Tidak dapat dinafikan pengaruh kontroversi antara Radin dan Ayda banyak mempengaruhi popularitinya, namun dia kini mampu berdiri sendiri bertunjangkan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.

Keletahnya tatkala mengacara dan mengendali program radionya sendiri cukup menghiburkan. Malah kredibiliti pemegang trofi penyampai radio popular Anugerah Bintang Popular 2017 semakin menyerlah.

Terus mewarnai kanvas seninya apabila terjun ke bidang lakonan menerusi drama 30 Hari Membunuh Cinta, ada yang melabel Radin sebagai artis tamak.

Malah ada juga dakwaan yang riuh berkicau di awangan seni apabila ada pihak mendakwa dia kini asyik bercinta dengan penyanyi dan pelakon popular, Amira Othman pula.

Benarkah semua dakwaan itu? Benarkah Radin suka menumpang populariti artis lain?

Kepada Mega HITS, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tampil untuk memberi penjelasan terhadap cerita sebenar.

MEGA HITS: Amboi, giat berlakon sekarang, macam mana pengalaman berlakon? Lebih penat dan mencabarkah?

RADIN: (Ketawa) Sebenarnya watak saya cameo sahaja dalam telefilem Astro Citra, 30 Hari Membunuh Cinta. Ini adalah cameo kedua selepas Mencintaimu Mr. Photographer.

Dalam telefilem ini ada Fendy Bakri, Amelia Henderson dan Amira Othman.

Soal pembahagian masa, sejujurnya sebelum ini saya ada menerima beberapa tawaran berlakon, tapi terpaksa menolak sebab kekangan masa dan kerja.


Ramai kata bukan senang berlakon terutama komitmen masa dan cabaran untuk membawa watak, komen Radin?

Saya setuju dan saya sendiri memang hormat pelakon-pelakon yang berjaya bawa watak masing-masing. Macam mana nak hayati watak, nak kena bermain dengan karakter yang diberi.

Bagi saya yang muncul cameo, cabarannya tidaklah berat seperti pelakon lain. Walaupun tak (berapa) penting pun dan cameo, saya tetap minta bantuan dan nasihat pelakon lain dan kru produksi.

Sebelum ini, Radin pernah menolak tawaran berlakon sebab komitmen sebagai penyampai radio menuntut komitmen masa yang tinggi. Jadi sekarang sudah boleh bahagi masa dengan baik?

Sejujurnya, saya suka berlakon dan berlakon secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap keyakinan kita untuk berhadapan dengan kamera dan kita dapat berkomunikasi dengan lebih baik.

Kalau cakap fasal masa, saya terpaksa bersikap agak memilih untuk menerima tawaran. Bukan nak kata bagus atau sudah pandai demand tapi saya perlu menyusun jadual dan masa.

Sebelum menerima tawaran berlakon, saya akan lihat dan susun betul-betul jadual. Takut menyusahkan rakan pelakon dan kru produksi bagi sesebuah drama atau telefilem.

Sekarang ramai artis yang suka mencuba pelbagai perkara, Radin pun samakah?

Berbalik kepada rezeki dan perancangan. Setakat ini, saya rasa seronok dan selesa dengan kerja saya sebagai penyampai radio dan pengacara. Ketika ini saya mengendalikan program Big Stage Live Plus dengan Eyra Hazali.

Saya pun baru pulang dari Hong Kong untuk dua program di Astro, Solo Yolo dan Fantasy Escape dengan peminat.


Ramai berkata industri radio sekarang semakin mencabar terutama dengan adanya platform digital, Radin bersedia untuk mencuba bidang lain?

RADIN: Kalau ikutkan, dalam apa jua bidang atau pekerjaan mesti ada cabaran dan tekanan sendiri. Memang diakui, orang sekarang terutama anak muda lebih memilih platform digital lain.

Jadi, saya perlu sentiasa relevan dan mengikuti perkembangan semasa dalam semua sektor tidak kira hiburan, sukan mahupun isu semasa. Tapi kena pandai kawal sebab sekarang pengguna, pendengar dan warganet pun semakin bijak menilai.

Ada yang dakwa, Radin ambil tawaran drama 30 Hari Membunuh Cinta kerana ada Amira Othman. Sebelum ini bukankah pernah digosipkan kononnya Radin sedang mengurat Amira? Betulkah?

(Ketawa) Tidak sama sekali. Saya tak tahu pun siapa pelakon lain yang terlibat dalam drama ini. Lagipun, saya bersetuju selepas melihat skrip dan karakter serta soal pengurusan masa.

Secara jujur saya memang tak tahu Amira pun ada (terlibat) dalam drama tersebut. Malah ada pula babak yang kami perlu berlakon bersama-sama. Kebetulan sahaja.

Apa hubungan Radin dengan Amira sebenarnya? Ramai peminat nak tahu. Betulkah hubungan sekadar teman rapat?

Ikhlas dari hati, memang kami tidak lebih sebagai kawan rapat. Sebab kami kenal pun sudah lama. Malah kawan-kawan kami pun dalam lingkungan yang sama. Sebab itu kami dilihat rapat.