Kucing dari baka British Short Hair berasal dari Russia itu diberi nama Bujibu Chempel itu sering menghiburkan pengikutnya di Instagram dengan mimik wajah bersahaja.

Menurut Hanis yang telah membela Bujibu sejak tiga tahun lalu, dia memuat naik gambar-gambar kucing peliharaannya itu sebagai satu perkongsian memori kepada peminat kucing.

“Tak fikir langsung Bujibu akan diminati sehingga mencatatkan sejuta pengikut di Instagram. Masa awal-awal saya dan Hairul buka akaun laman sosial tu sekadar nak berkongsi sahaja.

“Saya memang tertarik dengan wajah Bujibu dan keletah dia tu buat kami sekeluarga rasa tenang dan gembira. Malah, tak dinafikan juga ramai yang tengok video Bujibu sebab nak kurangkan tekanan.

“Saya dan Hairul memang pencinta kucing dan waktu sebelum Yusuf Iskandar lahir lagi kami dah bela Bujibu. Dia dah jadi sebahagian daripada keluarga kami,” ujarnya kepada Utusan Online.

Dalam pada itu, Hanis turut berkongsi penjagaan rapi dan keperluan harian yang diperuntukan oleh Bujibu yang seberat enam kilogram itu.

“Saya memang mewahkan dia. Kalau kami keluar bekerja, penghawa dingin akan sentiasa dibuka khas untuk Bujibu. Dia seekor kucing yang suka menonton televisyen sebab dia suka lihat benda bergerak.

“Malah, sebulan sekali kami akan bawa Bujibu ke salun penjagaan kucing. Bujibu seekor kucing yang sangat mudah dijaga dan antara pengerat hubungan saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Jadi Bujibu yang diadakan di pusat perlindungan haiwan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA). - UTUSAN ONLINE