Walaupun tidak dibimbing Pak Ngah sepanjang menyiapkan rakaman lagu Manis Manis Cinta dengan rakan duetnya Baby Shima, namun dia yakin ini adalah jawapan kepada impiannya selama ini yang ingin merasa hasil tangan komposer hebat itu.

“Arwah Pak Ngah memang menjadi antara komposer yang saya kagumi. Melihat hasil kerja beliau dengan penyanyi-penyanyi ternama lain, memang saya teringin untuk bekerjasama dengannya.

“Tetapi pemergiannya beberapa bulan lalu menyebabkan saya melupakan sahaja impian itu. Saya anggap tidak ada rezeki.

“Namun siapa sangka rupa-rupanya arwah sempat menyiapkan sebuah lagu untuk saya dan bila perkara ini disampaikan pihak pengurusan, memang saya sangat terharu dan berbesar hati,

“Pendek kata, rasa macam tak percaya,” kata Syafiq teruja.

Merupakan sentuhan terakhir Pak Ngah, balas Syafiq bukan mudah baginya untuk menyampaikan lagu Irama Malaysia. Malah tanpa kehadiran Pak Ngah sendiri proses rakaman juga sedikit sukar.

“Saya tidak nafikan tidak mudah sebenarnya untuk merakamkan lagu arwah. Kalau dia ada mungkin situasinya berbeza memandangkan kita boleh tahu cara penyampaian sebenar lagu ini.

“Selepas beberapa percubaan menyanyikan lagu ini saya akui perasaan itu tidak sampai dan ada kesilapan yang saya lakukan. Mujur ada bantuan dalam memudahkan saya memahami lagu ini dengan baik.

“Selain itu, antara faktor yang membuatkan lagu ini sedikit rumit adalah kerana genre berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Barulah saya tahu bukan mudah nak bawakan lagu Irama Malaysia,” jelasnya

Memilih rakan seperjuangan dalam program Big Stage sebagai rakan duet, kata Syafiq, keserasian yang wujud antara mereka memudahkan kerjasama untuk lagu ini dilakukan. Malah dia juga yakin dengan kemampuan Baby Shima untuk menyampaikan lagu genre tersebut.

“Bila diminta untuk membuat pilihan saya tidak nampak orang lain selain Baby Shima. Saya yakin dengan kemampuan dia membawakan lagu ini.

“Selain mudah bekerja dengan Baby Shima, antara sebab lain saya pilih dia sebagai rakan duet kerana perjalanan seni kami hampir sama. Baru nak membina nama, jadi lebih mudah lakukan perbincangan,” katanya.