Selepas bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Februari lalu menerusi lagu Jampi, populariti Hael atau Hal Husaini Razmi, 31, semakin melonjak naik.

Sejak itu, Hael mengakui, semakin ramai penyanyi yang mengejarnya demi mendapatkan karya ciptaannya yang dikatakan mampu menjadi siulan ramai.

Justeru, selepas pengumuman dan pelancaran lagu dan muzik video Haram baru-baru ini, Dayang Nurfaizah turut diminta memberi komen sekiranya ada pihak yang menganggap kolaborasi itu seolah-olah cuba menumpang populariti Hael.

Tidak melatah dengan soalan itu, Dayang Nurfaizah menjelaskan bahawa persetujuannya menjayakan kerjasama tersebut semata-mata kerana karya dan bakat Hael.

Malah menurut penyanyi wanita popular itu, dia pernah bekerjasama dengan Hael menerusi lagu Dia dan percaya bakat Hael.

Faktor itu membuka pintu hatinya untuk menerima tawaran yang diberikan oleh penyanyi muda tersebut. Tambahnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran mengenai isu tumpang menumpang populariti seperti yang diperkatakan.

Tidak mahu peminat menyalah tafsir tentang penglibatan Dayang Nurfaizah untuk lagu baharunya, Hael tampil mengakui bahawa juara AJL edisi ke-31 itu sama sekali tidak mengambil kesempatan atas populariti yang sedang diraihnya kini.

Sebaliknya, penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan duo Azhael itu mengakui, dirinya yang menumpang populariti Dayang Nurfaizah.

“Kalau bercerita tentang isu tumpang populariti, saya rasa saya yang menumpang Dayang. Siapa tak kenal Dayang? Dia adalah salah seorang penyanyi wanita tersohor di negara kita.

“Jadi, mana mungkin timbul isu dia menumpang saya yang masih baharu dalam industri muzik. Sebenarnya menerusi kolaborasi ini, sayalah yang mencuri aura Dayang. Masih banyak ilmu yang perlu saya belajar daripada dia.

“Bagi saya, populariti itu satu perkara yang timbul dan tenggelam. Pada akhirnya hanya lagu yang akan kekal selamanya. Oleh itu, kami mengutamakan soal lagu berbanding isu berkaitan populariti,” jelas Hael.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Dayang Nurfaizah, Hael mengakui, timbul rasa yang sangat berbeza tatkala mereka bekerja bersama meskipun ketika itu mereka hanya menjayakan rakaman lagu Dia.

Apabila berpeluang berduet pula dalam erti kata lain impiannya menjadi kenyataan, Hael menjelaskan bahawa rasa teruja itu semakin berganda. Lantas memberinya lebih motivasi untuk melakukan yang terbaik.

“Lain macam rasanya apabila berpeluang bekerjasama dengan Dayang. Apabila diberi peluang bekerja dengan orang yang kita suka membuatkan kita lebih bersemangat untuk memberikan hasil terbaik.

“Bekerja dengan Dayang juga membuatkan saya dapat belajar banyak ilmu baharu. Saya belajar cara nyanyian dan lenggok dia sewaktu rakaman dan juga persembahan di atas pentas.

“Ini umpama satu bonus untuk saya apabila saya dapat menyanyi mengikut caranya,” ujar Hael.

Tidak letak harapan

Mereka berdua mempunyai pencapaian tinggi dalam pertandingan AJL. Jadi, tidak hairanlah sekiranya ada peminat yang meletakkan harapan agar lagu duet mereka berjaya meraih tempat dalam AJL tahun hadapan.

Bagaimanapun, bercerita mengenai soal tersebut, Hael meluahkan rasa gementarnya terhadap harapan yang diberikan oleh peminat.

“Harapan ini sebenarnya menakutkan saya. Sebab itulah ketika awal kami merancang projek ini, saya tanam dalam hati dan beritahu pihak Dayang supaya tidak menjangkakan sesuatu yang besar terhadap karya ini.

“Ketika menghasilkan Haram, saya sendiri tidak meletakkan sebarang harapan tinggi terutamanya melibatkan anugerah. Saya buat semua ini dengan ikhlas kerana ini adalah impian saya.

“Yang penting buat saya sekarang ialah peminat dapat menerima dan menyukai lagu kami. Haram merupakan hadiah daripada saya dan Dayang untuk peminat yang ingin melihat kami berdua berkongsi pentas,” akhiri Hael.