Pernah tampil dengan beberapa buah lagu termasuk dua single hits berjudul Biar Sampai Ke Bintang dan Sembunyi Rahsia, Asmidar atau Norhasmidar Ahmad membabitkan diri sebagai guru vokal kerana ingin berkongsi pengetahuan dan pengalamannya.

“Saya adalah lepasan UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan mempunyai kelulusan dalam jurusan Diploma Muzik. Saya menyanyi sejak berumur lapan tahun dan mula mengajar vokal selepas tamat pengajian.

“Jadi, tidak timbul isu mengatakan saya sudah beralih arah apatah lagi kecewa dalam bidang nyanyian kerana menyanyi dan mengajar bukanlah perkara baharu dalam hidup saya,” tegasnya kepada Utusan Online.

Justeru tambah Asmidar, dia baru sahaja mengelolakan bengkel vokal bertempat di Sekolah Kebangsaan Putat, Kedah pada 17 Mac lalu manakala seminggu sebelum itu di Universiti Malaysia Kelantan, Jeli, Kelantan.

“Saya lebih gemar adakan bengkel secara jelajah dari satu lokasi ke lokasi yang lain kerana membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk belajar vokal.

“Untuk lokasi seterusnya, saya akan kemas kini menerusi laman Instagram saya, @asmidarisme,” katanya.

Mengulas tentang perkembangan terkininya dalam lapangan seni suara, Asmidar merancang untuk mengeluarkan single baharu dalam masa terdekat dan sedang mencari lagu sesuai sebelum masuk studio rakaman. - UTUSAN ONLINE