Kata Hafiz Hamidun, 34, dia atau sesiapa sahaja berhak untuk menegur aktres Fathia Latiff yang memberi komen supaya Iqram Dinzly ‘bunuh diri’ sewaktu pelakon itu melakukan aksi secara langsung menerusi Facebook baru-baru ini.

Menurut Hafiz, yang ditulis oleh Fathia bukan sahaja kurang bijak tetapi tidak kena tempat untuk bergurau. Malah kerana kata-kata provokasi yang ditulis Fathia itu, dia tampil untuk menegur pelakon jelita tersebut kerana dia mengenali artis tersebut.

“Saya terpanggil untuk menegur Fathia kerana merasakan yang ditulis olehnya kurang bijak. Kita jangan buat main-main dengan perkara begitu. Kalau betul berlaku seperti yang ditulis, baru nak menyesal.

“Biar ada yang kata saya pun buat salah tapi nak tegur orang, ya... saya akui, saya bukanlah insan yang sempurna dan sering melakukan kesilapan. Itu tidak bermakna saya tidak boleh menegur dia.

“Bukan kerana saya nak raih perhatian. Kalau saya nampak atau tahu orang lain buat ‘kesilapan’ begitu, saya pasti akan tegur. Hidup kita mesti tegur menegur antara satu sama lain,” katanya.

Jelas Hafiz, andai tegurannya itu mendapat kritikan daripada netizen, dia tidak kisah kerana ada dalam kalangan netizen yang menyokong tindakannya. Malah dia juga tidak kisah jika ada netizen yang mengkritiknya kerana kritikan yang baik akan diambil sebagai teladan.

Tegasnya, sebelum ini pun dia sering memuat naik kata-kata nasihat dan petikan motivasi di laman sosialnya.

Bagi Hafiz, setiap perkara yang boleh memberi kebaikan kepada sesiapa sahaja elok kalau dikongsi.

HAFIZ , bekas anggota kumpulan UNIC yang popular dengan lagu Jodoh Berdua, Kasih Padamu dan Hasbi Rabbi bukan sekadar mencipta lagu untuk dirinya tetapi juga rakan-rakan artis lain.

Kata Hafiz, dia baru saja selesai menghasilkan lagu Mimpi nyanyian Liza Hanim dan Ajak Shiro, Ging Geng Guli. Selain itu dia juga bertindak sebagai penerbit untuk single kumpulan Ruffedge.

“Untuk tahun ini saya mahu lebih agresif menghasilkan dan menerbitkan lagu. Saya juga ada single baharu, Jangan Berhenti, ciptaan Azlan Abu Hassan yang berbentuk motivasi. Lirik lagu itu mengajak kita semua agar jangan mudah mengalah apabila berhadapan dengan masalah.

“Ini merupakan kali ketiga saya bekerjasama dengan Azlan dan single itu mungkin akan keluar Mac ini. Saya terbuka, sedia terima lagu-lagu ciptaan sesiapa saja kalau kena dengan gayanya dan saya juga tidak bermasalah untuk terbitkan lagu untuk orang lain. Seperti lagu yang saya buat untuk Bob, Terbuang Dalam Pelukan yang kini dijadikan lagu latar untuk drama Sejadah Untuk Dia yang ditayangkan di saluran Astro Oasis,” katanya.

Hafiz yang pernah mencatat jualan tertinggi pada 2012 menerusi album Zikir Terapi berkata, buat masa ini dia hanya menghasilkan lagu untuk dijual di iTunes saja memandangkan album fizikal sudah tiada sambutan dalam pasaran.

“Kalau ada peluang memang saya mahu keluarkan album tapi sekarang ini kilang nak cetak cakera padat (CD) pun sudah tak ada. Tauke CD pun tak mahu terima tempahan kalau setakat 200 keping sahaja.

“Berbanding dulu semasa jualan CD mendapat sambutan memang boleh buat keuntungan seperti album Zikir Terapi,” jelasnya yang mengakui tidak serik untuk mendirikan rumah tangga lagi.

Biarkan ketika ini tumpuannya lebih kepada bidang seni, jika ditakdirkan bertemu jodoh lain, dia terima dengan hati terbuka.