kenyataan. Kalau boleh memanglah mahu secepat mungkin tetapi biarlah masa yang menentukan.

“Malah saya juga perlu buktikan kepada industri untuk menghasilkan lagu-lagu yang bagus supaya menjadi tarikan kepada penyanyi hebat untuk melihat bakat saya,” kata Haqiem yang pernah berduet dengan Zamani melalui sebuah video yang dimuat naik dalam laman YouTube.

Dalam video tersebut, Haqiem menyanyikan lagu Zamani iaitu Gerimis Mengundang manakala Zamani pula menyanyikan lagu Haqiem Segalanya.

“Zamani adalah seorang legenda yang sangat merendah diri. Ke mana pun pergi, dia disenangi dan dihormati. Saya mahu menjadi penyanyi sepertinya yang bukan sahaja hebat dalam nyanyian tetapi dihormati ramai,” katanya yang akan mencipta lagu baharu buat Tajul Arif, Luqman Faiz dan Usop.

Mesej Positif

Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 21, juga mahu muncul dengan lagu-lagu yang memberi mesej positif kepada para peminat.

“Saya akan muncul dengan lagu bahasa Inggeris berjudul What Can I Do For You. Saya pilih lagu rancak berikutan kejayaan lagu Jatuh Bangun yang diterima ramai.

“Saya harap lagu baharu ini juga diterima ramai kerana mesej kesetiaan dan pengorbanan dalam persahabatan sudah berkurang dalam dunia yang semakin canggih ini.

“Saya sedar agak sukar sebenarnya untuk radio memainkan lagu Inggeris, tapi tujuan utama saya menyanyikan lagu Inggeris kerana ingin mencabar diri sendiri,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Haqiem juga mengilhamkan kisah bapa yang dibuang anak dalam lagu yang bakal muncul pada pertengahan tahun ini iaitu Lembah Kesepian.

“Ia tentang seorang ayah yang kecewa apabila ditinggalkan anak di rumah orang tua. Hati mana yang tidak kecewa apabila anak yang dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh sedari kecil akhirnya membiarkan mereka menghabiskan sisa-sisa hidup di rumah orang tua.