Menurut Azza, Elite bagaimanapun tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi sebaliknya penting bagi mereka melakukan usaha sebaik mungkin dalam memastikan persembahan yang terbaik berjaya disampaikan.

“GV merupakan satu platform yang sangat bagus untuk artis lama mengembalikan populariti masing-masing terutama kami sebagai kumpulan Elite. Namun, peluang menyertai GV ini bukan mudah bahkan kami tetap melalui audition untuk melayakkan kami menjadi antara finalis yang bertanding.

“Matlamat kami di pentas GV adalah untuk menghiburkan peminat kami Super Warriors sekali gus mengubat rindu mereka yang selama ini menanti Elite membuat kemunculan semula di acara persembahan.

“Bagi kami, terpilih sebagai peserta dah kira sebagai satu kejayaan yang cukup bermakna memandangkan terdapat ramai artis senior yang ingin turut serta dan masih menunggu rezeki masing-masing. Apapun kami mahu melakukan yang terbaik untuk peminat kerana penyertaan kami mewakili mereka,” katanya.

Tambahnya, Elite tidak terlalu memikirkan soal persaingan sengit antara nama-nama besar kerana kesemua peserta mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Kami menyertai GV bukanlah semata-mata ingin bersaing merebut gelaran juara, namun lebih kepada medan publisiti untuk artis lama membina semula karier memandangkan kami sudah lama tidak beraksi. Lagipun finalis yang terlibat sudah lama saling mengenali antara satu sama lain dan hubungan kami rapat seperti adik-beradik.

“GV juga menjadi platform untuk memperkenalkan semula diri kami terutama kepada generasi baru. Kami bukan sekadar menyanyikan lagu di atas pentas tetapi kami mahu menjadi penghibur yang boleh membawa penonton turut sama merasai apa yang kami persembahkan,” katanya.

Berbicara tentang kelebihan yang dimiliki Elite, menurut Linda, keserasian yang dibina selama lebih 20 tahun menjadi kekuatan mereka untuk beraksi sebagai satu kumpulan.

“Tidak kira bergerak sebagai solo atau berkumpulan, setiap peserta mempunyai cabaran tersendiri.

“Namun, bagi kami keserasian adalah kekuatan bagi Elite memandangkan kami telah membesar bersama dan melalui pelbagai suka duka sejak lebih 20 tahun. Jadi, kami semakin matang dan memahami antara satu sama lain.

“Sokongan peminat yang begitu setia dengan kami sejak dulu turut menjadi kekuatan kumpulan kami,” ujarnya.

Dari segi persediaan, latihan memantapkan vokal, persembahan dan meningkatkan stamina merupakan antara aspek yang diberi tumpuan.

“Selain melakukan senaman di pusat gimnasium, kami juga mengikuti kelas-kelas vokal bagi meningkatkan kualiti suara dan penyampaian vokal,” ujarnya.

Ditanya tentang Watie yang tidak turut serta, menurut Sasha Saidin, mereka menghormati keputusan Watie yang ingin memberi sepenuh perhatian terhadap dunia lakonan.

“Kami membuat keputusan untuk sertai GV pada saat-saat akhir. Perancangan kami untuk muncul berempat sekali dengan Watie. Namun, disebabkan komitmen Watie dalam penggambaran drama, jadi kami bertiga sahaja yang terlibat.

“Lagipun Watie tidak mahu ketika latihan kejap ada kejap tak ada disebabkan komitmen lain. Apapun dia sentiasa memberi sokongan padu,” katanya.