Selama itu jugalah, rupa-rupanya jiwanya meronta untuk kembali aktif berlakon sementelah melihat teman-teman lain semakin mekar dalam kerjaya itu.

Tidak mahu menyinggung perasaan suami, kata Hanez dia cuba mengikut kehendak Romie yang mahu agar dia menjaga keluarga sahaja di rumah.

Semakin lama, permintaan itu dirasakan terlalu berat untuk ditanggung memandangkan jiwanya sentiasa memberontak untuk kembali ke layar televisyen.

“Pernah jugalah kami bergaduh kerana hal ini. Saya menangis dan merayu dengan Romie supaya mengizinkan saya kembali berlakon.

“Tetapi masa tu, dia tetap tidak benarkan. Sebenarnya, dia bimbang saya akan mengabaikan keluarga andai sudah aktif dalam seni,” katanya.

Mengakui pada awalnya sangat sukar untuk meyakinkan Romie untuk memahami bidang seni, Hanez tidak berputus asa memujuk suaminya itu demi mendapatkan lampu hijau.

“Sekarang dia tidak lagi menghalang dan saya bersyukur kerana secara perlahan-lahan dia sudah faham bagaimana industri ini bergerak.

“Dia selalu fikir kalau berlakon dengan pasangan lelaki mesti ada adegan bersentuhan sedangkan hal itu tidak semestinya berlaku.

“Ada cara bagaimana seseorang pelakon itu kelihatan bersentuhan tetapi masih menjaga batas. Inilah yang menjadi isu utama mengapa dia tidak izinkan saya berlakon sebelum ini,” tambahnya.

Tidak cuma itu, suaminya juga sedikit terbuka kini dalam aspek seni hiburan kerana sudah selesa bergaul dengan beberapa teman baik Hanez yang juga orang seni termasuk media.

“Baru sekarang dia okey sedikit dalam bab berlakon ni. Kalau dulu, memang susah nak raih keyakinan dia. Agaknya bila dah selalu berbual dengan kawan-kawan jadi dia pun faham,” katanya.

n Dijangka bakal melahirkan cahaya mata keduanya pada Julai ini.

n Masih belum mengetahui jantina bayi kerana mahukan kejutan.

n Anak sulungnya, Putri Aleesya kini sudah menjengah usia 4 tahun.

n Memandangkan Aleesya sangat petah dan pandai beraksi di depan kamera, Hanez tidak menolak satu masa nanti mahu membawanya ke sesi uji bakat.

n Hanez dan Romie bernikah pada Mac 2015.

Pun begitu, hasrat Hanez itu tetap tertunda memandangkan dia kini sedang hamil anak kedua dengan kandungan kini memasuki usia tiga bulan.

Tetap bersyukur dengan rezeki kurniaan Ilahi itu, Hanez bagaimanapun sedikit ralat kerana hasratnya untuk berlakon sekali lagi terpaksa diketepikan buat sementara waktu.

“Namun rezeki ini saya sifatkan berganda kerana ketika saya dapat tahu diri hamil, dalam masa sama menerima tawaran duta produk syarikat Deeja Cosmetic.

“Buat masa sekarang, sebarang acara membabitkan produk berkenaan, saya akan turun padang. Lakonan nampaknya kena tunggu dulu,” katanya.

Mengaku suami pada awalnya agak ‘bising’ kerana dia kelihatan aktif bekerja, Hanez sekali lagi berusaha meyakinkan Romie.

“Saya anggap ini rezeki anak. Lagipun saya sedang menunggu tawaran watak yang lebih mencabar selepas asyik-asyik dengan watak antagonis,” katanya.