“Kalau hendak diikutkan saya mahu terus bernikah sahaja, namun memandangkan pengajian dia masih berbaki setahun lagi, jadi kami pilih untuk bertunang terlebih dahulu. Benda baik tak elok ditunggu lama-lama.

“Saya juga amat menghormati kehendak dia untuk tidak terlalu mendedahkan identitinya kepada umum memandangkan dia masih belajar,” jelasnya pelantun lagu Matahari itu.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, memilih 27 Februari ini untuk bertunang kerana pada tarikh itulah dia dilahirkan dan majlis pertunangan tersebut bakal diadakan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.

“Saya pilih tarikh tersebut kerana saya ini seorang yang mudah lupa. Bagi menjadikan tarikh tersebut lebih bermakna, saya pilih untuk melangsungkan pertunangan kami.

“Itu cara untuk memudahkan saya mengingati hari istimewa tersebut. Kami berdua rancang untuk mendirikan rumah tangga pada pertengahan 2016. Saya memang sasarkan usia sekarang ini untuk ke arah membina keluarga dan bersedia untuk pikul tanggungjawab besar itu,” katanya yang sibuk membuat persiapan pertunangan.

Ketika ditanya apakah yang membuatkan dirinya terpikat dengan wanita yang bakal dikahwini itu, Hafiz dengan nada berseloroh mengatakan banyak sifat wanita itu disukainya. Namun dia tidak mahu berkongsi banyak tentang keistimewaan bakal suri hatinya itu.

“Saya kenal dia sebelum menyertai industri seni lagi dan mula serius bercinta dua tahun lalu. Memang sudah lama kami kenal, jadi sudah tiba masanya untuk fikirkan perkara yang lebih serius untuk hubungan kami berdua. Ditambah lagi kami berdua sama-sama orang Sarawak dan hubungan yang terjalin ini turut direstui oleh keluarga dua belah pihak.

“Banyak sebenarnya ciri-ciri yang ada pada dia yang buatkan saya suka. Dia seorang yang sangat memahami dengan kerjaya saya sebagai penyanyi serta jadual seni yang padat. Dia juga menghormati orang tua. Itulah yang buatkan saya terpikat dengan sikap dia sebab dia tahu hormat orang yang lebih tua dari dia. Dia juga pandai ambil hati keluarga saya. Selebihnya, biarlah saya sahaja yang tahu,” tuturnya Hafiz yang telah menghantar rombongan merisik pada 21 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia musim ketujuh ini, turut mengulas lanjut mengenai penerimaan peminat di saat kerjayanya semakin terbuka luas.

Tetapi, Hafiz tidak sedikit pun risau dan bimbang kerana menganggap rezeki ada di mana-mana.

“Saya yakin peminat boleh terima dan tidak pernah putus beri sokongan kepada karier nyanyian saya. Biarpun susah juga untuk naikkan nama pada satu ketika dahulu, tetapi saya percaya pada rezeki Allah.

“Rezeki ini bukan orang yang bagi, jadi saya tak perlu risau. Apa yang perlu saya lakukan sekarang ini hanya lebih berusaha. Sebab saya mahu mendirikan masjid dan perkara itu benda yang baik. Pasti ada rezeki lain yang datang nanti.

“Lagipun jika diikutkan, saya memang sudah lama bersedia dan berkemampuan untuk berkahwin. Jadi, tentang rezeki itu, tak perlulah terlalu risau sangat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan terbaharunya, Hafiz kini semakin giat menjalani sesi latihan untuk Hafiz & Friends Showcase yang bakal berlangsung di Hard Rock Cafe (HRC) Kuala Lumpur, 25 Januari ini.

Ini merupakan kali kedua dia bekerjasama dengan pihak HRC selepas sambutan yang amat membanggakan ketika membuat persembahan di HRC Melaka pada 25 Jun tahun lalu.

“Selepas melihatkan kejayaan pada persembahan di Melaka dahulu, ada permintaan dari peminat untuk kami buat di Kuala Lumpur pula. Atas sebab itu saya rasa bersemangat untuk hiburkan peminat yang hadir pada malam itu nanti.

“Ini juga sebagai medium untuk saya lebih dekat dengan peminat selain dapat berinteraksi dengan lebih mudah sambil berhibur,” jelasnya lagi.

Hafiz bukan berseorangan, dia turut menampilkan rakan seperjuangannya iaitu Hazama dan Akim & The Majistret untuk bergabung di satu pentas.

“Itu tujuannya persembahan diadakan. Selain menjanjikan persembahan pembukaan 2015, kami juga akan menampilkan beberapa lagu popular masing-masing.

“Saya memang suka buat persembahan dengan diiringi kumpulan pemuzik secara langsung. Bukan senang sebenarnya nak buat persembahan di HRC. Jadi bila peluang ini datang, saya terus terima sahaja,” katanya.

Tambah Hafiz lagi, dia dan teman-temannya lain berjanji akan menghangatkan pentas itu dan mengulangi kejayaan yang terukir di HRC Melaka lalu.

“Kami akan menjanjikan persembahan yang menarik selain gimik yang ditampilkan juga agak berlainan dari sebelum ini. Persembahan itu akan bermula pada pukul 9 malam, selama dua jam.

“Saya harap persembahan pada malam itu nanti berjalan lancar dan penuh dengan peminat yang hadir. Saya yakin penjualan tiket amat menggalakkan sebab kami semua ada peminat sendiri,” tuturnya.

Lebih menarik lagi, selain gabungan utama tiga rakan seperjuangan ini, persembahan mereka akan turut diserikan dengan penampilan istimewa bekas pelajar Akademi Fantasia seperti Faizul Sany, Aril dan Firman.

Tiket Hafiz & Friends Showcase boleh didapati di pintu masuk HRC, Kuala Lumpur dengan harga RM80 dan prajualan tiket pula berharga RM70 atau Hubungi talian 03-2715555 untuk makluman lanjut.