Hannah, 22, berkata, dia berusaha keras untuk menjayakan filem tersebut dan kini hanya berserah kepada peminat untuk menilai hasil kerjanya.

“Saya telah melakukan sebaik mungkin dengan bimbingan pengarah Osman Ali. Oleh itu saya berharap ia akan menjadi sebuah filem yang akan disukai penonton.

“Pun begitu, saya akui sangat berdebar menanti reaksi penonton terhadap lakonan saya. Dalam masa yang sama, berasa sangat teruja kerana ia adalah filem pertama saya,” katanya.

Selain Hannah, Langsuir turut dibintangi beberapa pelakon lain antaranya Syafiq Kyle, Firdaus Nadzaman dan Julia Farhana.

Hannah yang ditemui dalam majlis pelancaran telefon pintar Huawei Nova Superstar 3i di sini hari ini turut meluahkan rasa syukur dengan perkembangan positif kerjaya lakonannya di Malaysia.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana kehadiran saya masih diterima dengan baik oleh peminat dan penggiat seni di sini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.