Jangan Pernah Berdusta merupakan taruhan terkini Haiza dan Aepul
Jangan Pernah Berdusta merupakan taruhan terkini Haiza dan Aepul Roza.

Tidak pernah berasa ralat terhadap situasi berkenaan, Haiza bersyukur kerana pintu rezeki masih terbuka luas untuknya memperoleh pendapatan demi menyara keluarga.

Bertemu dengannya baru-baru ini, Haiza menjelaskan, pengalaman bernaung bawah Kool FM adalah momen paling manis ketika bergelar penyampai radio.

“Saya bertuah kerana dikelilingi rakan sekerja yang sangat menyenangkan serta pihak pengurusan yang amat bertimbang rasa, penuh dengan semangat kekitaan.

“AG sendiri selaku rakan setugas ketika mengendalikan segmen PHD Kool (Pagi Hari Di Kool) banyak membantu mengembangkan karier saya sebagai deejay kerana pengalamannya yang lebih lama dalam bidang ini.

“Jadi keseronokan itu wujud secara semula jadi. Sebab itu saya selesa meneruskan kerjaya ini,” katanya kepada Mega HITS.

Mengenai tempoh yang ditetapkannya untuk bergelar penyampai radio, Haiza memberitahu, tidak mengehadkan sebarang waktu untuk berkhidmat.

Baginya, selagi khidmat ditagih dan diperlukan, selagi itulah dia akan berbesar hati untuk meneruskannya.

“Saya tidak meletakkan had untuk aktif dalam bidang penyiaran radio. Namun di samping penyampai radio jika berpeluang untuk mencuba posisi lain, saya akan cuba sahut cabaran.

“Setiap rezeki yang diberikan, saya optimis menerimanya asalkan bersesuaian dengan status saya sebagai isteri dan ibu,” ujarnya.

Baru sahaja menamatkan saingan di tempat ketiga pada program realiti Duo Star Februari lalu, Haiza dengan pasangan duetnya, Aepul Roza yang juga vokalis Drama Band mengambil kesempatan tersebut mengeluarkan single berjudul Jangan Pernah Berdusta.

Mengakui masih terlalu cintakan bidang nyanyian, Haiza menegaskan, dia akan tetap menyanyi walaupun terpaksa memikul beberapa tanggungjawab lain.

“Ini adalah cabaran yang harus saya harungi untuk bergelar penyanyi dan pada masa sama berperanan sebagai deejay serta pengacara.

“Bukan tamak cuma saya anggap ini semua adalah rezeki saya seisi keluarga dan perlu bijak menguruskan jadual supaya tidak mengganggu satu sama lain.

“Setakat ini semuanya lancar dan dipermudah.

“Mengenai lagu duet dengan Aepul, lagu itu adalah ciptaan Aepul sepenuhnya yang berentak pop rock dan diselitkan elemen muzik dangdut supaya lebih dekat dengan jiwa saya.

“Alhamdulillah, sejak dilancarkan bulan lalu sambutan yang diterima amat positif dan mula kerap diputarkan di radio-radio tempatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, dia mengharapkan dengan pelancaran single duet berkenaan akan menyegarkan semula tanggapan umum terhadap 
karier nyanyiannya yang masih aktif.

Menurut Haiza lagi, karier di Kool FM juga tidak mengganggu perjalanan kerjaya nyanyiannya. Malah walaupun berdepan dengan konflik untuk stesen lain memainkan lagunya, dia akur.

“Saya dan Aepul perlu lebih kreatif untuk memasarkannya secara lebih meluas selain bergantung harap terhadap stesen radio semata-mata.

“Terdapat banyak lagi medium lain yang boleh digunakan untuk mempromosikannya.

“Andai lagu ini benar-benar bagus, insya-Allah akan membuka mata radio lain untuk memainkannya,” kata Haiza berharap.

Tidak lama lagi, Haiza menambah, dia bakal menjalani penggambaran klip video single tersebut pada masa terdekat.

Dalam pada itu, Haiza turut berulang-alik ke kampung halamannya di Benut, Pontian untuk menguruskan perniagaan restoran keluarganya yang dinamakan Kafe Larut Malam.

“Restoran ini menyajikan resipi turun temurun emak saya yang juga bertindak selaku ketua cef.

“Restoran ini baru dibuka pada 16 Februari lalu dengan berkonsepkan hipster klasik.

“Setakat ini sambutan menggalakkan dan tak menang tangan melayan pelanggan. Alhamdulillah,” ucapnya.