Bakal mengangkat budaya suku kaum Bajau Kota Belud, drama bertajuk Seputih Cinta Rangbulan itu dijangka menemui penonton tempatan penghujung tahun ini menerusi saluran televisyen RTM.

Penerbitnya, Datin Zaiton Mohd. Jiwa optimis untuk memberi kelainan drama berisi 50 episod kali ini.

"Seperti yang kita tahu, Sabah mempunyai kepelbagaian suku kaum dan etnik tersendiri. Untuk kali ini kita memilih Kota Belud yang terkenal dengan suku kaum Bajau.

"Kita mahu mengetengahkan keistimewaan budaya dan etnik yang ada di Kota Belud dan Sabah secara amnya selain cinta bukan penghalang kepada perbezaan budaya ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri itu di kediaman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak di Sabah, baru-baru ini.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Tidak mahu klise dengan set penggambaran yang sama, keunikan landskap, geografi dan keindahan pulau-pulau di sekitar Negeri di Bawah Bayu ini menjadi faktor Sabah dipilih sebagai lokasi drama bersiri itu.

"Keindahan landskap dan pulau-pulau di negeri ini masih belum diterokai oleh mana-mana syarikat produksi. Di Semenanjung sudah terlalu ramai syarikat produksi menggunakan lokasi-lokasi pengambaraan yang divisualkan di televisyen," katanya yang menjelaskan penggambaran itu telah siap 60 peratus.

Gembira berlakon di kampung halaman

BERLAKON di tanah tumpah kelahiran sendiri memberi impak luar biasa buat pelakon yang semakin mendapat tempat di industri hiburan tanah air kerana sepanjang bergelar anak seni, Azwan Kombos, 31, tidak pernah berpeluang berlakon di kampung halaman sendiri.

Malah lebih mengujakan buat bintang lakon layar yang peramah itu lagi apabila ibu tersayang melihat sendiri dia berlakon di depan mata.

“Untuk drama ini set penggambaran dekat dengan rumah keluarga saya. Kalau saya pergi ke set hanya jalan kaki dari rumah. Bayangkan sepanjang bergelar pelakon, ini merupakan momen yang amat gembira yang pernah saya rasa.

“Selain itu, saya gembira apabila ibu berpeluang melihat saya berlakon di depan mata. Jika sebelum ini, ibu hanya melihat di kaca televisyen sahaja,” katanya.

Memegang watak sebagai Kamal pada drama bersiri itu sebenarnya tidak mudah untuk dihayati apabila Azwan terpaksa menzahirkan karakter sebenar jejaka berbangsa Bajau.

Yang ditekankan Azwan adalah tanggungjawabnya mengangkat budaya dan etnik masyarakat Bajau itu dalam lakonan hingga sampai ke jiwa para penonton yang menonton drama bersiri itu kelak.

“Walaupun saya orang Bajau tetapi untuk drama bersiri ini kami hanya bertutur dalam bahasa Melayu Sabah. Dialek Sabah yang sebenar,” katanya tenang.

Besar harapan dan impian anak muda Kota Belud ini apabila mengharapkan agar drama bersiri itu akan mengangkat martabat dan keunikan budaya suku kaum di negeri ini.

Malah ujarnya, drama dengan loghat bahasa Sabah itu juga merupakan pintu perkenalan kepada semua pihak mengenai keistimewaan, sekali gus penerimaan masyarakat Malaysia tentang cara percakapan orang Sabah.

“Saya harap para penonton nanti akan terkesan dengan budaya masyarakat Bajau, cara percakapan orang Sabah selain keindahan landskap di negeri ini.

“Kalau di Semenanjung, pelakon dari Sabah tidak banyak peluang untuk berlakon menggunakan bahasa ibunda. Berbeza dengan negeri lain apabila boleh mengetengahkan bahasa negeri masing-masing seperti Kedah dan Kelantan,” katanya juga pelakon filem Jalan Puncak Alam.

Kos penggambaran

Menjalani penggambaran di Sabah menyaksikan keberanian produksi melaburkan kos tiga kali ganda lebih besar berbanding penggambaran di Semenanjung Malaysia.

Kos pengangkutan merupakan antara kos yang tinggi untuk menampung perjalanan sepanjang penggambaran di Sabah.

Selepas pertama kali membuat penggambaran di Sabah menerusi drama Dejavu di Kinabalu beberapa tahun lalu, Zaiton mempunyai pengalaman untuk menguruskan kos-kos tersebut dengan bijak.

“Alhamdulillah syarikat produksi kami turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membuat penggambaran di negeri ini,” ujarnya gembira.

Drama bersiri arahan MP Roslin berkisarkan tentang pemuda tempatan yang mempunyai latar belakang berbeza bercinta dengan gadis dari Semenanjung.

Lakonan Fezrul Khan memegang watak Johan, seorang jejaka dari Sabah yang jatuh cinta dengan gadis dari Semenanjung Malaysia, lakonan Dayana Roza.

Turut ditampilkan pada drama bersiri itu ialah Fikhree Bakar, Lia Natalia, Fasha Sandha, Azwan Kombos dan Wilma Mohamad.