Menerima pelbagai kecaman sebelum dan selepas pengumuman yang kontroversi itu hanya satu gimik, banyak mengajar Nabila untuk lebih berhati-hati dalam menyusun atur langkah seninya.

Mungkin bagi segelintir pihak, gimik tersebut dilihat mampu mencemarkan namanya sebagai seorang penyanyi namun sedar atau tidak, lantaran kontroversi panas itu, video muzik Pematah Hati hampir mencecah 20 juta tontonan di YouTube.

Benarlah kata orang, publisiti sama ada baik atau tidak adalah modus operandi mudah untuk melonjakkan nama. Namun sebagai artis, ada harga yang perlu dibayar untuk kekal bertahan.

Tidak hairan, ada juga artis yang seakan-akan mahu mengikut jejak langkah sama namun kecundang di tengah jalan. Sama ada percaturan itu berjaya atau tidak, terserah kepada peminat sendiri.

“Kalau mahu bercakap fasal tular, saya sebenarnya sudah merancang gimik tersebut semasa mula-mula berbincang berhubung strategi promosi. Sebab itu saya bertuah kerana ada pasukan di belakang.

“Sebelum hendak buat sesuatu, kita kena fikir jauh. Hendak buat gimik, kena rancang betul-betul. Kita juga kena bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Yang saya tekankan adalah nama baik saya sendiri dan keluarga. Setiap gimik atau kontroversi, nama baik kita menjadi taruhan. Sebab itu kena rancang betul-betul,” kata gadis cantik berusia 26 tahun ini.

Ditanya adakah dia bersedia untuk melakukan gimik yang sama hangat untuk mempromosikan lagu baharunya kelak, dia hanya tergelak kecil. Baginya, gimik bukan sesuatu yang boleh dibuat berulang kali.

“Mungkin kalau ada gimik baharu, orang sudah dapat meneka. Impak gimik Pematah Hati memang besar. Tapi saya tak boleh mengatakan tidak, mungkin ada atau mungkin tidak,” katanya yang popular dengan lagu Cemburu.

Membuka gelanggang bicara tentang single baharu, timbul kerisauan dalam kalangan peminat adakah Nabila mampu meraih perhatian sama seperti Pematah Hati? Apatah lagi, dengan bantuan gimik, lagu itu benar-benar berjaya,

Namun Nabila bijak mengatur lembaran seninya dengan mencuba untuk menggunakan khidmat komposer sama, Hael Husaini untuk single baharunya. Namun dia juga terbuka untuk menerima lagu daripada komposer lain.

“Hael memang faham saya. Lagu ciptaannya memang paling dekat dengan jiwa muzik saya. Dia tahu suara dan kemampuan vokal setiap artis yang mahu menyanyikan lagu ciptaannya.

“Dia pun sekarang sedang sibuk. Saya ada juga minta beberapa lagu tapi dia tak bagi. Sebab lagu tersebut tidak sesuai dengan vokal saya. Dia cipta lagu mengikut karakter dan suara penyanyi.

“Saya juga ada terima lagu daripada komposer lain tapi saya fokus kepada Hael. Faktor utama mungkin kerana saya mahukan impak sama dengan Pematah Hati. Lagipun saya percaya dengannya,” kata anak kelahiran Selangor ini.

Percaya dengan rezeki

TIDAK hanya menyanyi, ternyata langkah Nabila dalam dunia seni tidak terbatas dalam satu bidang. Dia yang juga seorang pelakon bakal memasuki set penggambaran, Cintaku di Bumi Izmir Mei nanti.

Sibuk dengan dunia nyanyian menjadi kekangan untuk Nabila membahagikan masa untuk terjun ke dunia lakonan. Namun dia sedaya upaya cuba untuk membahagikan masa antara dua bidang tersebut.

“Mei nanti saya akan ke Turki untuk penggambaran Cintaku di Bumi Izmir bersama-sama Raysha Rizrose dan Hafizul Kamal. Lama juga tak berlakon jadi inilah masanya untuk ubat rindu peminat,” katanya yang pernah berlakon dalam drama Hikayat Si Pematah Hati.

Diaju soalan tidakkah Nabila tertekan apabila ada segelintir netizen yang mengecam dia tidak boleh menyanyi secara langsung, penyanyi muda ini hanya tergelak sendiri.

Baginya, netizen boleh bercakap apa sahaja namun sebagai penyanyi, dia mengambil setiap kecaman dan teguran sebagai ruang untuk memperbaiki diri sendiri terutama dalam teknik nyanyian.

“Netizen ini mereka cakap sahaja tapi tengok juga. Kalau ada yang kata saya tak boleh menyanyi secara langsung, tak apa. Saya masih belajar dalam bidang nyanyian ini.

“Lagipun saya kalau kritikan yang menjatuhkan ini tak ambil pusing sangat. Saya fokus kepada peminat yang memberi teguran dan kritikan secara positif serta berhemah,” katanya.

Ditanya apakah perasaan dipilih untuk menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Cahaya Juara, Nabila memanjatkan syukur yang teramat kepada Tuhan atas peluang tersebut.

“Semasa membuat persembahan sewaktu tayangan perdana filem tersebut baru-baru ini, memang saya gemuruh sangat tapi itu adalah momen keemasan dalam hidup saya. Dengan bantuan guru vokal, saya sudah beri yang terbaik,” katanya.