Tiada kritikan sosial yang begitu ketara seperti filem-filem terdahulu namun babak-babak yang memiliki ‘dua maksud’ mengenai isu semasa tetap wujud untuk dijadikan bahan jenaka.

Meluangkan masa hampir 1 jam 55 minit dalam tayangan perdananya semalam, penulis mendapati filem tersebut mempunyai garapan yang sangat baik dari sudut jalan penceritaannya.

Walaupun tiada lagi kelibat Pak Jabit (Allahyarham Man Kadir) dan juga Pak Abu (Allahyarham Zami Ismail), filem ini tetap masih mampu berjalan dengan rancaknya.

Filem Hantu Kak Limah kali ini lebih mengangkat penceritaan watak Khuda (TJ Isa) yang berkahwin dengan Kak Limah (Delimawati).

Namun pada suatu petang, orang-orang di klinik desa kampung tersebut memaklumkan Kak Limah telah meninggal dunia dan perkara itu disaksikan sendiri oleh Yeh Sekupang (Allahyarham Rabb Khalid) yang telah diangkat sebagai Ketua Penerangan Kampung Pisang.

Keadaan menjadi aneh apabila Nayan (Ropie Cecupak) mendakwa dia baru sahaja menghantar Kak Limah ke rumahnya sebelum bertemu dengan Yeh Sekupang di klinik desa itu.

Nayan (Ropie Cecupak) tidak mengetahui wanita yang ditumpangnya itu benar-benar Hantu Kak Limah!
Nayan (Ropie Cecupak) tidak mengetahui wanita yang ditumpangnya itu benar-benar Hantu Kak Limah!

Setelah melihat sendiri jenazah Kak Limah, barulah Nayan sedar bahawa wanita yang ditumpangnya itu benar-benar merupakan jelmaan Hantu Kak Limah!

Sudahlah dia bertugas syif malam pada hari tersebut dan di saat itulah, Hantu Kak Limah kembali mengganggu penduduk di Kampung Pisang.

Penampilan wajah baharu seperti Zul Ariffin dengan watak Encik Solihin, seorang pengamal perubatan tradisional serta guru silat dan Uqasha Senrose sebagai Zaiton, seorang puteri bunian yang jelita amat memukau dan mencairkan hati penonton.

Dalam filem ini juga, penonton berpeluang melihat sisi lakonan Zul Ariffin dari sudut yang berbeza. Jika sebelum ini, Zul sering dilihat tampil dengan watak-watak serius dan juga romantik.

Namun menerusi Hantu Kak Limah, ada babak-babak yang memperlihatkan Zul begitu comel sekali lebih-lebih lagi sewaktu bergandingan dengan Hussin (Awie).

Kehadiran penampilan istimewa seperti Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz dan Datuk Seri Vida turut menggamatkan suasana panggung.

Sepanjang tayangan, kebanyakan dialog yang dilontarkan begitu neutral dan ada juga beberapa dialog nakal 'orang lelaki berborak' termasuk satira politik yang sangat sinonim dengan pemerhatian rakyat namun ia bukanlah ditujukan kepada sesiapa pun.

Apa yang boleh dikatakan tentang Hantu Kak Limah, selain Mamat Khalid cuba memperkenalkan beberapa lokasi menarik di Perak menerusi filemnya, setiap watak yang diangkat ke layar juga agak seimbang.

Masing-masing mempunyai peranan dan peluang untuk mempamerkan bakat lakonan yang ada dalam sebuah naskah yang begitu besar dan menjadi perbualan penggemar filem sebegini.

Berdasarkan pendapat penulis, walaupun Mamat Khalid bukanlah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee namun filem Hantu Kak Limah ini mampu berdiri sebagai sebuah filem malar segar pada suatu masa akan datang.

Karakter Hantu Jepun turut diselitkan dalam filem Hantu Kak Limah.
Karakter Hantu Jepun turut diselitkan dalam filem Hantu Kak Limah.

Bukan kerana ia diadunkan dari gerak kerja sebuah produksi yang terbaik sahaja malah filem ini lengkap dengan resepi kehendak serta cita rasa penonton.

Sudah pun namanya filem ini tiada kena-mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, Hantu Kak Limah adalah sebuah filem hiburan untuk penonton datang melihat dan bergelak ketawa.

Filem Hantu Kak Limah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold akan menemui penonton di lebih 100 pawagam bermula 9 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE