Memulakan penggambaran sejak 10 Mac lalu, Hafizul yang juga juara sulung program realiti On Air itu terpaksa berhadapan pengalaman perit untuk merealisasikan impian memiliki badan sasa seperti diinginkan pengarah, Adrian Teh.

“Tambahan pula, pelakon-pelakon lain juga tidak kurang hebatnya daripada aspek fizikal. Agar nampak sama gah dengan mereka, nak tak nak saya perlu gandakan usaha untuk dapatkan bentuk badan hampir serupa.

“Lagipun sudah menjadi tanggungjawab seorang pelakon memberikan komitmen terbaik supaya watak dapat digalas sebaik mungkin bukan sahaja dari sudut lakonan tetapi pakej keseluruhan.

“Jika mutu lakonan bagus sekalipun tetapi tidak menepati kriteria watak akan nampak canggung dan akhirnya tiada impak terhadap persembahan,” katanya kepada Utusan Online.

Justeru, Hafizul bersyukur kerana dia mampu mendapatkan ‘kesasaan’ yang diinginkan hasil disiplin yang tinggi atas bantuan jurulatih kecergasan peribadi, Mohd. Khairi hanya dalam tempoh enam minggu.

“Bukan sahaja banyak menghabiskan masa di gimnasium untuk membina otot malah saya perlu amalkan diet sihat dengan memakan makanan berkhasiat.

“Nasib baik ada isteri yang menjaga rutin pemakanan saya,” tambahnya.

Selain Hafizul, pelakon lain yang membintangi Paskal ialah Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Filem terbitan bersama Asia Tropical Films, Golden Screen Cinemas serta Multimedia Entertainment itu mendapat kerjasama sepenuhnya dari TLDM dan dikatakan menelan belanja kira-kira RM10 juta. - UTUSAN ONLINE