Kini dengan pengikut seramai dua juta orang, tidak dapat disangkal bahawa Yusuf antara selebriti cilik tempatan yang paling popular.

Dengan kemahsyuran itu, ibu bapa Yusuf pastinya tidak berdepan kesulitan untuk menjadikannya sebagai anak seni meskipun usianya baru mencecah 19 bulan.

Namun baik Hairul atau Hanis masing-masing tidak mahu merebut peluang seawal itu untuk menjadikan Yusuf sebagai pelakon. Dalam erti kata lain, pasangan tersebut sama sekali enggan membiarkan Yusuf bekerja meskipun peluang datang tanpa henti.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Hanis mengakui, beberapa bulan selepas dilahirkan, Yusuf menerima tawaran memegang watak penampilan istimewa. Pun begitu mereka sepakat untuk menolak kerana tidak sanggup melihat si kecil bekerja.

Justeru, selepas menyambut ulang tahun kelahiran Yusuf yang pertama pada Jun lalu, mereka sedikit terbuka dalam menerima tawaran, namun masih menetapkan beberapa syarat agar perkara tersebut tidak akan membebankan putera kecil kesayangan mereka.

“Sejak awal lagi, Hairul tidak pernah mengizinkan anaknya bekerja. Walaupun ada beberapa tawaran yang datang namun kami tolak dengan baik. Ketika itu kami lebih selesa berkongsi perihalnya menerusi Instagram sahaja.

“Keputusan ini dibuat kerana kami tidak mahu melihat Yusuf penat. Jika berlakon, pastinya dia perlu mengikut jadual yang ditetapkan serta skrip yang diberikan.

“Jadi agar tidak menyusahkan orang lain serta kami semua, saya dan Hairul memilih untuk menolak tawaran tersebut dan biarlah kami sahaja yang mencari rezeki untuknya,” kata Hanis.

Dalam pada itu, Hanis, Hairul dan Yusuf serta kucing peliharaan mereka, Bujibu Chempel bakal muncul menerusi program realiti yang memaparkan aktiviti harian mereka berjudul My Little Heroes – Yusuf dan Bujibu.

Rancangan itu akan mula bersiaran pada 31 Januari setiap Rabu pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

Bercerita mengenai pembabitan Yusuf dalam program tersebut, Hanis menjelas bahawa persetujuan dibuat selepas banyak perbincangan dan penetapan syarat diberikan kepada pihak produksi sekiranya ingin kerjasama ini terjalin.

Ujar Hanis, bagi menjayakan kolaborasi tersebut, dia dan Hairul menjelaskan kepada pihak terlibat agar proses rakaman tidak mengganggu rutin harian dan keselesaan Yusuf serta tidak membebankan anak kesayangan mereka.

Apabila syarat-syarat yang mereka kemukakan mendapat respons positif daripada pihak prosduksi dan penaja, barulah pasangan ini memberikan persetujuan untuk merakamkan keletah dan gelagat si kecil mereka.

“Bukan mudah untuk kami setuju untuk menerima tawaran ini. Mengambil masa yang agak lama juga memandangkan isi kandungan program ini melibatkan sebahagian kehidupan peribadi kami sekeluarga.

“Pun begitu, saya dan Hairul sepakat untuk terima kerana ini merupakan satu penghargaan apabila ada stesen TV mahu merakamkan aktiviti harian dan kami juga berpeluang berkongsi tip dan panduan dalam penjagaan anak.

“Selain itu, kami bersetuju kerana sepanjang penggambaran, Yusuf juga tidak perlu berlakon atau bekerja tetapi hanya menjalani kehidupan seharian seperti biasa tanpa membebankan emosinya,” jelas Hanis ketika ditemui pada majlis pelancaran rancangan tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak hirau kritikan

Setiap ibu bapa mempunyai cara dan kepercayaan tersendiri dalam soal mendidik anak-anak. Hairul dan Hanis juga tidak terlepas daripada perkara tersebut.

Pasangan yang bernikah pada 5 Jun 2015 ini juga sentiasa berkongsi cara didikan dan jagaan anak mereka dengan peminat menerusi laman sosial masing-masing.

Daripada perkongsian tersebut, mereka sering menerima kritikan, teguran serta pandangan netizen. Pun begitu, mereka sepakat untuk tidak mempedulikan teguran negatif yang diberikan kerana sedar setiap orang mempunyai cara berbeza.

““Apabila kami mengambil keputusan untuk mewujudkan akaun Instagram Yusuf, saya dan Hairul sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Setiap kali kami berkongsi tentang Yusuf, banyak komen dan teguran yang kami terima. Sejak itu kami belajar untuk berlapang dada dan menerima teguran secara terbuka.

“Bagi saya, setiap ibu bapa mempunyai cara didikan dan jagaan yang berbeza. Jadi jika netizen mengkritik cara kami, saya tahu dia hanya ingin berkongsi dan dia pasti punya caranya yang tersendiri dalam soal menjaga anak,” ujar Hanis.