Dilancarkan Isnin lalu, kempen tersebut merupakan inisiatif ratusan aktres, ejen, penulis, pengarah dan eksekutif hiburan wanita dan antara bintang besar yang menyertai kempen ini ialah Ashley Judd, Eva Longoria, America Ferrera, Natalie Portman, Rashida Jones, Emma Stones, Kerry Washington dan Reese Witherspoon.

Mereka hadir ke acara berprestij tersebut bersama-sama para aktivis yang mewakili gerakan kempen itu, manakala pelakon lelaki pula mengenakan pin kecil bertulis ‘Time’s Up’ pada bahagian dada.

Menariknya, pin tersebut direka oleh Arianne Phillips iaitu salah seorang perancang kostum dan gaya untuk filem Kingsman: The Golden Circle dan Nocturnal Animals. Hanya dalam masa dua minggu, Phillips dan rakannya, Michael Schmidt berjaya menghasilkan 500 pin untuk menjayakan kempen tersebut.

Dengan wujudnya kempen ini, berkemungkinan bakal mengubah banyak perkara di Hollywood terutama berkaitan perlakuan tidak senonoh serta hal-hal yang melibatkan penindasan terhadap kaum wanita.

Inspirasi Oprah Winfrey

Menerima anugerah penghargaan seumur hidup, The Golden Globes Cecil B. DeMellle, Oprah Winfrey berkongsi salah satu inspirasinya dalam mencipta kejayaan hidup.

Menerusi ucapan yang diberikan ketika menerima anugerah tersebut, Winfrey menyatakan kemenangan Sidney Poitier sebagai pelakon lelaki terbaik sempena Anugerah Oscar ke-36 membuatkan dirinya begitu terkesan.

Tidak pernah melihat lelaki kulit hitam dilayan begitu istimewa pada malam tersebut, Winfrey menjadikan pencapaian pelakon itu sebagai inspirasi dan penguat semangat sehingga berjaya menerima penghargaan kali ini.

Paling menyerlah

Menerima anugerah aktres terbaik bagi kategori TV menerusi drama The Handmaid’s Tale, sinar bintang Elisabeth Moss paling menyerlah pada malam tersebut tatkala diberi penghargaan terbesar.

Pelakon berusia 35 tahun ini menerusi ucapannya turut menyelitkan mesej tentang kekuatan wanita.

“Kita sudah tidak ada lagi jurang antara wanita dan sesebuah cerita kerana kita sendiri menulis cerita tentang diri kita,” ucapnya.

Selain Moss, kilauan bintang Nicole Kidman turut mendapat perhatian apabila diumumkan sebagai pemenang Aktres Terbaik (Siri Khas atau Filem untuk Televisyen) menerusi filem Big Little Lies.

Membawa watak sebagai Celeste Wright iaitu mangsa penderaan domestik, ucapan Kidman membawa mesej harapan untuk wanita.

“Watak yang saya mainkan mewakili yang kita sedang bincangkan sekarang ini iaitu deraan seksual. Saya percaya dan berharap cerita-cerita yang kita persembahkan ini mampu membawa perubahan dan inilah cara kita memberitahu dunia,” ucapnya.

Dalam pada itu, Kidman tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada suaminya yang juga penyanyi, Keith Urban serta rakannya yang juga penerbit eksekutif, Reese Witherspoon dan pelakon yang terlibat iaitu Laura Dern, Zoe Kravitz dan Shailene Woodley.

Golden Globes ke-75 bersiaran pada Isnin waktu tempatan dan dihoskan oleh Seth Meyers ini diadakan di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, Amerika Syarikat.

Senarai pemenang Golden Globes 2018

Anugerah Cecil B. DeMille (Anugerah Sepanjang Hayat) 
Oprah Winfrey

Kategori filem


Filem Terbaik (Drama) Three Billboards Outside Ebbing, Missouri

Filem Terbaik (Muzikal atau Komedi) Lady Bird

Pengarah Terbaik Guillermo de Toro (The Shape of Water)

Aktres Terbaik (Drama) Frances McDormand (Three Billboards Outside Ebbing, Missouri)

Aktor Terbaik (Drama) - Gary Oldman (Darkest Hour)

Aktres Terbaik (Muzikal atau Komedi) Saoirse Ronan (Lady Bird)

Aktor Terbaik (Muzikal atau Komedi) James Franco (The Disaster Artist)

Aktres Pembantu Terbaik Aliison Janney (I, Tonya)

Aktor Pembantu Terbaik 
Sam Rockwell (Three Billboards Outside Ebbing, Missouri)

Lakon Layar Terbaik Martin McDonagh (Three Billboards Outside Ebbing, Missouri)

Filem Terbaik (Animasi) 
Coco

Filem Terbaik (Luar Negara)
 In The Fade

Skor Asal Terbaik Alexandre Desplat (The Shape of Water)

Lagu Asal Terbaik This Is Me (The Greatest Showman)

Kategori TV

Siri TV Terbaik (Drama) The Handmaid’s Tale

Aktres Terbaik Elisabeth Moss (The Handmaid’s Tale)

Aktor Terbaik Sterling K. Brown (This Is Us)

Siri TV Terbaik (Muzikal atau Komedi) The Marvelous Mrs. Maisel

Aktres Terbaik (Muzikal atau Komedi) – Rachel Brosnahan (The Marvelous Mrs. Maisel)

Aktor Terbaik (Muzikal atau Komedi) Aziz Ansari (Master of None)

Siri TV atau Filem Untuk Televisyen Terbaik Big Little Lies (HBO)

Aktres Terbaik (Siri khas atau Filem untuk Televisyen) Nicole Kidman (Big Little Lies - HBO)

Aktor Terbaik (Siri Khas atau Filem untuk Televisyen)
 Ewan McGregor (Fargo)

Aktres Pembantu Terbaik (siri khas atau filem untuk televisyen) Laura Dern (Big Little Lies)

Aktor Pembantu Terbaik (Siri Khas atau Filem untuk Televisyen) Alexander Skarsgard (Big Little Lies )