Cerita itu kita simpan sebentar kerana apa yang ingin dikupas dalam artikel ini ialah rantaian drama yang keterlaluan sehingga dilihat mencacatkan keseluruhan program yang memakan masa dua jam 30 minit itu.

Mana tidaknya, pembukaan program sahaja sudah memakan masa hampir satu jam membuatkan penonton yang mula-mula tidak kering gusi dengan drama mula bosan dan terpinga-pinga.

Entah apa percaturan kali ini, nampaknya pihak produksi seolah-olah merestui drama yang dilihat semakin lama semakin meleret. Bertongkat tangan ibaratnya penonton yang menunggu setia persembahan peserta-peserta.

Biarpun GV4 sohor kini (trending) pada saban minggu, namun ada juga komen peminat yang menyifatkan program itu terlalu banyak drama sehingga menimbulkan persoalan, adakah ini sebenarnya strategi pihak produksi?

Bertanyakan terus kepada Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal, dalam nada tegas beliau menjawab drama yang tercipta di atas pentas sepatutnya tidak terlalu panjang dan meleret.

Namun disebabkan penglibatan lebih ramai selebriti dan pengacara di pentas GV4, drama yang sepatutnya pendek dan tersusun menjadi agak panjang dan hal itu tidak disengajakan.

“Dari minggu ke minggu, pihak produksi cuba untuk mengurangkan drama yang meleret dan panjang. Itu tugas pengacara Nabil dan Jihan untuk ‘memotong’ jika drama terlalu panjang.

“Tetapi kalau kita potong terus cakap orang, nanti dikatakan kurang ajar pula. Kita cuba memastikan program ini terus menarik dan mampu kekal sohor kini saban minggu.

“Pengacara memang diberi ruang untuk memanjang segmen sekiranya pihak kru produksi belum bersedia tetapi bila ramai orang atas pentas, lagi bertambah drama yang ada,” katanya.

Diaju soalan, adakah ini adalah salah satu strategi untuk menambahkan jumlah penonton, Emarina menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

Drama yang tercipta merupakan satu kebetulan dan menjadi perisa tambahan.

Apatah lagi, lawak keterlaluan Nabil sebagai pengacara dilihat terlalu menjengkelkan sehinggakan gurauan dan jenakanya yang berlebihan membuatkan ramai penonton tidak berpuas hati.

“Pihak produksi memang memberi panduan kepada pengacara. Kadang-kadang lawak yang ditampilkan bersesuaian. Setakat ini semuanya masih dalam kawalan. Ada yang suka dan ada yang tidak.

“Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Lawak-lawak antara Nabil, Jihan dan Datuk Ramli MS sebagai contoh lebih kepada gurauan adik-beradik dan kawan rapat. Bukan drama yang dicipta,” katanya. - Gambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Lagu itu memang sukar – Ramli

TATKALA nama Ferhad diumum sebagai peserta yang tersingkir, rata-rata penonton tidak menunjukkan reaksi terkejut memandangkan persembahan penyanyi dari Singapura itu kurang menyengat tempoh hari.

Entah di mana silapnya, Ferhad seolah-olah tidak mampu menyerlahkan kualiti vokalnya ketika menyampaikan lagu Harus Terpisah nyanyian asal penyanyi kelahiran Indonesia, Cakra Khan.

Mungkin julat suara Cakra yang serak-serak basah dan garau berbanding Ferhad yang nyaring membuatkan lagu itu sukar untuk dipersembah dengan baik. Malangnya, ketika pihak media cuba mendapatkan reaksi Ferhad terhadap penyingkirannya, dia terus pulang.

Menjawab persoalan mengapa Ferhad tersingkir, Datuk Ramli MS bersetuju lagu itu terlalu sukar untuk dinyanyikan oleh Ferhad.

Bukan sahaja untuk Ferhad, bahkan Ramli turut bersetuju bahawa lagu itu sebenarnya memang agak payah untuk dibawakan oleh kebanyakan penyanyi.

“Kalau nak kata pemilihan lagu yang salah, saya rasa tidak sebab lagu itu memang sukar untuk dinyanyikan. Kemampuan vokal Ferhad juga agak terhad dan dia tidak mampu memberikan persembahan yang baik.

“Minggu lepas, walaupun membawakan lagu sendiri tetapi kedudukan Ferhad juga agak goyah. Berbanding dengan peserta lain, vokal Ferhad memang agak lemah pada malam ini,” katanya.

Malam kelmarin, Liza Hanim berjaya membuktikan kehebatan vokalnya berada pada par yang tepat pada setiap nota. Tidak hairanlah apabila kedua-dua juri tetap iaitu Ramli dan Hetty Koes Endang memberikan tepukan penghormatan kepada penyanyi berusia 38 tahun itu.

Mengulas persembahan itu, Ramli memuji keupayaan Liza menyampaikan lagu Aku Hanya Pendatang (nyanyian asal Francisca Peter) dengan vokal yang begitu dinamik walaupun hanya sekali raptai.

“Macam Liza, susunan muzik ditukar banyak kali supaya dia mampu menyerlahkan vokalnya pada tahap tertinggi. Malah, penghayatan jiwanya juga tepat dan memang terbaik.

“Malah, Haida juga telah membuka mata ramai penonton dengan vokal padunya. Minggu ini, kami sudah mula memberikan markah secara profesional. Jadi setiap aspek diambil kira,” jelas maestro muzik yang disegani ramai itu.

Rata-rata peserta menunjukkan prestasi yang membanggakan. Malah, mereka juga dilihat mampu menyerlahkan kekuatan vokal yang selama ini tidak diketahui oleh ramai peminat.